Tuesday, March 02, 2021

Ini, Makna PAS berperanan sebagai King Maker

 

..Berperanan pengukuh Kerajaan PN, perkasa MN yang sebelum ini menjadi pencetus tumbangnya Kerajaan PH. 

SEBELUM PRU ke-14, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah menyasarkan PAS berperanan sebagai King Maker selepas PRU. Sasaran tersebut dipandang sinis oleh banyak pihak terutama lawan politik PAS.

Berdasarkan trend PRU sejak tahun 2008 lagi, PAS mengunjurkan tiada mana-mana gabungan politik dapat membentuk kerajaan melainkan bergabung dengan gabungan politik yang lain. Oleh kerana itu, PAS mengambil satu langkah kurang popular membentuk gabungan politik ketiga iaitu Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Demi untuk mengimbangi pengaruh dua gabungan politik yang lain, BN dan PH, PAS bertanding 158 kerusi Parlimen bagi memperolehi cukup kerusi Parlimen dan DUN untuk berperanan sebagai King Maker. Pada ketika yang sama, dengan bertanding sebanyak itu, dapat menunjukkan realiti sokongan rakyat kepada PAS di seluruh negara berdasarkan peratusan undi popular yang diraih.

Keputusan PRU ke-14 tidaklah begitu tersasar jauh daripada unjuran PAS, kerana PH yang memenangi PRU tersebut tidak boleh membentuk kerajaan yang stabil melainkan dengan sokongan WARISAN, parti yang tidak bergabung dalam PH. Sasaran kerusi Parlimen PAS sememangnya lari sedikit, manakala sasaran kerusi DUN hampir tercapai.

Sejurus sahaja selepas PRU ke-14, PAS tidak pernah berhenti daripada sasaran berperanan sebagai King Maker,malah Presiden PAS begitu yakin Kerajaan PH tidak boleh bertahan lama. PAS terus mengatur strategi untuk menjadi King Maker meskipun pelbagai pihak melihat sasaran PAS itu telah berkubur.

Sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, gabungan tersebut sentiasa berhadapan dengan masalah tidak sepakat walaupun mereka menamakan gabungan mereka ‘Pakatan’ Harapan. Prestasi Kerajaan PH sangat teruk sehingga mereka digelar dengan Kerajaan Kakistokrasi atau Gagalkerasi.

Gabungan pembangkang pula BN dan GAGASAN semakin jitu seperti yang dapat dilihat di Parlimen serta luar Parlimen melalui badan bertindak menangani isu dan penubuhan jentera bersama menghadapi PRK. Kemuncak kepada kejituan ini ialah penubuhan Muafakat Nasional (MN) iaitu kira-kira lima bulan sebelum kejatuhan Kerajaan PH.

Pada 22 Februari 2020, MN telah mengadakan permukiman pertama yang menyaksikan satu peristiwa yang amat bersejarah apabila PAS dan Umno mengatur halatuju bersama. Sebaik sahaja permukiman itu berakhir, pada 23 Februari 2020 perpecahan PH sampai ke kemuncak apabila BERSATU telah membuat keputusan untuk keluar daripada PH dan diikuti oleh pasukan Dato Seri Azmin Ali, dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Langkah Sheraton tersebut memang berlaku secara tiba-tiba seperti serangan subuh (dawn raid), seumpama usaha memiliki kembali aset-aset negara yang dimiliki Guthrie. Akhirnya pada 24 Februari 2020, Kerajaan PH secara rasmi tumbang apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Setelah hampir lima hari Malaysia dipimpin oleh Perdana Menteri interim akhirnya MN, BERSATU, Pasukan Dato Seri Azmin, GPS dan beberapa Ahli Parlimen Sabah mencapai persetujuan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Secara rasmi terbentuklah sebuah kerajaan baru yang secara tidak rasmi dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Hari ini, genap setahun terbentuknya Kerajaan PN meskipun menghadapi satu masalah global Pandemik COVID-19 dan kemuraman ekonomi dunia. Tidak boleh dinafikan Kerajaan PN lebih berjaya daripada Kerajaan PH sungguhpun hambatan Pandemik COVID-19 sememangnya satu cabaran yang sangat besar.

PAS pula akan terus berperanan sebagai pengukuh Kerajaan PN melalui usaha terus memperkasakan MN yang sebelum ini menjadi pencetus tumbangnya Kerajaan PH. Lebih daripada itu, selepas hampir tiga tahun pasca PRU ke-14, rakyat Malaysia sudah boleh memahami makna King Maker.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/3/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Insya Allah. Islam akan terus marak, menyinarkan cahayanya ke seluruh mukabumi.. bukan Malaysia sahaja..

1 comment:

Anonymous said...

So hudud sm ruu355 apa citer??

Sapa king maker skrg??

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails