Saturday, February 20, 2010

Bunuh & Bogel, Buang Hak Manusia Tuntut Hak Binatang.


Amber seakan-akan berbogel dengan dihiasi lukisan belang seperti harimau terkurung di dalam sebuah sangkar dan mesej ‘Biarkan Haiwan Liar Bebas’. Poster itu juga sempena Tahun Baru Cina yang jatuh pada Tahun Harimau tahun ini.

SEORANG wanita yang memakai kot bulu haiwan berharga ratusan ringgit sedang berjalan-jalan di sebatang lorong apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba muncul di hadapannya. Lelaki misteri itu kemudian mengeluarkan sebatang kayu lalu memukul wanita tadi hingga pengsan.

Tanpa mempedulikan orang ramai yang lalu-lalang, lelaki itu terus menanggalkan kot buluhaiwan yang dipakai wanita itu sebelum melarikan diri. Senario itu sememangnya menakutkan, namun ia bukan sedutan daripada drama atau filem Hollywood terkenal sebaliknya hanyalah sebuah klip video yang bertajuk Fur is Dead yang boleh dilihat melalui laman web Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA).

Apa yang pasti, mesej yang tertera pada akhir klip video berdurasi kurang seminit itu iaitu ‘Bagaimanakah jika anda dibunuh kerana kot bulu haiwan yang dipakai?’ jelas menunjukkan betapa seriusnya pertubuhan itu memperjuangkan hak asasi haiwan di seluruh dunia. Hingga sanggup membunuh manusia kerana mempertahankan bulu haiwan?

Agresif dan lantang dalam menyuarakan polisinya, PETA semakin berkembang dan mendapat sokongan daripada ahli politik, selebriti dan media massa antarabangsa. Pendedahan itu turut membawa kepada pindaan Akta Kebajikan Haiwan pada 1985 bagi memastikan para penyelidik tidak melakukan kajian yang boleh mengakibatkan penderitaan terhadap haiwan makmal.

Kejayaan lain yang dicapai PETA ialah menghentikan penggunaan haiwan sebagai bahan ujian dalam industri kosmetik. Benetton merupakan syarikat pertama yang menghentikan ujian seumpama itu, disusuli nama-nama besar dalam industri itu seperti Avon, Revlon dan Estee Lauder. Sedekad kemudian, Gillette juga mengumumkan penangguhan berhubung ujian yang sama.

Pendedahan PETA mengenai penggunaan haiwan di makmal turut memberi tamparan kepada syarikat jus terkemuka, POW. Selepas berunding selama hampir dua tahun dan lebih 400 demonstrasi dilakukan di seluruh dunia, gergasi syarikat makanan segera, McDonald’s akhirnya bersetuju untuk meningkatkan tahap kebajikan dan penjagaan haiwan ternakannya di ladang.

Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, beberapa syarikat makanan segera seperti Burger King, Wendy, Safeway, Kroger dan Albertson pula bersetuju untuk memperkenalkan garis panduan yang ketat dalam meningkatkan kualiti hidup haiwan yang disembelih untuk dijadikan makanan. PETA bukan sahaja menggunakan pendekatan media secara agresif tetapi turut bekerjasama dengan ramai selebriti terkenal. Antaranya termasuk Paul McCartney, Pamela Anderson dan Sarah Jessica Parker untuk menjayakan pelbagai kempen di seluruh dunia.

Antara kempen yang paling diingati dan masih berjalan sehingga kini ialah Fur Is Dead yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap eksploitasi bulu haiwan bagi tujuan fesyen. Pamela Anderson misalnya, pernah berbogel dalam kedai pereka fesyen terkenal Stella McCartney sebagai tanda menyokong kempen yang dijalankan PETA sejak 2006 itu.

Pamela juga mengeluarkan kenyataan di Contactmusic: “Saya hanya mahukan Stella McCartney sebagai hadiah Krismas saya. Setiap kali memakai pakaian rekaannya, saya rasa begitu selesa dan tidak terasa ada hidupan yang mati pada pakaiannya.”

Langkah itu diikuti oleh penyanyi bersuara lantang, Christina Aguilera. Aguilera bersetuju untuk berbogel untuk PETA dalam bentuk kad Krismas di laman web e-Cards pada tahun 2007. Selain itu, supermodel dan pelakon terkenal seperti Christy Turlington, Naomi Campbell, Eva Mendes dan Alicia Silverstone juga pernah bergambar bogel dalam satu poster PETA yang tertera slogan” “Saya lebih rela berbogel daripada memakai pakaian daripada bulu haiwan.”

Bagaimanapun tidak semua artis yang menyokong kempen yang dijalankan. Penyanyi Beyonce Knowles merupakan antara selebriti yang telah disenarai hitam oleh PETA kerana mengagung-agungkan pakaian yang diperbuat daripada bulu haiwan. Malah dalam kempen terbaru PETA Asia Pasifik, PETA telah menggunakan poster seorang model terkenal Malaysia Amber Chia.

Tubuh Amber seakan-akan berbogel dengan dihiasi lukisan belang seperti harimau terkurung di dalam sebuah sangkar dan mesej ‘Biarkan Haiwan Liar Bebas’. Poster itu juga sempena Tahun Baru Cina yang jatuh pada Tahun Harimau tahun ini. Selain Amber, aktres Bollywood, Shilpa Shetty juga pernah bergambar bagi kempen yang sama dengan mesej tertera Dipukul, Kesunyian dan Teraniaya.

Seperti di negara lain, pertubuhan itu turut aktif menjalankan kempen di Malaysia. Baru-baru ini, PETA Asia Pasifik menganjurkan kempen menggalakkan orang ramai mengamalkan diet sayur-sayuran dan menyaksikan salah seorang aktivisnya, Ashley Fruno, 23, mengenakan pakaian yang diperbuat daripada sayur-sayuran.

Kempen selama satu jam itu disertai kira-kira 30 ahli PETA yang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur bagi membangkitkan kesedaran kepada generasi hari ini mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan pemuliharaan haiwan.

“Saya tahu bukan mudah untuk mengubah minda serta perspektif seseorang itu terhadap sesuatu perkara kerana ia perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Namun, saya percaya dengan kempen berterusan, masyarakat akan memahami serta sedar mengenai kepentingan mengamalkan diet sayur-sayuran,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor berkata, kempen agresif yang dilakukan PETA telah berjaya membuka mata banyak pihak mengenai penyalahgunaan hak asasi haiwan yang berlaku di seluruh dunia.

Menurutnya, salah satu kejayaan kempen PETA ialah tindakannya memboikot penggunaan bulu haiwan dalam industri fesyen yang telah berjaya meraih simpati masyarakat termasuk di kalangan selebriti dan pereka-pereka fesyen terkenal.

“Penggunaan poster wanita tanpa berpakaian walaupun agak sensitif di sesetengah negara seperti Malaysia namun apa yang penting ia dapat mengurangkan jumlah haiwan yang dibunuh setiap tahun bagi tujuan itu.

‘”Mesejnya jelas, jika masyarakat di dunia bersatu dan tidak menggunakan bulu atau sumber yang berasaskan haiwan, sudah pasti kegiatan pemburu haram dan kepupusan haiwan dapat dihapuskan,” katanya.

Komen Pengulas:

Pertama: Kempen sanggup memukul atau membunuh, merompak hak orang, walaupun pakaian bulu yang dipakai orang itu belum tentu didapati dengan membunuh binatang, adalah kempen yang jauh dari memperjuangkan keadilan, seperti kisah di atas.

Kedua: Sanggup memperalatkan wanita hingga bertelanjang menggadaikan maruh manusia demi menyelamatkan hak binatang kononnya. Budaya ini jangan dibawa masuk ke Malaysia, kerana ini mem'binatang'kan maruah manusia, yang amat bertentangan dengan agama majoriti penduduk negara ini. Perlu ditentukan di mana batas-batas hak wanita dan binatang.

Ketiga: Dalam menentukan batas-batas hak manusia dan binatang, dalam Islam ada peraturan menyembelih, daging binatang boleh dimakan walaupun tidak semua, kulitnya boleh dibuat pakaian, tetapi matinya tidak dengan tersiksa. Itu contoh kecil, sila lihat contoh-contoh lain yang lebih penting.

Keempat: Sepatutnya sebelum diterangkan hak ke atas binatang, penginjak-penginjak hak asasi manusia atau 'proses membinatangkan manusia' perlu dikutuk seperti Amerika Syarikat (AS), Israel dan kuncu-kucunya. Perampasan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, diskriminasi warna kulit di AS sendiri, pen'curi'an manusia oleh Israel di Haiti, Aceh, ISA di Malaysia dan lain-lain. Patutkah yang lebih besar didiamkan hanya kerana takutkan 'kuasa politik besar dunia'?

Oleh:

Dr Hj Mohd Hasyim
Presiden
Grup Universiti Ulu Klang, Malaysia.
20 Feb 2010

1 comment:

Salman said...

salam Tuan,
sedikit info bagaimana kezaliman manusia tanpa belas kasihan, menyentap bulu haiwan dari badan yang masih bernyawa, pedih dan sakit hati bila melihat perbuatan manusia begini rupa,,,

Fashionable MURDER

http://wakeupproject.com/VList.asp?Series=29&Video=158

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails