Thursday, July 16, 2009

M/Urai: BN Pun Terkejut Majoriti 65 Undi.

KUALA LUMPUR, Julai 15 — Jentera Umno yang ditugaskan dalam pilihan raya kecil DUN Manik Urai terkejut apabila PAS menang dengan majoriti 65 undi dalam persaingan satu lawan satu dalam pilihan raya kecil tersebut.

Petugas dari Umno Wilayah Persekutuan, Abdul Hamid Mayuni yang ditugaskan berkempen sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung memberitahu jangkaan majoriti kemenangan PAS adalah sekitar 500-1000.

Sambil mengakui ia bukan membuktikan kelemahan jentera BN mahupun jentera PAS namun keputusan majoriti 65 undi adalah di luar jangkaan beliau.

“Memang kami akui jentera Umno/ BN menghadapi kesukaran untuk bergerak pada peringkat awal bagaimanapun beberapa hari sebelum menjelang hari pengundian sambutan dari pengundi begitu menggalakkan,” katanya yang juga Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Setiawangsa.

Dalam pilihan raya kecil ini, calon PAS, Mohamad Fauzi Abdullah memperoleh 5,348 undi sementara calon BN, Tuan Aziz Tuan Man mendapat 5,283 undi. Bilangan yang keluar mengundi adalah 10,736 undi atau 87 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,293 undi. Majoriti undi adalah 65.

Keputusan pilihan raya kecil ini juga menyaksikan undi PAS merosot 398 undi sementara undi BN pula meningkat 919 undi jika di bandingkan dengan keputusan undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Menurut Abdul Hamid, dalam analisis yang dilakukan oleh bilik gerakan BN menunjukkan peningkatan sokongan undi terhadap calon mereka tetapi tidak sampai ke tahap selesa dan menang.

“Walaupun ada beberapa ramalan yang mengaitkan calon BN menang daripada beberapa peti undi tetapi secara keseluruhan masih disifatkan sedikit kabur terutamanya kepada pengundi luar,” katanya.

Bagaimanapun dia akui sambutan pengundi yang berbeza parti begitu harmoni dan menggalakkan ketika berkempen. "Pengundi sentiasa bersikap terbuka ketika dikunjungi oleh jentera BN mahupun PAS.”

Selain itu, Abdul Hamid juga mengakui ada sedikit unsur provokasi antara jentera yang berkempen tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan pilihan raya kecil ini.

“Malahan kami menerima beberapa pimpinan PAS kampung yang bersedia untuk membantu dan bekerjasama semasa berkempen,” katanya lagi.

Sehubungan itu, dia akui keputusan pilihan raya kecil ini juga sedikit sebanyak menjejaskan wibawa Datuk Nik Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai kebal sehingga tidak boleh disentuh sebarang isu.

“Maklumat balas yang kami terima, pengundi veteran dan lama masih teguh kepada Nik Aziz sementara sudah ada perubahan kepada pengundi muda," katanya lagi.

Oleh Samsuri Roslan (The Malaysian Insider)

Sila lihat Blog ini pun terkejut juga..

Manek Urai: Keputusan Ganjil TAPI Kemenangan Gemilang PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails