Sunday, March 13, 2016

Cinta Pemuda Itu, Tapi Tidak Direstui Ayah.

CATATAN SANTAI
Laut Sri Lanka yang tenang tetapi bergelombang..

ALHAMDULILLAH, hari ini agak lapang sikit. Saya buka e-mail, dan seseorang mengadu kepada saya, '
..tuan boleh membantu saya dengan memberikan pandangan mengenai dilema yang saya hadapi.'

Saya membacanya, saya rasa elok juga saya beri pandangan, kerana problem ini adalah problem remaja Islam keseluruhannya masa kini. Begini antara pengaduannya...

"... Saya (di sini disebut 'R') berumur 26 tahun dan telah berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari Sri Lanka (27 tahun), kami berkenalan pada 1 Ramadan tahun lepas. Perhubungan cinta kami terjaga, saya bekerja sebagai seorang guru di (negeri yang jauh dari KL .............) dan (nama lelaki itu nama Islam, di sini disebut MA), menjual alat aksesories (Gems and Jewelleries) di Kuala Lumpur. Sekarang, kami berhubung melalui telefon dan email. Baru-baru ini, MA ada menyatakan bahawa dia ingin menjadikan saya sebagai isterinya.

Bagi saya, MA mempunyai personaliti yang mantap, yang mampu membimbing saya sebagai seorang muslimah. Apabila saya mengajukan hal ini kepada keluarga saya, ayah saya tidak bersetuju dengan saya. Persoalannya, saya mencintai MA tetapi dalam masa yang sama saya tidak ingin mengecewakan keluarga saya. Oleh sebab itu, saya memohon agar tuan memberikan nasihat, pandangan dan teguran untuk masalah yang saya hadapi ini.
" Begitu kira-kira e-mailnya.

Saya jawab....

Alhamdulillah, kita pilih pakej Islam, Islam itu selamat, jadi kita kena ikut pakej itu semuanya kalau mahu selamat. Nabi orang Islam Muhammad SAW berkata [Hadis sahih riwayat Abu Daud],
"Tidak ada nikah kecuali dengan wali." Ertinya, tidak sah tanpa izin wali. Disokong juga oleh hadis "Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (Nabi mengulanginya tiga kali)." [Hadis sahih riwayat Abu Daud]. Itu untuk calon perempuan.

Untuk calon lelaki, ‘Abd Allah ibn ‘Umar RA berkata
[Hadis sahih riwayat Abu Daud]: "Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab, yakni ayahnya) tidak suka dan menyuruh aku ceraikan. Aku enggan. Maka ‘Umar membawa kes ini kepada Nabi SAW dan menceritakan segalanya. Jawab Nabi (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar), “Ceraiklah dia!

Dalam sebuah kes lain, Abu Darda’ RA berkata
[Hadis sahih riwayat At-Tarmizi], bahawa seorang lelaki datang bertanya, “Aku ada seorang isteri, tetapi ibu aku menyuruhku mencerainya.” Abu Darda jawab, “Aku mendengar Rasulullah SAW kata, ibubapa adalah pintu syurga paling tengah. Terserah kamu (seorang anak), samada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”

Okey Cik R. Mari kita kupas 4 hadis di atas dari 2 sudut pandang.

Sudut I:

Ini membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap anak-anak sehingga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kamu sebagai anak dewasa, berkahwin dengan pasangan yang kamu tidak suka. Tetapi, apabila kamu telah berkahwin, punyai anak, dan anak kamu sudah sebesar kamu sekarang ini.. Tiba-tiba anak kamu memaksa kamu menerima menantu yang kamu tidak suka.. Apa rasa kamu?

Oleh itu, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa, bahkan perlu sama-sama suka dan redha, meredhai. Tetapi ada juga tanya, kan yang nak kahwin itu anak, apa perlu minta izin ayahnya? Jawabnya, lihat 3 perkara ini...

Satu:
Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai pahit maung kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan luas. Sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan anaknya, yang dikenali hanyalah cinta.

Cinta buta dari melihat keseluruhan baikburuk, yang nampak hanya salutan putih melitupi hitamnya sahaja. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas penilaian yang matang. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting, kerana ia dapat membantu membimbing remaja membina rumahtangga yang berjaya.

Dua:
Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan satu suami, dan satu isteri sahaja. Tetapi melibatkan rangkuman dua buah keluarga dari kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga masa depan.

Tiga:
Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam sabda Rasulullah SAW
[Hadis sahih riwayat At-Tarmizi], "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa." Maka binalah rumahtangga yang diredhai Allah SWT dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu. Ini penting sangat untuk menghindari kemurkaan Allah.

Sudut II:

Dari sudut hukum fiqh. Maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (Ertinya, kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).
[Hadis sahih riwayat At-Tarmizi].

Oleh itu pemahaman dan pelaksanaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada 3 keadaan.

Satu:
Keadaan, apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan anaknya, berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam yang ditegah agama dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah anaknya berkahwin dengan calon tersebut dan anak wajib mematuhinya.

Dua:

Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan anaknya disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan anaknya, semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan anaknya semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak boleh menegah anaknya dari memilih calon tersebut.

Tetapi ini tidaklah bererti anaknya boleh 'kahwin lari'. Sebaliknya hendaklah memilih jalan berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa, agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan anaknya.

Tiga
:
Anak dan ibubapa saling berselisih, dan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku ialah...

(i) Anak ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkan sehingga tamat pengajian terlebih dahulu.
(ii) Calon lelaki pilihan anaknya, tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup.

Walaupun bagi kedua-dua contoh di atas tidak sepatutnya berlaku dalam negara Islam, yakni belajar atau masalah rezeki sebagai penghalang perkahwinan, atau apa-apa yang seumpamanya, tetapi pihak anak hendaklah berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan selesai. Kalau tak berhasil juga, pihak anak hendaklah mengalah atau beralah menuruti ibubapanya. Apa yang ada di sisi Allah SWT adalah jauh lebih baik dari kekasih yang menempek di hati anda, wahai anak!

Kes di atas...Dalam kes R dan MA di atas seperti yang ditanyakan, belum jelas mengapa ayahnya tidak setuju dengan pemuda Sri Langka itu. Hal itu yang perlu diketahui dan dirundingkan, terutama oleh pemuda bakal menantu itu.

Baik... Masih merujuk kepada hadis-hadis di atas, terdapat beberapa perkara penting...

Satu:
Banyak berlaku kes 'kahwin lari' dengan menggunakan 'wali sendiri'. Perlu diingatkan bahawa 'wali' yang dimaksudkan dalam dua hadis pertama di atas adalah ayah kepada pasangan perempuan. Seorang anak perempuan tidak boleh memilih wali yang lain kecuali jika dia memiliki alasan yang dibenarkan syari‘at.

Contohnya, ayahnya sudah tiada, atau ayahnya jelas-jelas fasiq atau tidak siuman.
..'jelas-jelas fasik' di sini, maksudnya benar-benar menenggelamkan dirinya dalam perbuatan yang dilarang seperti selalu mabuk, selalu berjudi dan mengamuk apabila marah, suka memukul ahli keluarga dan sebagainya. Jika ayahnya berbuat salah sekadar menghisap rokok, solat berjamaah sekali-sekala, memakai seluar pendek dan sebagainya, dia tidak termasuk dalam kategori fasiq yang dimaksudkan di atas.


Pun begitu, hak wali beralih kepada yang terdekat iaitu datuknya. Jika tidak ada yang layak mengganti, maka ia diwakilkan kepada seorang hakim yang adil lagi amanah. Pernikahan tanpa keizinan wali, yakni seorang 'ayah kepada pasangan perempuan', adalah tidak sah dan batal. Rasulullah SAW menegaskan, maksudnya, “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (Nabi mengulanginya tiga kali).”[
Hadis sahih riwayat Abu Daud].Ulasan Tambahan:
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh tentang hukum wali dalam perkahwinan dan ia dapat diringkaskan kepada tiga pendapat:

(i) Wali adalah tidak wajib. Ini adalah pendapat yang lemah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Sahih riwayat Abu Daud]

(ii) Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah sesiapa sahaja yang layak. Ini kerana perkataan 'Wali' dalam hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” itu, bersifat umum sehingga siapa sahaja yang layak, maka dia termasuk dalam ke'umum'an wali tersebut.

(iii) Wali adalah wajib dan yang berhak menjadi wali adalah ayah. Keumuman hadis “Tidak ada nikah kecuali dengan wali” dikhususkan oleh hadis berikutnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal.” Nabi kata '…tanpa izin walinya…' menunjukkan wujudnya faktor keizinan dan tiada siapa yang memiliki peranan dalam faktor keizinan melainkan seorang ayah.

Pendapat terakhir dikatakan, adalah terkuat dan paling mendekati kebenaran. Hal ini bukan sahaja disebabkan gandingan antara kedua-dua hadis berkenaan wali, tetapi juga dijelaskan dalam seluruh dalil Al-Qur’an dan Al-Sunnah berkenaan hak ibubapa terhadap anak-anak. Mungkin ada yang merasa berat untuk menerima pendapat ini, kerana budaya kita telah sekian lama terselesa dan terlena dengan pendapat yang menyatakan tidak boleh memaksa anak menerima calon perkahwinan pilihan ibubapa.

Malah lebih teruk lagi, ada segelintir yang tergelincir berlebih-lebihan dalam rangka membela hak wanita melalui jaringan aliran feminism atau Islam Liberal yang menyesatkan umat Islam masa kini. Mereka menganggap anak, khasnya anak perempuan, memiliki hak mutlak dalam menentukan calon perkahwinannya, bahkan sampai berhak menjadi imam solat kepada lelaki.

Yang penting adalah, ibubapa tidak boleh memaksa anaknya berkahwin dengan pasangan yang tidak disukainya, seperti juga anak juga tidak boleh memaksa ibubapanya menerima menantu yang tidak disukai mereka.
Tanggungjawab untuk mendapatkan izin ayah pasangan perempuan terletak di bahu pasangan lelaki. Kerana dia adalah pemimpin kepada rumahtangga yang bakal didirikannya.

Rasulullah SAW berkata,"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipersoalkan apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipersoal apa yang dipimpinnya.[
Al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab Al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya].

Pada masa yang sama, pasangan lelaki juga wajib mendapatkan izin dan redha ibubapanya sendiri, bukan bakal mertuanya saja.. Ini kerana lambat-laun ibubapanya tetap akan tahu juga, kalau anaknya “kahwin lari”. Jika mereka tidak setuju, mereka ada hak untuk menyuruh anak tersebut menceraikan pasangannya. Demikian juga, jika sampai kepada pengetahuan ibubapa pasangan perempuan bahawa anak mereka telah “kahwin lari”, mereka juga memiliki hak untuk menceraikan perkahwinan tersebut jika mereka tidak setuju.

Oleh itu jika hendak berkahwin, perhatikan betul-ketul. Kalau sudah terlanjur bertaubatlah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Pengampun kepada hamba-Nya. Rendahkan diri kepada ibubapa masing-masing. Bercakap, berbincang dan carilah keredhaan mereka dan mohonlah maaf, kerana.. “…ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”[
Hadis sahih riwayat At-Tarmizi]

Dua:

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang wanita dinikahi kerana 4 sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi." [
Al-Bukhari dalam Shahihnyahadis no: 5090 (Kitab al-Nikah, Bab yang paling sesuai adalah pada agamanya.]

Adakalanya seorang anak membuat pilihan calon sendiri berdasarkan petunjuk hadis di atas. Namun calon yang dipilih tidak dipersetujui oleh ibubapa mereka. Berdasarkan anggapan mereka berada di pihak yang benar, anak tersebut sanggup meninggikan suara terhadap ibubapanya kerana menyangka dia berada di pihak yang betul. Hadis di atas adalah benar, tetapi tidak boleh beramal dengan satu hadis dan meninggalkan hadis-hadis yang lain.

Justeru kalau ibubapa bersifat terbuka kepada apa sahaja kriteria yang dipilih oleh anak mereka, maka memang tepat jika anak tersebut memilih calonnya berdasarkan hadis di atas. Tetapi jika ibubapa calon itu semata-mata kerana kebaikan menurutnya, maka penolakan ibubapa itu bukanlah alasan yang dibenarkan oleh syari‘at.

Pun begitu, anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan, terletak kepada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya. (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات).

Inilah, kira-kira pandangan yang saya berikan dalam bentuk membuka pemikiran ke arah kebaikan bersama kepada si R yang bertanya itu, dan yang sepertinya.. Suruh juga kepada si MA dan yang sepertinya membaca tulisan ini juga. Dan kepada ibubapa, teringat saya kepada kisah ulama zaman lalu...

Pernah ulama itu terserempak melihat kemaluan anak remaja lelakinya yang tegang mengeras waktu pagi baru bangun tidur, menyebabkan fikirannya murung ligat memikirkan bagaimana untuk mengahwinkan puteranya secepat mungkin. Bahaya kalau dibiarkan lama. Bagaimana pula anakperempuan? Perlu ada dalam pengetahuann ibubapa, semuanya!

Itulah pakej Islam yang bebas kita memilihnya, tetapi bila sudah pilih kena ikut semua peraturannya, kalau mahu berjaya dan bahagia.


Wallahu aklam.


Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL 1 Sept 2010.
Catatan Perjalanan di Sri Lanka...

Perhatian:
Kerana ada seseorang bertanya masalah ini, maka tulisan lama ini diangkat kembali untuk penanya tersebut, walaupun tulisan ini agak lama, tapi masih 'ever green', insya Allah. Sekian, terima kasih. -editor. 13/3/2016

6 comments:

King said...

Alhamdulillah...

Terima kasih tuan.Rencana yg amat baik dan berguna.

Anonymous said...

Jazakallahukhairan,
Terima kasih kerana penerangan yang mendalam ini.
Mungkin inilah tempat paling sesuai dirujuk dalam isu berkaitan.
Ramadhan Karim

ahmed said...

hari ini agak lapang sikit. Saya buka e-mail, dan seseorang mengadu kepada saya, '..tuan boleh membantu saya dengan memberikan pandangan mengenai dilema yang saya hadapi.

ali said...

Inilah, kira-kira pandangan yang saya berikan dalam bentuk membuka pemikiran ke arah kebaikan bersama kepada si R yang bertanya itu, dan yang sepertinya.. Suruh juga kepada si MA dan yang sepertinya membaca tulisan ini juga. Dan kepada ibubapa, teringat saya kepada kisah ulama zaman lalu...

zaid said...

anak tidak boleh sewenang-wenangnya meninggikan suara di hadapan ibubapanya. Hendaklah dia berbincang kepada mereka dengan perbincangan penuh rendah diri, sopan dan sabar. Tidaklah bijak untuk mengejar satu kebaikan dengan meninggalkan banyak kebaikan yang lain. Kebijaksanaan, terletak kepada mengejar semua kebaikan mengikut keutamaannya

ahmad khairie said...

Tq tuan editor.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails