Friday, March 05, 2021

K'jaan PH, tebuk apa? Kokok berderai, ekor tahi..

 

KUALA LUMPUR: Setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara, banyak kejayaan telah dikecapi terutama dalam mengekang pandemik Covid-19, walaupun digelar sebagai ‘kerajaan tebuk atap’ oleh Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata walaupun sudah setahun kerajaan PN memerintah, namun gelaran itu masih lagi diratib oleh kebanyakan pimpinan PH sehingga kini, selain menuntut sebuah kerajaan yang datang daripada mandat rakyat melalui pilihan raya.

Susulan itu, beliau mempersoalkan gelaran yang sesuai bagi kerajaan Perak di bawah PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Apa pula nama kerajaan Perak dan Sabah selepas PRU-14? Percubaan tukar kerajaan 16 September 2008, adakah itu tindakan demokratik? Mandat rakyat ke? atau rampas mandat rakyat.

“Tindakan PH, tebuk depan ke tebuk… Tepat pepatah yang sesuai untuk puak ini (PH), ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’,” kata beliau.

Menurut beliau, fakta tertubuhnya kerajaan PH di Perak sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 kerusi, majoriti mudah 30 kerusi untuk tubuh kerajaan.

Namun, BN telah memenangi dengan 27 kerusi dan PAS pula menang tiga kerusi, sekiranya dicampur undi BN dan PAS akan menjadi 30 kerusi.

Bagaimanapun, katanya, waktu itu belum ada kerjasama lagi antara BN dan PAS.

Manakala, katanya PH menang 29 kerusi (DAP 18 kerusi, PAN enam kerusi, PKR empat kerusi, Bersatu satu kerusi)

“Ertinya PH tidak cukup satu kerusi untuk tubuh kerajaan. Di manakah datang kerusi ini? Cukup ke kerusi melalui mandat rakyat? Tanya ja.

“Kerusinya datang daripada dua Adun Umno, Norle Mat Razi (Tualang Sekah) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) yang memberi sokongan pada Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjadi Menteri Besar Perak,” ujar beliau.

Idris berkata, mungkin PH beranggapan oleh kerana PAS dan Umno tidak bekerjasama, sehingga kerajaan tidak boleh dibentuk.

“Mana boleh negeri tanpa kerajaan? Ini alasan untuk halal tindakan. Masalahnya kalau orang lain, (PH) tuduh ‘kerajaan tebuk atap’, kerajaan pintu belakang, PH pula, tebuk apa?

“Samalah juga di Persekutuan, apabila Tun Mahathir meletak jawatan pada 24 Februari 2020, maka perlulah kerajaan dibentuk. Kalau orang lain tebuk atap, kerajaan pintu belakang, PH pula tebuk apa?” soalnya lagi.

Begitu juga, katanya pembentukan kerajaan di Sabah, kerusi DUN Sabah ada 60, tetapi hendak menubuhkan kerajaan memerlukan 31 kerusi.

“Ketika itu, BN menang 29 kerusi, PH pula menang 29 kerusi (PKR 2, Warisan 21, DAP 6, Star 2). Tiba-tiba enam ADUN BN lompat (empat Umno, dua UPKO) ke PH. Maka tertubuhlah kerajaan PH di Sabah. Kerajaan apa pula namanya. Tebuk apa?” soalnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/3/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails