Wednesday, December 27, 2023

Pengaruh Barat dalam kehakiman M'sia.. & DAP batil

 


Pikat isteri orang tak salah: Adakah perogol juga boleh bebas?

DALAM kes Lai Hen Beng lwn Pendakwa Raya, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. 

Seksyen 498 berkaitan kesalahan seseorang menggoda atau memikat (entice) isteri orang. Jadi, sekarang perbuatan itu tidak lagi menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. 

Keputusan ini menimbulkan pelbagai persoalan dari beberapa aspek termasuklah dari sudut kaedah tafsiran undang-undang, pengaruh hak asasi Barat dalam sistem kehakiman negara, peranan negara dan undang-undang dalam menjaga keharmonian kekeluargaan, konsep hak persamaan, falsafah perundangan dalam soal moral, dan kedudukan kesalahan yang serupa di bawah enakmen jenayah syariah. Terlalu panjang kalau nak ulas semua.

Apa yang pasti perbuatan menggoda dan memikat isteri orang adalah perbuatan yang tidak baik. Perbuatan yang boleh mencetuskan dendam, perbalahan dan boleh juga membawa kepada kesalahan-kesalahan lain seperti berzina, bahkan boleh mendorong pembunuhan.

Dalam konteks kekeluargaan dan ikatan perkahwinan, kesalahan ini adalah unsur yang merosakkan keharmonian rumah tangga. Jika tidak dicegah melalui hukuman, maka ia boleh menjadi barah dalam institusi kekeluargaan.

Bahkan, peruntukan Seksyen 498 Kanun Keseksaan ini menjadi sandaran penting dalam pengurusan sumber manusia di agensi kerajaan dan swasta bagi mengawal para pekerja agar menjauhi skandal yang boleh menjejaskan ketenangan rumah tangga seterusnya menjejaskan prestasi kerja.

Namun, dalam pemikiran perundangan Barat akhir-akhir ini, aspek moral, keharmonian rumah tangga dan kehormatan diri tidak lagi dianggap penting. Apa yang penting bagi mereka ialah kebebasan, hak asasi dan privasi. Mereka menjadikan prinsip hak asasi sebagai pedoman hidup dan ‘agama’ baru mereka. 

Prinsip ini jugalah menjadi tunjang kepada sistem perundangan dan mahkamah di Barat. Tapi yang peliknya kenapa kita yang memiliki asas kukuh dari sudut falsafah moral dan kehormatan diri, menjadikan Barat sebagai kiblat perundangan?

Asas yang digunakan untuk menganggap Seksyen 498 sebagai tidak sah juga amat rapuh. Prinsip hak persamaan di bawah Perkara 8(2) bukanlah satu prinsip yang mutlak, terutamanya yang berkaitan dengan ‘jantina’. Pada asalnya hak persamaan hanya berkaitan empat perkara iaitu agama, ras, keturunan dan tempat lahir. 

Hanya pada tahun 2001 perkataan ‘jantina’ ditambah sebagai salah satu asas hak persamaan. Namun, persamaan jantina tidak mutlak kerana memang ada situasi yang menghalang persamaan antara lelaki dan wanita. Dalam konteks kekeluargaan misalnya, banyak unsur yang perlu dibezakan antara lelaki dan wanita. Begitu juga dalam aspek yang berkaitan dengan perbezaan semulajadi lelaki dan wanita berkaitan biologi, fizikal dan keupayaan.

Saya khuatir, jika asas hak persamaan digunakan untuk membatalkan Seksyen 498, tidak mustahil akan ada perogol yang berhujah bahawa mereka tidak boleh didakwa kerana seksyen 375 berbentuk diskriminasi terhadap lelaki kerana ia hanya menjadikan kesalahan rogol lelaki ke atas wanita, dan tidak ada peruntukan yang serupa bagi wanita yang merogol lelaki. 

Jika hujah itu diterima maka ramailah perogol akan lepas bebas.

Tegasnya, mahkamah kita perlu ada jati diri. 

Perkara 3 jelas menyebut Islam adalah agama Persekutuan. Sepatutnya aspek maruah, kehormatan dan kemuliaan manusia diletakkan lebih tinggi berbanding soal kebebasan dan hak asasi. Jika ingin mendukung hak asasi dan persamaan sekali pun, lakukanlah dengan cermat dengan mengambil kira falsafah perundangan yang tepat dan tidak diracuni dengan kecamuk pemikiran hak asasi Barat yang terlalu rapuh. 

Moga kita semua sentiasa diberi petunjuk oleh Allah dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF – HARAKAHDAILY 16/12/2023  

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Pengaruh Barat dalam kehakiman M'sia.. & DAP batil

Lihat komen ini..

(i) Batalnya Seksyen 498 Kanun Keseksaan, bagaimana? Ini pandangan DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP)..


Ringkasnya, 
DUPP berpandangan peruntukan Seksyen 498 tersebut adalah bertepatan dengan asas utama hukum syarak yang bertujuan mencegah keburukan (mafsadah) dan memelihara kebaikan (maslahah) hidup manusia. 

Perlakuan menggoda atau memikat isteri orang jika tidak dianggap satu kesalahan, akan mendorong dan menggalakkan skandal dan perbuatan terlarang iaitu perlecehan seksual dan perzinaan antara anggota jabatan, organisasi mahupun masyarakat secara umum.

Seksyen 498 adalah berbentuk preventive law (undang-undang pencegahan) berasaskan konsep sadd al-zara’ie (menutup pintu kejahatan) dalam Usul al-Fiqh. Malah ianya bertujuan untuk menjaga maruah, keturunan dan keharmonian rumahtangga menurut maqasid syariah

(Lanjut, sila rujuk 'Berhubung isu pembatalan Seksyen 498 Kanun Keseksaan' -HARAKAHDAILY 18/12/2023)

(ii) Awas DAP realisasi kebatilan! Jajah otak umat M'sia. 

Komen USTAZ AIREROSHAIRI ROSLAN Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang -HARAKAHDAILY 18/12/2023



DAP tidak akan berganjak daripada dasar perjuangan mereka yang berteraskan ideologi sekular. DAP juga tidak akan pernah berhenti berusaha merealisasikan impian Malaysian Malaysia.

Namun DAP sedar mereka menghadapi dua masalah utama:

1. DAP tidak mendapat sokongan pengundi Melayu.

Sejak dahulu lagi DAP tidak menjadi pilihan orang Melayu. Bahkan PRU-15 menyaksikan lebih 70 peratus undi Melayu diberikan kepada PERIKATAN NASIONAL. 

2. Jumlah kerusi DAP yang sudah mencapai tahap tepu.

Kerusi selamat DAP hanyalah kerusi majoriti Cina sedangkan daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, hanya 28 kerusi yang mempunyai pengundi Cina melebihi 50 peratus.

Justeru DAP tidak mampu meraih lebih daripada 40 hingga 50 kerusi Parlimen. DAP sudah mencapai jumlah tepu.

PRU12 (2008): DAP menang 28 kerusi.
PRU13 (2013): DAP menang 38 kerusi.
PRU14 (2018): DAP menang 42 kerusi.
PRU15 (2022): DAP menang 40 kerusi.

Walau bagaimanapun, DAP tahu mereka hari ini adalah parti yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen terbanyak dalam Kerajaan PH-BN.

Segala tuntutan mereka dipenuhi. Segala kata-kata mereka dipatuhi. 

Maka penggal selama 5 tahun ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk DAP melaksanakan satu-satunya solusi buat parti mereka iaitu persempadanan semula terpilih.

Ada 3 signal jelas dari DAP untuk memperoleh kekuatan secukupnya sebelum menjelang PRU ke-16.

1. Lim Kit Siang telah berulang kali ‘test market’ dengan menyatakan ‘bolehnya’ Malaysia ditadbir oleh bukan-Melayu.

2. Beberapa kali mengusulkan untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

3. Terus memperjuangkan persempadanan semula.

Sudah sekian lama DAP memperjuangkan persempadanan semula namun hari ini mereka semakin lantang.

Bulan lepas kita mendengar Ahli Parlimen DAP mencadangkan dalam Dewan Rakyat agar Kerajaan Madani melantik Datuk S. Ambiga sebagai Pengerusi SPR. Cadangan ini tidak lain adalah bagi memudahkan pelaksanaan persempadanan semula kelak.

Melalui persempadanan semula terpilih, parti pemerintah akan dapat memilih kerusi yang akan memberikan kekuatan tambahan kepada mereka untuk dipecahkan.

Dengan kata lain, satu kerusi yang DAP menang majoriti besar akan dipecahkan kepada dua atau tiga Parlimen.

Ringkasnya, jika persempadanan semula terpilih ini berjaya dan dilaksanakan mengikut acuan DAP, maka tidak mustahil kerajaan yang dibentuk kelak akan menjadi kerajaan yang didominasi oleh bukan-Melayu Islam sekali gus merealisasikan ucapan Lim Kit Siang untuk melantik Perdana Menteri bukan-Melayu pertama negara.

DAP bukan parti pak turut. Mereka bergerak dengan strategi walaupun perlu memijak kaum majoriti.

Sebagai sebuah organisasi yang tamak kuasa, DAP tidak kisah mengenai PKR, PAN dan Umno. 

Orang Melayu tidak ada pilihan selain penyatuan. Sekian. (USTAZ AIREROSHAIRI ROSLAN)

Akhirnya, di M'sia, hanya tinggal pemimpin-pemimpin ekstrem mentadbir negara seperti DAP-madani yang masih bodoh sombong, degil tak mahu mengikut perkembangan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Sekian.

Kesimpulan:

Terima kasih tuan-tuan pengundi. Tuan telah menggunakan tugas tuan sebaik-sebaiknya, bila menyokong perjuangan parti Islam/PN dan rakan-rakan. Umat Islam wajib mempertahankan agamaNya dengan menentang kezaliman pemerintah puak anti Islam.

Namun, hak orang bukan Islam di negara ini pun wajib dilindungi oleh kerajaan Islam yang memerintah. Sila lihat peraturan dan hukum 'Hak orang bukan Islam dalam negara Islam' yang sebenar. Lihat negeri Kelantan sebagai contoh awalnya. 

Terima kasih juga kepada kawan-kawan kita yang bukan dan belum Islam.

Sekian. Wassalam. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails