'ADUN Ajil, Maliaman Kassim terselamat daripada dihanyutkan arus....'
Kuala Berang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim terselamat daripada dihanyutkan arus apabila lori dinaikinya terbalik dalam kejadian jam 5.30 petang, hari ini.
Bagaimanapun, Maliaman yang dalam misi menghantar bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas banjir di sekitar Hulu Berang menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau yang mengalami kecederaan di kaki diselamatkan bot penyelamat sejurus kejadian sebelum dibawa ke kawasan selamat.
Kenderaan yang turut dinaiki 13 anggota APM dikatakan terbalik selepas dihanyutkan arus deras sebaik tiba berhampiran kawasan Sungai Kampung Lebak, di sini.
Menerusi Facebook (FB) miliknya, beliau melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada penyelamat yang datang menghulurkan bantuan.
Konflik di Eropah menyebabkan harga komoditi termasuk minyak sawit mentah mengukuh - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Serangan ke atas Ukraine dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia dan prestasi kewangan syarikat korporat, sekali gus membolehkan pasaran saham tempatan meneruskan trend peningkatan kebelakangan ini.
Penganalisis berkata, konflik di Eropah itu menyebabkan harga komoditi mengukuh yang memberikan impak langsung kepada Malaysia, manakala pendedahan ekonomi negara terhadap Russia dan Ukraine pula adalah rendah.
Ketua Penyelidik TA Securities Holdings Bhd, Kaladher Govindan, berkata pihaknya masih mengekalkan sasaran penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,700 mata menjelang akhir tahun ini.
"Ketika serangan 11 September 2001 dan perang di Iraq, FBM KLCI melantun semula masing-masing pada bulan keempat dan ketiga, manakala insiden di Crimea tidak menampakkan kesan negatif," katanya.
Pasaran kewangan global, termasuk FBM KLCI, susut selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine.
Russia yang tidak bersetuju dengan hasrat Ukraine untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi amaran kepada bekas ahli pengasas Kesatuan Soviet itu untuk melupakan hasratnya dan menerima kedaulatannya ke atas Crimea.
Ukraine pula dilaporkan tidak akan berganjak dengan pendirian pro-Barat dan menerima sokongan Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU).
Kaladher berkata, emas sebagai komoditi selamat menunjukkan prestasi baik semasa tempoh serangan 11 September, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) yang jatuh pada mulanya meningkat disebabkan limpahan daripada eksport kacang soya lebih kukuh.
Sementara itu, RHB Research dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran modal Malaysia kekal stabil walaupun sentimen risiko global semasa yang lemah disokong harga komoditi kukuh serta pendedahan ekonomi yang rendah kepada Russia dan Ukraine.
Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia, bersama Indonesia dan Thailand mendapat manfaat daripada 'syarat positif kejutan perdagangan yang berpunca daripada kenaikan harga makanan dan tenaga'.
"Diperhatikan bahawa imbangan perdagangan keseluruhan Malaysia meningkat sedikit dengan imbangan perdagangan tenaga kelihatan berdaya tahan.
"Selain itu, kebanyakan pendedahan Malaysia terhadap pinjaman bank asing adalah kepada AS, United Kingdom dan Jepun di samping berkemungkinan besar terhad kepada Russia," katanya.
Di Asia Tenggara, RHB Research berkata, aliran modal bersih ke pasaran modal Malaysia, Indonesia dan Thailand akan kurang terjejas secara relatif berbanding Singapura yang sangat berkait dengan China dalam pasaran semasa.
"Dari aspek pertukaran asing, kami mengekalkan pandangan taktikal dolar AS dan ringgit dengan unjuran akhir suku pertama kekal pada 4.30, manakala bagi tempoh akhir 2022 pula kekal tidak berubah kepada 4.15.
"Dalam jangka masa terdekat, dolar AS kukuh dan penghindaran risiko terhadap pasaran baharu muncul adalah pemacu utama unjuran dolar AS berbanding ringgit," katanya.
KUALA LUMPUR: CUEPACS menyarankan kerajaan mengeluarkan pekeliling baharu dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di jabatan dan kementerian dengan mengambil tindakan tegas jika gagal dipatuhi.
Presiden, Datuk Adnan Mat, berkata ia juga wajar diperluaskan di badan berkanun persekutuan dan negeri.
Beliau berkata penggunaan bahasa Melayu dalam sebarang urusan rasmi kerajaan dalam negara wajar dilakukan terlebih dahulu sekiranya mahu ia dilaksanakan secara meluas di luar negara.
Katanya, CUEPACS melihat ketika ini masih banyak agensi kerajaan yang menganjurkan majlis tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian.
"Jika di dalam negara sendiri pun perkara ini tidak dititikberatkan, bagaimana kita mahu melihat usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di luar negara.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Beliau menggunakan bahasa Melayu dalam mesyuarat dua hala dan sidang media bersama ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.
Adnan berkata, CUEPACS menyambut baik dan mengalu-alukan langkah berani yang mahu diambil kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk ketika lawatan kerja di luar negara.
"Sebagai rakyat Malaysia, perkara ini wajar disambut dengan baik semua pihak kerana ia akan memartabatkan bahasa kebangsaan kita di persada antarabangsa dan ia dilakukan banyak negara lain.
"Langkah yang diambil kerajaan ini adalah bukan langkah yang terkebelakang sebaliknya satu usaha bersungguh untuk memartabatkan semula bahasa Melayu," katanya.
Adnan berkata CUEPACS tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk bahasa diterjemahkan dalam tempoh yang singkat.
"Jika negara lain boleh melakukannya, mengapa kita perlu banyak alasan untuk melaksanakannya.
"Dalam hal ini tiada kekangan daripada sudut teknologi atau terjemahan bahasa kerana ia sudah dilakukan oleh banyak negara lain.
"Tambahan pula kerajaan memberi pilihan dalam penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, bergantung kepada situasi negara yang dikunjungi," katanya.
YouTube sekat RT, saluran Rusia lain jana pendapatan
SAN BRUNO (CALIFORNIA): YouTube menggantung beberapa saluran Rusia, termasuk RT, iaitu saluran media dibiayai kerajaan, daripada menjana pendapatan hasil perkhidmatan video, berikutan langkah sama yang diambil oleh Facebook.
“Keadaan luar biasa di Ukraine menyebabkan kami menghentikan beberapa saluran yang berupaya menjana wang melalui YouTube, termasuk beberapa saluran Rusia yang dikaitkan dengan sekatan baru-baru ini,” kata YouTube dalam satu kenyataan.
YouTube dikendalikan oleh Alphabet Inc Google, manakala pemilik Facebook ialah Meta Platforms Inc.
Twitter turut mengehadkan sesetengah pengguna di Rusia menggunakan platform media sosial itu, kata syarikat itu dalam ciapannya.
Jumaat lalu, Moscow bertindak mengehadkan sebahagian akses melayari Facebook yang didakwa menapis berita dalam media Rusia.
Twitter menyatakan pihaknya berusaha memastikan perkhidmatan yang disediakan selamat dan boleh diakses, namun tidak menjawab soalan sama ada Rusia berhubung dengan syarikat itu mengenai sebarang tindakan.
Pemantau sekatan internet, NetBlocks, melaporkan Twitter mengehadkan penggunaan platform itu terhadap beberapa rangkaian terkemuka. Seorang wartawan Reuters di Moscow, memberitahu laman web itu perlahan dan sukar menghantar ciapan. – TRTWOLRD
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Politik, YouTube sekat saluran Rusia dan lain, walau jana pendapatan..
HARI ini umat Islam memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku ke atas Rasulullah SAW beberapa bulan sebelum peristiwa hijrah. Para ulama tidak bersepakat tarikh sebenar peristiwa ini berlaku, namun apa yang lebih penting ialah pengajaran dan iktibar di sebaliknya bukan tarikh bila ianya berlaku.
Peristiwa ini menguji keimanan manusia di sepanjang zaman supaya percaya kepada perkara-perkara ghaib, lebih-lebih lagi pada zaman manusia beriman kepada sains dan teknologi seperti hari ini.
Pemilihan bumi Palestin mempunyai tujuan yang sangat besar khususnya pada aspek keimanan kepada hari akhirat. Beriman kepada hari akhirat bukan sahaja dengan percaya akan tiba hari kehancuran dunia dan alam semesta ini, bahkan juga beriman kepada tanda-tanda sebelum ianya berlaku.
Bumi Palestin ditentukan oleh Allah SWT menjadi tempat pertembungan dan perebutan kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu, sekarang dan akan datang sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bumi ini akan menjadi titik kepada kemuncak pertembungan akhir antara golongan hak dan batil apabila tiba masa dan ketikanya yang berada dalam ilmu Allah S.W.T.
Tanda-tanda berlakunya kiamat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis, banyak berlegar di bumi Palestin yang bertuah ini seperti:
1- Yahudi akan kembali ke Palestin.
2- Nabi Isa AS akan diturunkan di Palestin mengikut satu riwayat.
3- Kumpulan Islam yang benar akan berkubu di Baitul Maqdis dan sekelilingnya.
4- Peperangan terakhir antara orang beriman dan Yahudi akan berlaku di Palestin.
5- Dajjal akan dibunuh di Palestin.
6- Ibu negara kepada Khilafah Islam di akhir zaman berpusat di Palestin.
7- Yakjuj dan Makjuj akan dibinasakan di Palestin.
Justeru tidak pelik bumi ini sentiasa menjadi rebutan khususnya kepada penganut agama Yahudi, Nasrani dan Islam kerana kemuliannya disebut di dalam semua kitab-kitab samawi.
Bumi Palestin menjadi tempat awal bermulanya tamadun manusia. Disebut di dalam hadis bahawa masjid kedua yang dibina selepas Masjid al-Haram ialah Masjid al-Aqsa dan jarak antara keduanya ialah 40 tahun.
Ketika Nabi Ibrahim A.S berhijrah ke Palestin setelah dihalau oleh kaumnya di Iraq, bumi bertuah ini dihuni oleh golongan al-Jababirah sehinggalah ia berjaya dikalahkan oleh Talut dan orang-orang beriman yang bersama-sama dengannya. Legasi pemerintahannya diteruskan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S dengan melaksanakan syari’ah Islam yang terkandung di dalam kitab Taurah yang diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Musa A.S.
Setelah silih berganti pemerintahan, akhirnya ditakluk oleh empayar Rom dan sehinggalah ianya dibuka oleh Saidana Umar al-Khattab pada tahun ke 16 hijrah. Pada abad ke 11 Masihi, ianya dirampas oleh Tentera Salib seterusnya dibebaskan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1187 masihi.
Kesucian bumi Palestin bagi penganut Yahudi tidak ada syak lagi, bahkan menjadi sebahagian daripada aqidah songsang mereka bahawa bumi ini hanyalah milik mereka. Walaupun begitu mereka telah terputus dengan bumi ini hampir 1,800 lalu setelah dihalau keluar daripadanya kerana kemungkaran dan kerosakan yang dilakukan oleh mereka.
Hanya ikatan agama dan perasaan kasih serta cinta sahaja yang mengikat mereka dengan bumi Palestin. Adapun hasrat untuk kembali menetap di situ tidak wujud lagi, kerana mengikut i’tiqad mereka, ia akan membawa kemusnahan dan kehancuran mereka.
Meskipun begitu mereka percaya akan kemunculan The Messiah yang akan menyelamatkan kaum Yahudi dan membawa mereka pulang semula ke bumi Palestin walaupun pada akhirnya akan dimusnahkan kerana dosa dan kejahatan mereka.
Perubahan berlaku dalam kalangan penganut Yahudi apabila munculnya Zionis iaitu merupakan gerakan yang mempunyai agenda politik bagi memastikan bangsa Yahudi menguasai dunia. Berlakunya pembaharuan dalam gerakan ini apabila pemimpinnya, Theodor Herzl mengadakan persidangan pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897.
Ia membuat resolusi supaya dibentuk negara bagi bangsa Yahudi di Palestin sebagai permulaan untuk menguasai dunia. Gerakan ini menyusup masuk ke dalam kuasa-kuasa besar dunia dan mempergunakannya bagi kepentingan mereka.
Gerakan ini semakin agresif selepas perancangan-perancangannya satu persatu berjaya dicapai bermula dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah yang kalah dalam Perang Dunia Pertama. Juga termeterainya perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 serta memecahkan tanah air umat Islam kepada negara-negara kecil termasuk bumi Palestin yang diserahkan kepada penjajah British. Maka di sini hasrat bangsa Yahudi untuk memiliki bumi Palestin terbuka luas.
Rentetan daripada itu tercetusnya Deklarasi Balfour iaitu sebuah pernyataan terbuka yang dikeluarkan oleh penjajah British di mana mengumumkan dokongan untuk ‘Tanah air nasional bagi bangsa Yahudi’ di Palestin.
Deklarasi tersebut tercantum dalam sebuah surat yang dinukilkan pada tanggal 2 November 1917 dari Menteri Luar Britain, Arthur Balfour kepada Lord Walter Rothschild, seorang pemimpin berketurunan Yahudi Britain. Deklarasi ini adalah pembuka jalan kepada rompakan ke atas bumi Palestin yang dirampas dari umat Islam dan diserahkan kepada Zionis Yahudi.
Gerakan ini bermula dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada bangsa Yahudi untuk berhijrah ke bumi Palestin dan memiliki tanah di situ. Apabila jumlah mereka bertambah, ini memberi kekuatan kepada mereka untuk menguasai bumi ini dengan perlindungan daripada penjajah British.
Dalam masa yang sama orang Arab dihalau keluar dan dicabut senjata daripada mereka. Penjajah British memberi ruang kepada bangsa Yahudi untuk menguasai kedudukan-kedudukan penting dalam pentadbiran Palestin sebagai persedian untuk merampas bumi Palestin dengan cara terhormat.
Akhirnya pada tanggal 14 Mei 1948, Zionis Yahudi mengisytiharkan negara haram Israel dengan kelulusan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjadi proksi kepada mereka.
Deklarasi Balfour adalah permulaan kepada perancangan Zionis-Freemason yang lebih besar iaitu menguasai nadi utama kepada Dunia Islam, Timur Tengah ke arah penubuhan Israel Raya yang sempadannya merentasi Sungai Furat di Iraq dan Sungai Nil di Mesir.
Keluasannya merangkumi negara-negara Syria, Jordan, Iraq, Lubnan, Yaman, sebahagian daripada Arab Saudi, Mesir, Turki, Somalia, Ethopia, Jibouti dan Sudan. Pergolakan yang sedang berlaku sekarang ini di Timur Tengah khususnya Syria, Yaman dan lain-lain lagi adalah sebahagian daripada pelan besar ini dengan menggunakan alasan perkauman dan mazhab sebagai bahan bakar yang dinyalakan, setelah mereka berjaya merampas Palestin 100 tahun lalu dengan alasan sama yang mencetuskan Revolusi Arab Agung.
Begitulah nasib umat Islam yang telah disengat beberapa kali daripada lubang sama, namun masih lagi tidak bangkit dengan erti kata yang sebenar untuk membebaskan bumi Palestin yang mulia ini. Pemerintah-pemerintah umat Islam hanya sibuk dengan slogan dan wawasan duniawi masing-masing tanpa menghiraukan nasib ummah yang menjerit daripada kezaliman dan penindasan.
Tiada lagi slogan; “Wa Islamah” yang bermaksud “Aduhai Islamku!” yang telah mengalahkan Tatar di Ain Jalut. Tiada lagi slogan yang melaungkan “Labbaika Ya Ummah” yang bermaksud “Ya wahai ibu kesayanganku” kerana mempertahankan maruah seorang muslimah yang meminta pertolongan dengan menyebut; “Wahai Mu’tasim, tolonglah aku!”.
Semuanya tidak ada lagi, yang tinggal hanyalah intifadhah, yang menggerakkan kanak-kanak bersenjatakan batu-batu berdepan dengan jentolak dan kereta perisai tentera Zionis Israel.
Kita tidak menafikan pencerobohan yang berlaku ke atas Palestin oleh Zionis Yahudi adalah kerana perancangan jahat mereka sejak zaman berzaman, namun dalam masa yang sama umat Islam juga perlu muhasabah diri mereka sendiri sebelum menuding jari ke atas musuh-musuh mereka. Kenapa ini semua berlaku; tidak lain dan bukan kerana lemahnya iman yang ada dalam diri mereka dan runtuhnya perpaduan sesama umat Islam.
Palestin adalah bumi Allah yang suci lagi diberkati dengan nas-nas dari semua kitab samawi. Bumi tersebut tidak berhak dimiliki melainkan kepada mereka yang diizinkan oleh Allah dengan keimanan dan melaksanakan hak untuk meninggikan kalimah Allah dengan menegakkan agama-Nya yang dibawa oleh Anbiya dan Rasul-rasul.
Perjuangan untuk membebaskan bumi mulia ini adalah tanggungjawab umat Islam yang paling besar pada zaman ini dan yakinlah perjuangan ini akan dikurniakan oleh Allah dengan kemenangan walaupun memakan masa yang begitu lama. Kerana itulah janji Allah yang termaktub di dalam Al-Qur’an.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka apabila sampai masa janji (membalas penderhakaan kamu) kali yang pertama dari dua penderhakaan itu, kami datangkan kepada kamu hamba-hamba kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa yang demikian) adalah satu janji yang tetap berlaku”. (Al-Isra’: 5)
Semoga kita berjaya mengharungi segala ujian di akhir zaman ini.
Islam Menyatukan Ummat
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat 23 Rejab 1443H /25 Februari 2022 – HARAKAHDAILY 26/2/2022
JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman menganggap pertembungan tujuh penjuru di DUN itu sebagai satu persaingan sihat.
Katanya, situasi itu melambangkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara ini yang tidak menghalang atau mengehadkan jumlah parti untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Itulah demokrasinya, kita tidak menghalang atau tidak mengehadkan mana-mana parti (untuk bertanding), pada saya, itu satu pertandingan yang sihat.
“Insya-Allah, kita akan lakukan aktiviti terancang untuk kita memenangi hati rakyat di Tiram,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai menghadiri proses penamaan calon di Dewan Muafakat Johor Taman Desa Jaya, di sini, hari ini.
Ditanya, jika pertembungan tujuh penjuru itu mendebarkannya, kata Dr Karim, beliau tidak mempunyai sebarang masalah setakat ini.
Katanya, apa yang lebih penting adalah kesemua calon bertanding secara sihat. Beliau yakin setiap parti dan calon bertanding mahukan kemenangan, begitu juga pihaknya.
“Saya banyak terlibat dengan masyarakat semasa saya bekerja di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dahulu, saya terlibat dengan masyarakat tempatan, saya juga terlibat dalam masyarakat UTM.
“Jadi, memang sudah biasa (bermasyarakat) pada saya, Alhamdulillah yang terbaru saya dilantik sebagai penyelaras khas DUN Pekan Nenas dan saya boleh dikatakan 80 peratus saya sudah pusing kawasan itu dan Insya-Allah saya akan bawa (sikap itu) ke DUN Tiram,” katanya.
Kerusi DUN Tiram menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perikatan Nasional menampilkan Dr Karim Deraman daripada PAS yang merupakan mantan pensyarah Fizik di UTM, Skudai.
Enam calon lain adalah S Gopalakrishnan daripada PKR; Azizul Bachok (BN), Datuk Abdul Aziz Harun (Pejuang), Azmi Ali (Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan dua calon bebas, Bala Sundaram Perumal dan Jayasangkar AL Jeraman.
Mengikut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam DUN Tiram adalah sebanyak 105,707 pengundi.
Pada PRU14, DUN Tiram dimenangi oleh calon PKR, S Gopalakrishnan dengan jumlah 26,573 undi, menewaskan Calon BN, Datuk Maulizan Bujang (18,475 undi) dan Calon PAS, Azman Atmim (5,366). – HARAKAHDAILY 26/02/2022
2. Selamatkan aqidah: Negara perlu bergerak ke arah pindaan Perlembagaan
SEJAKribuan tahun dahulu, negara ini dibina di atas kerangka hukum yang berteraskan konsep keadilan Islam, yang bersumberkan al-Quran, al-sunnah, ijma’ dan qiyas. Ia menjadi latar pembentukan negara, dalam semua cabang hukum kenegaraan, lantas berjaya membina satu tamadun Melayu-Islam dan memacukan kemakmuran masyarakat.
Undang-undang Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka (1450), Undang-Undang Laut Melaka (1400-1511), Undang- undang 99 Perak (1596), Undang-undang Kedah (837), Undang-undang Pahang (1572-1614) dan Undang-Undang Johor (1789) telah membuktikan bahawa hukum Islam, dengan penyesuaian hukum adat telah berjaya mengubah kehidupan masyarakat Melayu sejak dari kurun ke-14 sehingga kedatangan penjajah Inggeris.
Pengiktirafan turut diberikan kepada undang-undang Islam sebagai Law of the Land bagi negeri-negeri Melayu telah dibuktikan seperti dalam kes Ramah lwn Laton [1927]. Bahkan dalam kes Reg lwn Willans (1858), Hakim Maxwell telah menyokong Islam sebagai undang-undang tempatan serta mengiktiraf undang-undang Islam dengan memutuskan bahawa:
As a system of law which according to its own principles, can only be administered by Mohamedan Judges and Mohamedan arbitrators, upon the testimony of Mohamedan witnesses, is not a system which can devolve de jure and without express acceptance upon government and people of different faith.
Namun penjajahan Inggeris telah secara terancang berjaya menerapkan roh undang-undang Inggeris yang diimport dari Common Law, Kaedah Ekuiti dan statut pemakaian am (statute of general application), serta secara terancang mengenepikan dan memperkecilkan Undang-Undang Islam dari Undang-Undang Sivil, melalui pemakaian Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Civil Law Act 1956).
Kesannya sangat jelas dan menakutkan. Hukum Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah telah semakin terasing dan diperkecilkan peranannya dan dihadkan kepada perkara peribadi sahaja seperti perkahwinan, perceraian dan pewarisan sahaja.
Keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sangat mendukacitakan dan merobek hati umat Islam di Malaysia.
Sejak 2018, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018 3 CLJ 145), Panel 5 Hakim telah sebulat suara menafsirkan perkataan “parent” dalam Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan sebagai Ibu dan bapa (bukan ibu atau bapa). Keputusan ini telah memberi kesan yang besar kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal Kelayakan Untuk Memeluk Islam Bagi Kanak-Kanak di bawah umur atau belum mukallaf.
Pada 25.2021, Panel 9 Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra bin Mubarak -lwn- Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Negeri Selangor telah sebulat suara membatalkan Seksyen 28 Enakman Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi kesalahan liwat/persetubuhan luar tabii bagi penganut Islam, yang secara efektifnya akan memberi kesan terhadap semua kesalahan jenayah syariah terhadap perintah-perintah agama (against the precepts of Islam) sedia ada (yang telah lama digubal dan berkuatkuasa), selama mana ia boleh dikategorikan sebagai berada dalam kategori Klausa Pengecualian (Preclusion Clause – “except in regard to matters included in the Federal List”) Item I, Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
21 Februari 2022 umat Islam di Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan keputusan sebulat suara Sembilan Panel Hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes SIS Forum (Malaysia) (Sisters In Islam) v. Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor, yang membenarkan permohonan Sisters In Islam untuk membatalkan Fatwa Negeri Selangor pada 17.7.2014 (yang memfatwakan bahawa SIS Forum (Malaysia) atau mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisma agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam), dan seterusnya memutuskan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, (pindaan 2015) sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Jelas sekali precedent perundangan terkini oleh mahkamah tertinggi di negara ini, semakin membuka ruang kepada serangan demi serangan litigasi strategik yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk merungkai struktur asas perlembagaan, mencabar kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menggugatkan keharmonian negara.
Bahkan ia jelas mengundang ancaman besar terhadap Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri yang sedia ada di seluruh negara, merungkai bidang kuasa dan peranan Mahkamah Syariah, serta meragut dan merobek keupayaan dan kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal undang-undang yang berada di bawah bidang kuasanya, bahkan secara tidak langsung menyentuh kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.
Justeru LUHAM menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut.
Wan Rohimi Wan Daud
LUHAM juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.
WAN ROHIMI WAN DAUD Pengerusi, Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 23/2/2022
PAGOH: Semua calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan meneruskan tradisi menandatangani akujanji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah serta salah guna kuasa seperti dilaksanakan ketika PRN Melaka sebelum ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua 56 calon PN juga akan melafazkan ikrar bagi memikul tanggungjawab serta amanah untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.
"Malah setiap calon terpilih juga sudah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya melalui kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, semua 28 calon PN yang bertanding pada PRN Melaka pada 20 November lalu, turut menandatangani akujanji menentang rasuah.
Bagi PRN Johor yang bakal berlangsung 12 Mac ini, PN meletakkan calonnya di semua 56 DUN di negeri itu.
Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berkata dengan kelebihan yang ada pada semua calon PN itu, pihaknya menyeru seluruh pengundi Johor supaya dapat menyokong dan mengundi calon dari gabungan parti itu pada 12 Mac nanti.
Ini kerana, katanya, calon yang dipilih mewakili PN adalah mereka yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.
"Justeru inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.
"Malah dengan keazaman tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, saya percaya pasukan PN mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju, di mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir," katanya.
DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubarannya bagi memberi laluan untuk PRN diadakan.