Sunday, July 18, 2010

P.PG: Julungkali Anugerah Agama 2 'Tokoh Ilmuan'




PULAU PINANG JUL 18 10: KOLEJ Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) buat julung kalinya akan menganugerahkan 'tokoh ilmuan' kepada dua tokoh agama tempatan di atas sumbangan mereka dalam perkembangan Islam di negeri tersebut.

Anugerahkan tersebut akan disampaikan oleh Yang Terutama Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sewaktu konvokesyen KITAB pada 27 Julai ini.

Penerima augerah tersebut ialah imam Masjid Kapitan Keling yang juga seorang guru tahfiz, Datuk Sheikh Abdullah Abdullah Bukhari yang banyak berjasa dalam bidang tahfiz al-Quran.

Manakala seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah ahli Majlis Fatwa Pulau Pulau Pinang yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Mohd Salleh Ahmad yang menyumbangkan jasanya dalam bidang syariah.

"Apabila kita memberi sumbangan ini, mereka akan menjadi rujukan kepada masyarakat dan institusi lain," kata Rektor KITAB, Dr Mustapa Kassim.

Mengenai konvokesyen ketiga kolej tersebut, Dr Mustapa berkata 28 pelajar akan menerima diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran manakala 260 pelajar lagi menerima sijil dalam bidang bahasa Arab dan bahasa Inggeris. "Dua daripada pelajar diploma itu adalah pelajar antarabangsa, masing-masing dari Indonesia dan Singapura," katanya.

Manakala dalam bidang sijil pula, Mustafa berkata, dua orang pelajar dari Thailand juga bakal menerima sijil mereka pada hari bersejarah itu. Mustafa berkata, setakat ini kolej tersebut yang mula beroperasi pada 12 Mei 2005, mempunyai 262 pelajar yang mengikuti lima bidang pengajian di peringkat diploma.

Selain menawarkan pengajian diploma Syariah dan Tahfiz Al-Quran, tiga bidang lagi yang ditawarkan adalah Diploma Kewangan, Perbankan dan Qiraat Al-Quran yang telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurutnya, terdapat pelajar yang tamat pengajian dari kolej itu sebelum ini telah melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), antaranya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Univerisiti Multimedia (MMU), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Malah kata Mustafa, terdapat juga pelajarnya yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah pertama di Univerisiti Islam Negeri (UIN) di Medan, Indonesia. Di samping itu, kini terdapat 60 pelajar tempatan yang telah bekerja yang mengikuti pengajian hujung minggu di kolej tersebut-masing-masing 47 dalam bidang Diploma Syariah dan 13 orang dalam bidang Tahfiz Al-Quran.

Menurut Dr Mustafa, KITAB kini mempunyai 30 tenaga pengajar yang majoritinya anak tempatan dan telah mengikuti kursus pengajaran di Univerisiti Sains Malaysia (USM). Katanya, kolej tersebut yang sebelum ini merupakan sebuah pusat pengajian tahfiz, adalah milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Kami menjangkakan dalam masa lima tahun lagi, kami mempunyai universiti sendiri," katanya sambil menambah MAINPP turut menyelia tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah yang diletak di bawah satu struktur.

Beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memastikan KITAB beroperasi dalam keadaan yang mantap, teguh dan dipercayai, iaitu Jawatankuasa Merangka Kurikulum, Jawatankuasa Pakar Menyemak Kurikulum dan Lembaga Pengarah KITAB.

Jawatankuasa tersebut dianggotai pakar-pakar dalam pelbagai bidang di peringkat negeri dan kebangsaan.

Program Diploma Syariah, Diploma Tahfiz al-Quran dan Diploma Qira'at juga diiktiraf oleh universiti di Timur Tengah seperti di Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Maghribi untuk membolehkan pelajar kolej tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.(2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails