Tuesday, August 09, 2011

Jalinan Muzik Rohani Amy & Yassin

AMY & Yassin bergabung bakat dan kreativiti untuk single Takbir Cinta

HALAMAN HIBURAN

AMY dan Yassin bergabung bakat dan kreativiti untuk single Takbir Cinta.SIAPA yang tidak kenal dengan ikon rock, Search yang mencipta fenomena sendiri 30 tahun lalu. Bukan sahaja di Malaysia, malah penangan yang dibikin turut terasa hingga ke negara jiran Indonesia.

Sementelah apabila lagu Isabella yang cukup segala rempahnya meletus sehingga dinobatkan sebagai Juara Persembahan Terbaik, Anugerah Juara Lagu TV3 (1989). Begitu pun, vokalis utamanya Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 53, mengundur diri daripada kumpulan itu sekitar tahun 1996 dan mencipta jenamanya sendiri.

Diam tak diam Amy kini sudah 30 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni dan sudah lima buah album solo berjaya dilahirkan iaitu Magic (1994), Camouflage (1997), Aku (1999), Suatu Masa (2000) dan IKON - A Rockstar Chronicle (2006) sepanjang tempoh itu.

Sinonim dengan aliran rock sejak mula menceburkan diri lagi, bagaimanapun kini Amy buat pertama kalinya cuba beralih angin dengan mendekatkan diri dengan lagu bercorak kerohanian. Untuk itu dia telah memilih untuk berkolaborasi dengan bekas penyanyi kumpulan nasyid Brothers, Yassin Sulaiman.

Ia nyata sukses direalisasikan menerusi single berjudul Takbir Cinta yang sudah siap dirakam sepenuhnya.

"Mula-mula rancangan untuk berduet dengan Yassin timbul sejak bulan Ramadan tahun lepas tapi tidak berjaya berikutan kesibukan masing-masing.

"Alhamdulillah, tahun ini segalanya berjalan sempurna dan Takbir Cinta siap dirakam dalam masa tiga bulan sahaja," katanya yang ditemui ketika majlis kesyukuran dan doa selamat di Restoran Cheng Ho miliknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpir baru-baru ini.

Memuji hasil ketelusan dan kualiti hasil kerja serta bakat Yassin selaku penyanyi nasyid kontemporari dan komposer hebat, ujar Amy, mereka ada persefahaman dan punyai minat yang sama.

"Pertama kali dengar lagu yang dicipta Yassin saya dah berkenan dan saya yakin dengan hasil kerjanya.

"Tambahan pula ini single pertama saya yang bercorak kerohanian dan istimewanya single ini juga merupakan lagu pertama yang saya nyanyikan sempena bulan penuh berkat, bulan Ramadan," bicaranya yang menyasarkan kejayaan lagu duetnya itu untuk didendangkan hingga ke bulan Syawal.

Pemilihan lagu berunsur keagamaan dan didedikasikan sempena bulan Ramadan berbanding lagu raya yang dirasakan lebih berpeluang mendapat sambutan pendengar, Amy ada rasionalnya sendiri.

"Semua orang sibuk untuk membuat lagu raya tapi kita ingin mencari perbezaan dan tidak salah untuk menyeru pendengar ke arah kebaikan sempena bulan mulia ini," katanya.

Dengan lirik yang mengisahkan perjuangan, pengorbanan dan nazar selain irama balada rock world music iaitu signatur azali Yassin, single itu ibarat suatu percubaan bagi Yassin.

"Kita nak tengok maklum balas daripada pendengar dahulu sebelum membuat album, biar ia menjadi lagu yang mesra pendengar terlebih dahulu," tutur Yassin yang begitu teruja bekerjasama dengan Amy.

Tambah Yassin, Takbir Cinta merupakan projek keduanya tahun ini selepas terlibat dengan penghasilan runut bunyi filem Nur Kasih dan beberapa lagu tema dan lagu korporat syarikat-syarikat ternama tempatan.

"Sepanjang karier saya, untuk menghasilkan muzik yang menarik perlu sentiasa berubah-ubah mengikut citarasa pendengar dan tidak boleh terhad pada satu stail.

"Begitu juga dengan single terbaharu ini, saya cuba sedaya upaya lakukan yang terbaik setelah idea ini datang daripada Amy sendiri selepas menyaksikan Konsert Maher Zain bulan Oktober tahun lepas," jelasnya yang kini juga sedang bekerjasama dengan Noryn Aziz. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails