Tuesday, February 16, 2010

Maulid Nabi Tidak Diamalkan Di Zaman Nabi -Tim MB K'tan

KUALA LUMPUR, Feb 16 — Kelantan tidak akan menganjurkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini meskipun Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat sebagai anti-Islam kerana didakwa merancang untuk membatalkan acara itu bulan ini.

“Kami tidak menganjurkan perarakan sebagaimana amalan sebelum ini. Tetapi sudah tentu perarakan diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri, yang dianjurkan oleh orang ramai untuk melahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

“Secara rasmi tiada perarakan yang ditaja oleh kerajaan negeri. Sebaliknya kami akan adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV pada 25 Feb dan disusuli dengan sembahyang khas,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Kebanyakan negara Islam menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan perarakan selepas solat. Bagaimanapun Arab Saudi tidak mengadakan perarakan.

Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk membatalkan perarakan tahun ini, sekali gus mengundang kritikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang.

Laporan dan krtikan itu dinafikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan menegaskan, kerajaan negeri pimpinannya tidak pernah memutuskan untuk membatalkan acara itu kali ini.

Beliau menyifatkan laporan Utusan Malaysia sebagai satu pembohongan. Dalam kenyataannya, Timbalan Menteri Besar Kelantan menambah perarakan itu bukan satu kemestian.

“Umat Islam boleh memilih untuk mengadakan ataupun tidak. Tetapi apa yang penting ialah mereka berpegang teguh pada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad,” kata Ahmad.

“Dan, ia juga tidak diamalkan ketika zaman Nabi,” katanya.

Semalam ketika bercakap kepada The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan keikhlasan Umno yang didakwa sengaja mempolitikkan isu kononnya Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul sedangkan parti itu tidak pernah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Kedah yang pernah terlepas beberapa kali sebelum Mac 2008.

Justeru Mahfuz berkata, pihaknya menganggap serangan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya terhadap Ketua Menteri Lim seolah-olah “dijadikan modal politik murahan” untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat.

“Ada beberapa negeri lain yang pernah membatalkan perarakan Maulidur Rasul sebelum ini, tetapi saya tiada maklumat yang tepat.

“Bagaimanapun di Kedah, saya sudah periksa dengan Majlis Agama Negeri Kedah, di mana saya dimaklumkan perarakan Maulidur Rasul pernah dibatalkan semasa kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Mengapa perkara ini tidak ditimbulkan oleh Umno sebelum ini, mengapa perkara ini tidak dipersoalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi perdana menteri,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Sementara itu, Umno Kelantan menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik. Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

Umno Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.

"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ianya juga diamalkan di negara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin Umno Bahagian Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan 'Maulud' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Kenyataan Mursyidul Am PAS itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri tersebut. (2MA)

3 comments:

mr edz said...

biasa la nama pun UTUSAN.. yang betul cuma gambor artis jer

Awang said...

memanglah tak ada perakan maulid nabi waktu nabi hidup. Perakan kini sebenarnya menamam sikap setia kawan dan bersatu kita sebagai orang Islam , itu aje...

Awang said...

marikah kita semua orang islam berarak...jumpa di sana. ...di sana...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails