Friday, July 01, 2011

Bekas P/Gabenor B/Negara Rasuah Cetak Duit -Securency International

KL, 1 Julai 11: Seorang bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan tempatan akan dihadapkan di mahkamah secara berasingan — di ibu negara dan Shah Alam — berhubung skandal kontrak membekalkan nota mata wang ringgit polimer, yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat Australia antara 2003 dan 2007.

Bekas penolong gabenor itu akan dicaj di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah (Sesyen) Jalan Duta manakala ahli perniagaan terbabit di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam. Difahamkan serentak dengan tuduhan ke atas mereka, pihak berkuasa Australia juga akan mendakwa enam individu dan dua syarikat di negara itu hari ini.

“Mereka akan dicaj di bawah peruntukan baru di Australia . . . ia ada kaitan dengan kes di Malaysia,” kata sumber.

Bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan seorang ahli perniagaan terbabit dipercayai akan berhadapan dengan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) dan 11(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu berhubung skandal nota polimer RM5 kepada sebuah syarikat dari Australia.

Mereka ditahan ekoran satu laporan bahawa Securency International, yang berpejabat di Melbourne, menawarkan rasuah kepada pegawai-pegawai di Malaysia. Mengikut laporan media itu, ketiga-tiga yang ditahan itu termasuk seorang ahli perniagaan didakwa dibayar RM11.3 juta untuk mendapatkan kontrak daripada Bank Negara Malaysia dan agar kerajaan Malaysia menggunakan mata wang polimer.

Media Australia melaporkan bahawa ahli perniagaan berkenaan digunakan oleh Securency International dan Note Printing Australia antara lewat 1990-an dan 2007. Securency pernah memperoleh kontrak mencetak nota RM50 sempena Sukan Komanwel pada 1998 dan nota polimer RM5 pada 2004.

Bekas penolong gabenor Bank Negara dikatakan menerima habuan atas tindakannya pada 2004 dan 2005 atas kontrak bernilai RM95 juta yang diberikan kepada syarikat Australia berkenaan. (Sumber The Malaysian Insider)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails