Saturday, March 12, 2011

Hari Ini Tsunami Jepun: Lebih 1,000 Terkorban.


TOKYO, 12 Mac 11: Angka kematian akibat gempa bumi di Jepun petang semalam dan kejadian tsunami yang menyusul telah melebihi 1,000 orang, demikian menurut laporan Kyodo hari ini.

Kementerian Pertahanan berkata sebanyak 1,800 rumah turut musnah di kawasan Fukushima.

Gempa bumi yang melanda di luar kawasan pesisir, terjadi 2.46 petang semalam (waktu Jepun) adalah yang terburuk di negara itu sejak 1800-an.

Ada laporan yang menyebut gempa bumi semalam 1,800 kali lebih kuat berbanding yang memusnahkan Christchurch, New Zealand dua minggu lalu.

Gempa bumi semalam juga menggegarkan berpuluh-puluh bandar dan kawasan perkampungan sepanjang pantai sejauh 2,100 kilometer dan menjejaskan bangunan-bangunan tinggi di ibu negara Jepun.

“Saya ingat saya akan mati,” kata pekerja pemasaran di sini Koto Fujikawa, 28.

“Saya dapat merasakan seolah-olah keseluruhan struktur runtuh,” katanya.

Di salah satu kawasan penempatan yang dilanda teruk, penduduk tertimbus di bawah runtuhan dan ada kedengaran jeritan “tolong” dan “bila kami akan diselamatkan,” lapor Kyodo lagi.

Kerajaan memberi amaran kebocoran radiasi pada skala kecil ekoran kegagalan sistem pendinginan.

Sementara Jepun masuk hari kedua selepas tragedi semalam, ia menerima tawaran operasi mencari dan menyelamat daripada 45 negara.

Menurut laporan agensi berita Jiji, di bandar timur laut Jepun, Kesennuma yang mempunyai 74,000 penduduk, berhadapan dengan kebakaran dan dua pertiga kawasannya dinaiki air.

Lapangan terbang bandar raya Sendai, kawasan bagi sejuta penduduk, juga berhadapan dengan kebakaran.

Media-media tempatan juga melaporkan kadar kematian akan melebihi 1,000 orang yang kebanyakannya mati kerana lemas. — Reuters

1 comment:

Anonymous said...

Tsunami yg terbaik slps di acheh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails