Sunday, July 12, 2009

SPR & Polis Menyusahkan Pengundi...


MANEK URAI, 12 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranannya bagi memastikan para pengundi Manek Urai yang bekerja di luar kawasan mendapat cuti bergaji pada 14 Julai depan untuk membolehkan mereka pulang mengundi.

Kata beliau, SPR boleh mengkaji tempoh untuk mereka bercuti berdasarkan jarak tempat tinggal pengundi tersebut dengan tempat mereka mengundi dan juga faktor-faktor lain yang munasabah. Kata Presiden PAS itu, badan yang menguruskan perjalanan pilihan raya di Malaysia itu juga perlu melakukan kempen besar-besaran dengan kerjasama media supaya pengundi luar balik menunaikan tangungjawab mereka.

"Saya percaya hari mengundi sengaja dibuat pada hari bekerja untuk menyukarkan pengundi luar pulang, sebab itu saya gesa SPR melakukan sesuatu untuk memastikan demokrasi tetap dijaga," kata beliau dalam sidang akhbar di bilik gerakan utama PAS bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

Abdul Hadi mendengar taklimat terkini tentang perkembangan di Manek Urai oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan bersama-sama Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Sementara itu Saifuddin Nasution Ismail Pengarah Pilihan Raya PKR Manek Urai memberitahu pada Khamis 9 Julai 2009 jam 11.10 pagi Bilik Gerakan PKR telah didatangi pegawai polis ASP Suzaimi yang mengarahkan dibuang bendera PKR dan ditutup Bilik Gerakan dengan alasan Pakatan Rakyat belum lagi berdaftar.

Beliau juga memaklumkan kepada petugas PKR bahawa Tan Sri Musa Hasan Ketua Polis Negara telah mengarahkan Ketua Polis Kelantan untuk memastikan tiada sebarang logo atau bendera PKR dilihat pada pilihan raya kecil Manek Urai. Beliau mengutuk keras tindakan pihak polis tersebut dengan alasan-alasan sewajarnya.

Sebelum itu Presiden PAS berkata, SPR perlu menjalankan kempen secara agresif kepada pengundi luar supaya pulang bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

(RD Manek Urai)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails