Saturday, July 17, 2010

Esok K'jasama Polis M'sia-FBI Siksa Umat Islam, Dinafi.


KL, 17 Julai 10: Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan harus membatalkan penganjuran persidangan enam hari Persidangan FBI National Academy Associates Asia-Pacific Ke-13 di ibu negara bermula esok.

Menurut beliau, ianya berlaku atas alasan FBI atau Biro Siasatan Persekutuan merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.

“Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa umat Islam di AS, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, National Academy melatih pegawai kanan polis dari AS serta mereka dari luar Amerika, termasuk dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi dan Israel.

“Walaupun latihannya terang-terang untuk memajukan kepakaran penguatkuasaan undang-undang, ia juga menyampaikan maklumat kepada pelatih persepsi Amerika berhubung isu global.

“Contohnya pelatih akan diasak dengan kepentingan dan keperluan untuk memerangi keganasan global. Pergerakan Pembebasan Kebangsaan seperti Hizbullah, Hamas dan penentangan terhadap penduduk Amerika di Afghanistan dikategorikan sebagai pengganas.

“Menurut laman sesawang FBI, pelatih akan dibawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington sebagai ‘komponen moral dan etika untuk latihan. Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati untuk Zionis dengan mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestin dan untuk mewajarkan dasar pro-Israel oleh Amerika,” kata Azmi.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan kerajaan menganjurkan persidangan tersebut, sebaliknya ia hanya mesyuarat alumni untuk meraikan peserta yang melalui kursus FBI.

“Mana ada persidangan FBI? Sebenarnya ia hanya mesyuarat alumni untuk mereka yang telah melalui kursus FBI dan tidak ada kena-mengena langsung dengan FBI.

“Saya sendiri akan hadir di mesyuarat tersebut kerana ia membantu kita melihat dunia yang semakin mencabar yang tidak ada sempadan sekarang,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Seputeh di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mapim yang membantah penganjuran persidangan tersebut. Hishammuddin juga dilaporkan berkata, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan awal bulan ini untuk memantau penyebaran berita-berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Laporan-laporan berita yang keluar ada yang benar, ada yang kurang benar dan ada yang berunsur fitnah.

“Jadi melalui jawatankuasa ini kita akan sediakan satu garis panduan supaya kita dapat memantau akhbar tempatan dalam negara bukan hanya melibatkan akhbar parti pembangkang sahaja tetapi daripada komponen BN juga,” katanya.

Difahamkan jawatankuasa tersebut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri adalah urusetianya.

“Kita kena pastikan bahawa hak majoriti dan hak individu, kebebasan bersuara dan hak mempertahankan kedudukan negara perlu diimbangi.

“Ini kerana hak bersuara bukan hak mutlak sekiranya negara berpecah kerana majoriti juga mempunyai hak dalam bersuara,” kata Hishammuddin. (Sumber: The Malaysian Insider/AK)

2 comments:

Kuda Perang said...

Dia ni pantanng betul kalau gelak, lucu siket2 pun dibantainya gelak kaw kaw aww aww punya...

www.info-asik.com said...

nice info guys :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails