Tuesday, June 15, 2010

Imbauan 9: Hassan Shukri Sifu & Guruku.

Ibnu Hasyim: Catatan Santai

Allahyarham Ustaz Hassan: Mengadap kamera 2 dari kanan.. & gambar bawah..

PETANG semalam, lepas zohor hampir asar, saya dapat berita tentang perginya Ustaz Hassan Shukri ke rahmatullah. (Lihat Ustaz Hassan Shukri Kembali Ke Rahmatullah) Saya pun terus ke rumah beliau dengan seorang kawan saya.

Rumah Allahyarham di Pusat Tarbiah PAS Taman Melewar, Selangor. Se sampai di sana, kereta sudah penuh, susah dapat tempat parking. Di dalam rumah pula sudah tiada ruang lagi untuk kami masuk. YDP PAS Batu, Ishak Surin tersenyum bersama orang kuatnya Sdr Tarmizi Md Jam, menyambut kami. Kami bersalam-salaman dan berdiri di luar.

Nakhaie Hj Ahmad bekas Naib Presiden PAS yang lompat masuk UMNO beberapa tahun lalu pun ada. Maklumlah, rumahnya berjiran dengan dengan rumah Allahyarham Ustaz Hassan. Dan ramai lagi orang-orang PAS ada di luar tidak dapat masuk dalam rumah. Khalid Samad, Kamaruddin Jaafar antara pemimpin-pemimpin PAS ada di dalam, yang saya tahu.

Kenangan lama kini menghimbau kembali bersama Ustaz Hassan Shukri. Saya akui beliau adalah sifu dan guru saya tidak secara langsung, terutamanya dalam berpolitik. Saya masuk PAS sekitar awal tahum 80an, di Pejabat Agung PAS. Sewaktu saya mula menggerakkan PAS, beliau, Osman Razak dan Allahyarham Uthman Hamzah (bekas pimpinan Hizbul Muslimin, gerakan Islam sebelum PAS yang diharamkan penjajah) sama-sama menbantu menubuhkan PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar (sekarang PAS Kawasan Bukit Bintang). YDP pertamanya Ustaz Osman Razak dan saya dipilih sebagai Ketua Pemuda pertama.

Pada pertengahan tahun 80an, saya dan kawan-kawan ingin menghidupkan kembali PAS di Balik Pulau, Pulau Pinang. Ustaz Hassan waktu itu sebagai Setiausaha Agung PAS banyak membantu memberi khidmat nasihat sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Kampung Perlis dan Kawasan Parlimen Balik Pulau, yang menjadi kontraversi agak panas di Perhubungan Negeri Pulau Pinang masa itu.

Terkenang juga, bagaimana Allahyarham berusaha menbina pusat tarbiah, di Melewar ini. Dibelinya sekeping tanah, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan kepada pembeli-pembeli orang PAS. Tapak yang depan sekali dibuat pusat tarbiah, dan pernah dijadikan pejabat agung PAS. Selepas itu rumahnya, rumah Nakhaie (yang waktu membeli itu jadi pemimpin PAS), dan seterusnya.

Bila kesuntukan wang, allahyarham cari saya, "Mat! (nama gelaran saya), ada apa-apa nak derma tak? Aku perlu beberapa lori pasir dan beberapa bantal simen.. Kita nak siap cepat markas kita ni.." Rayunya. "Korek-korek duit zakat harta atau niaga kalau ada, yang akan datang pun boleh bayar sekarang. Kita perlu sangat ni.. Muktamar dah dekat." Begitulah caranya mengumpulkan wang untuk bina pusat tarbiah di samping kutip derma melalui ceramah umun dan lain-lain.

Pernah Allahyarham mengajak saya raund Semenanjung Malaysia ziarah mangsa-mangsa bekas tahanan ISA, membantu dan beri derma kepada mereka dengan menaiki kereta saya. Begitulah cara berpolitik menarik hati orang-orang kampung, terutama di negeri Selangor dan Perak waktu itu. Sehingga beliau naik ke puncak pimpinan PAS memegang jawatan Timbalan Presiden PAS, sebelum Ustaz Nasaruddin yang memimpin sekarang.

Begitu, secuit imbauan angin dingin masa lalu bersama sifu dan guruku Allahyarham Ustaz Hassan Shukri. Al-fatihah! ...............

Catatan santai:
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
KL.
15 Jun 2010.


Sila lihat imbauan kenangan lama sebelum ini...

1 comment:

Anonymous said...

Jalan yg mereka teroka untuk kita teruskan perjuangan memenangkan Islam.... Just do it.

Selamat bertemu Allah. May Allah give you jannah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails