Monday, June 14, 2010

Cari 1/2 Juta, jika mahu kekal S'ngor-Kedah -L/P'raya PAS


KOTA BARU, 14 Jun 10— PAS Selangor dan Kedah perlu melipatgandakan usaha memikat minimum 50 peratus daripada 1.2 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi baru di negeri itu jika mahu Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan tapak kuasa di kedua-dua negeri tersebut.

“PAS perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi baru... kerana kini ada kira-kira 700,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pengundi di Selangor dan 300,000 orang lagi di Kedah.

“Jadi, kita perlu meletakkan sasaran untuk mendaftarkan separuh daripada mereka jika mahu menarik pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya,” kata Ketua Lajnah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ketika dihubungi, menurut The Malaysian Insider.

Sambil menegaskan ia sebagai satu peringatan serius menghadapi pilihan raya umum akan datang, Abdul Halim memberitahu, sasaran itu perlu dicapai menjelang hujung tahun ini. “Kita (PAS Selangor dan Kedah) tiada pilihan, kena capai sasaran ini sebelum hujung tahun ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

PAS dijangka akan mengadakan ‘retreat’ bulan depan bagi menyiapkan pelan komprehensif menghadapi pilihan raya umum sebelum September ini. Kelmarin, Muktamar Tahunan PAS Ke-56 telah meluluskan pelan 15 strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebahagian daripada usul yang diluluskan parti komponen PR ini.

Ditanya sebab meletakkan sasaran itu di atas bahu PAS sahaja sedangkan Selangor dan Kedah diterajui bersama oleh PR, Abdul Halim menjelaskan, usaha menarik pengundi harus digerakkan oleh parti, bukannya kerajaan. “PAS sebagai parti komponen Pakatan perlu menggerakkan usaha ini, parti kena ke depan... sebab itu saya mengatakan pesuruhjaya PAS dan ketua kawasan kena tingkatkan usaha mereka,” katanya lagi.

Abdul Halim juga berkata, berbanding PAS rakan mereka DAP lebih ke depan dalam mendaftar pemilih baru di Selangor. “Di Kedah usaha mendaftar pengundi baru ada tetapi tidak agresif... jadi saya telah meminta pesuruhjaya PAS kedua-dua negeri agar melipatgandakan usaha pendaftaran pemilih baru ini,” kata beliau.

Dalam ucapan penggulungan muktamar pagi semalam, Abdul Halim melontarkan kejutan dengan menegaskan kedua-dua kerajaan negeri itu berada di “ambang keruntuhan” jika kepimpinan PAS negeri tidak mempergiatkan pendaftaran pengundi baru dalam jumlah yang besar.

Dengan mengambil kira prestasi PR ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Selangor, Abdul Halim berkata, PAS perlu mempergiatkan usaha mendaftar pengundi-pengundi baru.

“Berdasarkan (prestasi ketika) pilihan raya kecil Hulu Selangor, saya hendak ingatkan pesuruhjaya PAS dan Yang Dipertua PAS kawasan di Selangor, kita kena tingkatkan pendaftaran pemilih... di Hulu Selangor kita kehilangan enam peratus pengundi Melayu dan 10 peratus pengundi India.

“Kalau kita tidak daftar pengundi muda yang baru, Selangor di ambang keruntuhan. PAS ‘out’, cuma boleh dapat dua kerusi,” katanya.

“Kedah pun kena tambah pengundi-pengundi baru, kalau tidak Kedah pun di ambang kejatuhan,” kata Abdul Halim.

Pelan tindakan 15 strategi PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 menyasarkan strategi mendapatkan sejuta pengundi baru. Muktamar yang berakhir hari ini banyak memberi tumpuan ke arah persediaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13 bersama Pakatan Rakyat.

Pandangan Abdul Halim muncul ketika Umno Kedah meletakkan sasaran untuk menambah sekitar 100,000 pengundi baru dalam usaha merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

Dalam temu bual telefon dengan The Malaysian Insider bulan lalu, Setiausaha Umno Kedah Datuk Ir Nawawi Ahmad tidak menolak perkara itu tetapi enggan memberikan angka tepat pengundi yang mereka sasarkan.

Beliau mengakui ada memberikan pendekatan dan strategi mereka untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. “Kami sasarkan sekitar 10 peratus daripada jumlah (pengundi) yang ada sekarang,” kata beliau.

The Malaysian Insiden difahamkan sasaran itu dijanjikan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada pertemuan ‘retreat’ Umno di Janda Baik dekat sini awal bulan lalu. Pemimpin-pemimpin Umno bahagian membentangkan laporan KPI enam bulan mereka kepada Perdana Menteri pada pertemuan itu.

Bagaimanapun Nawawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Kuah memberitahu, pihaknya dalam proses menggerakkan usaha menambah keahlian parti dan pada masa yang sama mahu menjadikan mereka sebagai pengundi.

Dalam ucapan dasarnya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa secara umumnya, semua organisasi parti termasuklah jentera pilihan rayanya perlulah diperkemaskan di semua lapisan peringkat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13.

Dengan pendaftaran pengundi yang menyeluruh, kata PAS, tumpuan serius dan sistematik perlu diberikan termasuk melancarkan gerak kerja khas pendaftaran pemilih, terutama pemilih baru, secara besar-besaran.

Ketua Dewan Pemdua PAS Nasrudin Hasan al-Tantawi menyasarkan untuk memberi tumpuan ke atas 2.2 juta pengundi muda. Berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 319,000 warga Kedah dan 799,000 lagi di Selangor, yang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mengundi sebagai pemilih. Keseluruhannya seramai 4.44 juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pemilih. (The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails