Saturday, February 05, 2011

Tarik Balik Risalah 'My Balik Pulau' -Lim Guan Eng



KL, 5 Feb 11
: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata sekiranya risalah “My Balik Pulau” dianggap sebagai bahan yang lupa sejarah dan menghina Melayu, maka pihak yang bertanggungjawab kepada soal itu adalah “Umno dan kerajaan persekutuan sendiri.”

Oleh itu tegas Lim, Adun Umno Pulau Betong Muhammad Farid Saad yang meludah ke langit dan perlu menarik balik dan meminta maaf secara terbuka atas sikap perkauman antibukan Melayu dengan pembohongan dan fitnah yang mempersalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

“Adun Umno ini telah menggembar-gemburkan risalah My Balik Pulau dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia, yang membuat laporan besar bertajuk “lupa sejarah, hina Melayu”,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim (gambar) yang juga Setiausaha DAP berkata, Adun Umno telah membuat tuduhan melulu dan dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat bertanggungjawab atas isi kandungan yang kononnya “lupa sejarah, hina Melayu” kerana mengeluarkan risalah “My Balik Pulau”.

“Sebenarnya Adun Umno ini meludah ke langit kerana yang mengeluarkan risalah My Balik Pulau, bukanlah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetapi adalah Umno dan Kerajaan Perseketuan.

“Sekiranya betul My Balik Pulau lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri,” katanya.

Dalam kenyataannya dibawa Utusan Malaysia awal minggu ini, Muhammad Farid berkata, meskipun tidak diketahui niat sebenar risalah tersebut diedarkan, dipercayai ia merupakan cubaan pihak tertentu untuk mengaburi rakyat tentang sejarah kawasan yang dihuni majoriti orang Melayu itu.

Wakil rakyat itu mendakawa beliau kesal kerana kandungan risalah tersebut seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Balik Pulau bukan dibuka oleh orang Melayu.

Selain itu, terdapat kandungan dan ilustrasi di dalamnya yang menghina orang Melayu.

Ia juga disokong Presiden Alumni Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pulau Pinang, Abdul Said Hussain yang berkata pengedaran risalah itu berbahaya kerana boleh mengundang perbalahan kaum.

Abdul Said berkata, perbuatan tersebut seperti cuba menaikkan sentimen masyarakat Cina bahawa nenek moyang mereka yang mula-mula meneroka Balik Pulau, bukannya orang Melayu.

Menurutnya, sejarah sendiri telah menyatakan bahawa orang Melayu merupakan peneroka di situ dan fakta tersebut seharusnya tidak diubah.

Justeru kata Lim, apa yang keterlaluan ialah Adun Pulau Betong dan Utusan Malaysia telah membuat laporan berturut-turut mengecam kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengeluarkan bahan lupa sejarah, hina Melayu bila Umno dan kerajaan persekutuanlah yang sepatutnya bertanggungjawab.

Malah tegas Lim, pada risalah “My Balik Pulau” pun ada dicetak nama penyumbang yang terdiri daripada Kementerian Pelancongan, kerajaan perseketuan dan pemimpin Umno Balik Pulau termasuk pusat sumber Muhammad Farid sendiri. “Akan tetapi semua jentera media massa Umno dan blog serta Utusan Malaysia terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat kerana terus pinggirkan orang Melayu.

“Dalam keghairahan membuat serangan hentam keromo ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan,” katanya.

Lim menambah, sungguhpun yang “bersalah” adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi-tubi terus dijalankan ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang seolah-olah telah dijadikan tidak ubah seperti kambing hitam Umno.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya Umno “yang jahat seribu jahat ini.”

Oleh itu, beliau mendesak Adun Umno Pulau Betong menarik balik dan meminta maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat atas fitnah jahat mereka.

“Sekiranya beliau gagal pada minggu depan, maka tindakan tegas akan diambil.

“Selain daripada mendedahkan muka rasis sebenarnya beliau kepada pengundi bukan Melayu di Balik Pulau bahawa beliau benci dan tidak perlukan undi bukan Melayu tindakan lain termasuk tindakan perundangan akan diambil,” katanya.

Lim juga berkata kemungkinan juga perkara itu akan dibangkitkan ketika mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atas “permainan perkauman Adun Pulau Betong yang mahu melihat ketegangan kaum wujud dan harmoni baik di kalangan rakyat Pulau Pinang retak sama sekali.”

“Politik rasis dan benci-membenci Umno dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan habis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah (kepimpinan) Tan Sri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak kepada UDA,” katanya lagi. (The Malaysian Insider)

1 comment:

Pandangan Saya said...

Sekiranya mereka sehat, Risalah yang dianggap salah, betulkan saja kembali. Cari kembali fakta-fakta yang benar. Bukan susah sangat media arus perdana dikuasai oleh mereka gunakan sepenuhnya dan jagan gunakan untuk menyalahkan orang lain atas tujuan politik.Sejarah tidak semuanya benar kerana ia ditulis oleh orang yang berjaya dan juga oleh orang yang melihat kejayaan yang dibina oleh sesuatu kumpulan. Menyalahkan orang lain dengan membangkitkan sentimen perkauman amatlah merbahaya sedangkan pada realitinya pada hari ini Perpaduan antara kaum Melayu dan China amat kukuh.Hanya setakat pandangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails