Tuesday, February 23, 2010

Bukan Melayu Jadi PM, Apa Kata Pakar Perlembagaan?




Prof Datuk Shad Saleem Faruqi



Prof Dr Abdul Aziz Bari

Tok Guru Nik Aziz

GOLONGAN bukan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia. Demikan pendapat seorang pakar perlembagaan terkenal Prof Datuk Shad Saleem Faruqi dari sudut perlembagaan. Mengulas kenyataan rakan sejawatannya Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengenai perkara itu, beliau berkata:

“Tiada larangan terhadap bukan Melayu (untuk menjadi perdana menteri). Bagaimanapun kita ada konvensyen (kebiasaan).

“Saya rasa berdasarkan realiti politik di negara ini, ini negara Melayu,” kata pensyarah kanan di fakulti undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan rakan akademiknya Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam untuk dilantik sebagai perdana menteri.. Shad Saleem bagaimanapun berpendapat, bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, orang Melayu patut dikekalkan pada kedudukan itu.

“Mengikut perlembagaan tiada masalah. Tetapi berdasarkan politik dan sejarah lebih baik untuk negara ini mengekalkan status quo ini ini,” kata bekas penasihat undang-undang UiTM itu.

Menulis dalam kolumnya di sebuah akhbar harian semalam, Dr Abdul Aziz dipetik berkata, menurut intipati undang-undang, orang yang paling mendapat sokongan dalam Dewan Rakyat hendaklah dilantik mengetuai kerajaan. Tambahnya, kuasa pelantikan di bawah Yang di-Pertuan Agong hanyalah satu formaliti semata-mata.

Dr Abdul Aziz juga berkata, perdana menteri bukan Melayu mungkin boleh bertindak lebih baik daripada orang Melayu kerana beliau akan “ikut buku” (perlembagaan) dan bekerja keras bagi membuktikan kemampuannya. Dr Abdul Aziz juga memuji Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menurutnya menampakkan pencapaian agak baik dan mempunyai harapan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz ketika dihubungi, menjelaskan orang Melayu tidak perlu risau terhadap kedudukan Islam dan kepentingan bangsa mereka kerana ia diletakkan di luar kerangka demokrasi. “Sebab itu saya kata sepatutnya OK ada perdana menteri bukan Melayu,” katanya melalui e-mel kepada sebuah agensi berita hari ini.

Katanya, tanggapan bahawa 'kuasa raja terlalu kecil' yang menurutnya dijadikan alasan golongan ekstrimis untuk menakut-nakutkan rakyat, adalah silap dan tidak betul. Sebaliknya, jelas Dr Abdul Aziz, ketakutan atau salah faham itu timbul kerana perlembagaan telah diselewengkan atau tidak dilaksanakan.

Katanya, perkara tersebut jika berlaku tidak sepatutnya mengejutkan orang Melayu kerana selepas enam perdana menteri Melayu di Malaysia, kepentingan Islam dan Melayu tidak juga terjaga. “Malah ada (perdana menteri) yang kita boleh katakan telah menggadaikan kedudukan dan kepentingan itu,” kata pensyarah yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya itu.

Tentang bagaimana idea itu boleh menjadi kenyataaan, Abdul Aziz berkata, ia “bergantung kepada kesediaan orang Melayu dan kemampuan bukan Melayu.”

“Kesediaan itu soal yang perlu dilihat; saya cuma menjelaskan (daripada aspek) undang-undang sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan. Itu sahaja.”

Ditanya sama ada beliau tidak risau menjadi sasaran kemarahan orang Melayu ekoran tindakannya mendedahkan perkara yang tidak diketahui umum tersebut, beliau berkata:

“Seperti yang disebut oleh (penulis) Subky Latif dalam kolumnya di (akhbar mingguan) Siasah, Melayu yang bodoh dan kuat sentimen perkaumannya sahaja yang akan naik minyak.

“Kelompok ini tidak perlu dilayan. Kalau soal kepentingan dan hidup mati Melayu-Islam yang dibangkitkan, bukankah ada raja? Saya fikir kalau raja-raja ini tahu dan sedar peranan mereka, tidak timbul bahaya yang dibayangkan itu,” katanya.

Sementara itu di Bachok, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hubungan kerajaan PAS Kelantan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini bukan dibuat-buat kerana sejak 20 tahun PAS memerintah, rakyat dapat merasai keharmonian hubungan kaum.

Sebaliknya, kata beliau bukan kerana kepentingan politik semata-mata sebaliknya perkara itu adalah fitrah sebagai anugerah Allah Taala kepada orang yang sentiasa beristiqamah mendokong kesucian agama-Nya, katanya ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran PAS Bachok di Jelawat petang semalam.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sejak 20 tahun PAS memerintah, rakyat Kelantan dapat merasai keharmonian hubungan kaum. Sepanjang tempoh itu tidak pernah berlaku sebarang pergolakan, pergeseran atau pertelingkahan sehingga menimbulkan perasaan dendam antara kaum.

Bahkan ketika peristiwa 11 Mei 1969 berlaku pergelutan sampai bertumpah darah di tempat lain, tapi di Kelantan sikit pun tidak berlaku. Itu suatu bukti jelas bahawa, jika Islam memerintah tiada perkauman berlaku. Itu sebabnya Tok Guru sentiasa mengalu-alukan orang Cina memerintah Malaysia walaupun menjadi perdana menteri atau menteri besar Kelantan sekalipun. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails