Thursday, April 22, 2021

Menteri Besar PAS: Ujikaji mengulamakan profesional?

 

Menteri Besar PAS -Fairuz Hafiz Othman 

PAS pernah memiliki beberapa orang Menteri Besar (MB) di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Saya menyaksikan dan mengikuti secara dekat kepimpinan MB PAS sejak 1990. Adapun pemerintahan Menteri Besar PAS di Kelantan era Ishak Lotfi dan Asri Muda tidak saya kenali.

Menteri Besar PAS bermula 1990 di Kelantan berada di era PAS mempopularkan Kepimpinan Ulamak. Bertepatan Kelantan dengan jolokan Serambi Makkah, Menteri Besar juga adalah seorang ulamak. Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) adalah seorang ulamak malah dalam hierarki kepimpinan PAS beliau berada di hierarki paling dihormati sebagai Mursyidul Am PAS.

Di awal pelantikannya sebagai MB, serangan bertubi-tubi ditujukan kepada diri dan kepimpinannya. Dengan watak ulamak tradisi, penampilannya sangat cocok dengan Kelantan yang miliki banyak pondok. Ketika itu rakyat Malaysia malah sebahagian ahli PAS ‘berotak moden’ pun kurang yakin dengan ulamak sebagai MB ini. Mereka hormati ilmu agamanya tetapi sangsi dengan kepimpinan pentadbirannya.

Bagi yang mengikuti keadaan Kelantan sangat tahu kesukaran Almarhum TGNA memimpin berdepan dengan pelbagai kerenah dari rakan Angkatan Perpaduan Ummah – S46 dan urusan dengan istana yang begitu dekat dengan KuLi.

Gangguan dan serangan ini masuk dalam pemikiran hingga ada orang luar Kelantan yang membawa beras kerana percaya gagalnya Kelantan hingga makan pun susah. Suasana itu berlalu dan hilang sedikit demi sedikit setelah melihat perkembangan dan pembangunan Kelantan seiring negeri lain walaupun sekatan Kerajaan Pusat sangat kuat.

Setelah berpuluh tahun berlalu, mereka akui tiada bezanya pemerintahan ulamak dan negeri lain di sudut pembangunan namun satu perkara yang sangat berbeza adalah ketelusan dan integriti kepimpinan ulamak.

Tuan Guru menunjuk contoh kehidupan pimpinan selaku MB adalah sama. Beliau tidak berkenderaan atau berumah mewah setelah menjadi MB sebagaimana tradisi di negara kita dalam politik. Banyak perkara diajar oleh MB ulamak ini mengenai pemerintahan dan konsep serta integriti yang dimiliki.

Apabila PAS menang di Terengganu 1999, seorang lagi ulamak diangkat menjadi MB. Tuan Guru Hadi Abdul Hadi Awang adalah ulamak bertaraf dunia. Beliau tidak dilihat sebagai ulamak pondok namun penghayatan hidup kedua MB PAS ini sama. Mereka memilih kekal tinggal di rumah kampung sebelah masjid.

PAS sekali lagi menampilkan ulamak sebagai MB setelah menang di Kedah. Ustaz Azizan Razak adalah ulamak dan pensyarah di universiti. Ia dilihat lebih moden dengan gaya dan penampilan. Namun beliau juga memilih kekal di rumah kampung.

Paling utama ketiga-tiga ulamak ini mengekalkan integriti tinggi. Tiada satu kes rasuah dipalitkan oleh SPRM atau tuduhan dan cakap-cakap belakang pintu berkaitan rasuah. Ia bukan sahaja telus di mata SPRM tetapi juga rakyat dan musuh politik.

PAS mula miliki MB bukan ulamak apabila kerajaan campuran PR di Perak. Seorang profesional dilantik sebagai MB namun dengan kekangan ketat kerana penguasaan DAP dan akhirnya tersungkur selepas 11 bulan.

Sebelum kematian, Tuan Guru Nik Aziz mewariskan kepimpinan beliau kepada seorang ulamak yang juga tinggi sifat merendah dirinya, Dato Hj Ahmad Yaakob. Ramai yang tidak menjangka. Hampir semua melihat Husam sebagai pengganti. Dengan bayangan media sebagai anak didik almarhum, orang paling berpengaruh, bijak serta strategis parti dan kerajaan juga Exco Kanan, maka beliau adalah pilihan paling tepat. Husam tidak dipilih sebaliknya TGNA menyerahkan kepada seorang ulamak bekas guru agama.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak dipilih Husam, namun untuk buka mulut dengan TGNA mereka kaku. Ternyata pilihan TGNA sangat tepat. Ia mewarisi legasi kepimpinan TGNA dengan watak sangat sederhana mirip Almarhum TGNA.

Kini PAS miliki dua orang MB bukan-ulamak iaitu Terengganu dan Kedah. MB Terengganu adalah orang yang paling hampir dengan TGHH sebagai bekas Setpol manakala MB Kedah adalah bekas Setpol Ustaz Azizan.

Mampukah keduanya menampilkan kehidupan sederhana dua ulamak mentor mereka? Mampukah mereka mengekalkan integriti di dua negeri majoriti Melayu itu? Apakah mereka memilih cara hidup mentor mereka atau sebaliknya?

Kedua-dua MB ini umpama satu ujikaji kepimpinan bukan-ulamak dari PAS di negeri yang ramai ulamak. Walaupun telah berlangsung proses mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulamak, ia mungkin menjadi penanda aras apakah PAS boleh mengekalkan kepimpinan bukan-ulamak dalam negeri dimenanginya khasnya 3 negeri tersebut.

Mungkin suasana itu berbeza dari negeri lain kerana komposisi kaum dan budaya yang berbeza. Namun bagi 3 negeri dominasi Melayu ini, ia satu keadaan baru bagi PAS. Kedua MB ini mungkin tidak mampu mencontohi gaya hidup mentor mereka sebagai ulamak yang memerintah namun mereka diharapkan mengekalkan integriti sebagai pemimpin PAS yang memegang amanah.

Jika percubaan ini gagal, maka usaha mengulamakkan profesional dalam PAS belum berjaya. Semoga kedua MB bukan-ulamak dari PAS ini boleh menjadi contoh kepimpinan PAS bersendikan Islam telah berjaya mengulamakan profesional dalam PAS kerana hakikatnya ulamak adalah seorang yang profesional.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/4/2021

2 comments:

Anonymous said...

Seorang ahli perniagaan (baca : along judu online) yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa dijangka menghadapi tujuh pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur esok.

Tuduhan itu berkaitan mendatangkan kecederaan, intimidasi jenayah dan menghina Islam.

Lelaki berusia 44 tahun itu akan mengadapi lima tuduhan di Klang dan dua lagi di Kuala Lumpur.

Pembantunya, yang sudah didakwa dengan dua tuduhan, juga akan dihadapkan ke mahkamah di Klang.

Jangan setakat dakwa saja SKMM kena sekat laman judi online yang melambak sekarang. Kalau sugar book, web lucah dan blog lucah boleh sekat kenapa judi online tidak boleh sekat. Bertindak segera..!!

Anonymous said...

Setakat ni pdrm telah berperan dgn baik. Termasuk menangkap anggota yg bersubahat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails