Saturday, April 24, 2021

Ini, benteng ampuh, K'jaan DAP P/Pinang ketepikan suara nelayan..

 

PSR hanya mewakili hasrat bangsa DAP

TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman terus menjadi benteng ampuh kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam mempertahankan isu projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR). Walhal berkaitan PSR, secara berfokus beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan.

Tetapi kini seolah-olah beliau menjadi jurucakap utama untuk memastikan PSR direalisasikan. Sedangkan suara para nelayan yang membantah telah diketepikan dan ditinggalkannya dengan tetap mahu meneruskan projek ini. Rundingan dengan para pemegang taruh dalam kalangan persatuan nelayan bagaikan sudah dibakulsampahkan.

Dato’ Ir Zakiyuddin tidak perlu merendahkan intelek rakyat negeri ini dengan keterangan dangkal bahawa anak-anak para nelayan sendiri mahu memilih sektor lain. Sebenarnya itulah cita-cita masa depan, mahu lebih berjaya dan cemerlang. Tapi apakah kerajaan sendiri menyediakan mereka untuk mencapai impian tersebut? Yang pasti tindakan kerajaan kini sedang memusnahkan apa yang mereka ada.

Apatah lagi jaminan untuk masa depan yang hanya nampaknya satu janji bakal dikhianati lagi. Ini setelah cara layanan dan sikap ditunjukkan kini pun nyata bahawa pihak kerajaan tidak menyenangi bantahan pihak Persatuan Nelayan sebagai badan suara mewakili mereka. Malah, usaha kebajikan dan bantuan kepada mereka ketika ini pun tidak bersungguh dan hanya bersifat gula-gula semata.

Jangan cuba memperbodohkan rakyat dan untuk syok sendiri dengan bukti siaran media terhadap prospek ekonomi PSR, sesungguhnya muka surat di akhbar boleh dibayar beli. Tidak malukah untuk tetap mempertahankan PSR dengan berhujah sedemikian? Kenapa tidak sahaja dibawa kepada satu wacana kritikal iaitu kepada persoalan asal isu masalah cuba diatasi?

PSR tidak wujud dalam rancangan asal untuk menyelesaikan penyuraian trafik seperti dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang juga kemudian telah diubahsuai. Perhatian pihak kerajaan tidak tertumpu secara kritikal pun kepada PTMP sebaliknya lebih ghairah kepada PSR. Benar, ia boleh menjana peluang pekerjaan jika diwujudkan. Tetapi pastinya rakyat negeri ini sebagai kuli sahaja.

Jika dilihat tambakan ‘pulau puaka’ itu akan menjadi pembangunan super mewah. Berapa kerat rakyat Pulau Pinang mampu mendiami di situ atau kerajaan sedia memandang gelandangan di sana sini di pulau itu nanti? Sedangkan rakyat sedia ada pun terusir bila mana kediaman mewah dibangunkan ketika ini hanya menjadi ‘Rumah Mampu Tengok’.

Bahkan, begitu banyak khazanah penting negeri seperti kampung-kampung tradisi telah ‘dipupuskan’ oleh dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang galak membangunkan kediaman mahal. Akhirnya yang menghuni di sini adalah orang asing dan para korporat di mana menjadi kepentingan kerajaan hanya untuk mengaut kekayaan dan berlegar agihannya sesama sendiri juga.

PSR juga adalah projek politik untuk DAP mengekalkan kuasa dengan memungkinkan pertambahan penduduk secara strategik dikuasai dan memihak kepada mereka. Juga mewujudkan pertambahan DUN-DUN dan Parlimen yang tentunya mempengaruhi landskap politik negara. Walaupun itu hak demokrasi, tetapi ia dijalankan untuk memenuhi agenda kapitalis, cauvinis dan Evangelis DAP.

Oleh itu, PSR ini adalah projek yang mesti dibatalkan sama sekali dan PAS tidak akan berhenti bersuara biarpun diremehkan oleh pihak kerajaan termasuk perisai seperti Dato’ Ir Zakiyuddin. Kepentingan rakyat, sejarah, budaya, keharmonian dan keseimbangan hidup di negeri ini akan terus dipertahankan oleh kami, insya-Allah.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD YUSNI MAT PIAH
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang
ADUN Penaga – HARAKAHDAILY 21/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails