Friday, October 23, 2020

Isytihar darurat, jika ancaman besar kepada keselamatan, kehidupan ekonomi &...

 

Darurat boleh diisytiharkan selepas Parlimen dibubar

YANG di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika ancaman besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya wujud, atau di bawah Per 150(2) jika ancaman besar itu belum berlaku tetapi baginda berpuas hati akan bahaya ancaman besar itu.

Dalam keadaan Parlimen tidak boleh bersidang akibat keadaan darurat, YDPA berkuasa untuk membuat ordinan bagi meluluskan perbelanjaan negara jika wujud keperluan segera dan mustahak.

Semasa tempoh darurat, undang-undang boleh digubal tanpa mematuhi peruntukan sedia ada Perlembagaan Persekutuan, yang dinamakan ordinan oleh Parlimen atau YDPA untuk menangani ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara.

Pada hakikatnya, darurat ialah satu situasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan apabila YDPA berpuas hati bahawa telah atau akan wujud ancaman besar terhadap keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara yang mana undang-undang mahupun mekanisme pemerintahan sedia ada tidak mampu untuk menanganinya. 

Atas tanggungjawab di sisi Perlembagaan untuk mengekal serta mengembalikan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman dalam negeri maka YDPA berkuasa untuk membuat ordinan sama ada dibentangkan dalam Parlimen, atau melalui pemasyhuran baginda sendiri.

Hanya dalam beberapa perkara tertentu sahaja, Ordinan Darurat tidak boleh dibuat, iaitu memperluaskan kuasa Parlimen dalam bidang kuasa negeri yang menyentuh Undang-undang Islam, adat Melayu atau adat anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, serta tidak boleh membuat ordinan yang bercanggah dengan peruntukan berhubung dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

Jika berlaku keadaan Perdana Menteri (PM) tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan atas permintaannya YDPA memperkenankan pembubaran Parlimen, baginda boleh mengisytiharkan darurat untuk menggantung Parlimen kerana wujud ancaman besar di atas termasuklah wabak COVID-19.

Dalam keadaan di atas akan wujud Jamaah Menteri interim di bawah Perkara 43 (2). Sekiranya ini berlaku, kuasa YDPA lebih terserlah kerana Parlimen telah dibubarkan. Baginda perlu membuat ordinan untuk meneruskan pemerintahan negara secara adil dan aman dalam negara. 

Selaras dengan prinsip syura yang mendasari pemerintahan tradisional Tanah Melayu, YDPA masih perlu berunding atau mendapatkan nasihat Jamaah Menteri interim bahkan berunding dengan Majlis Raja-raja juga lain-lain badan berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara sebelum membuat sebarang Ordinan Darurat.

Dalam sejarah Malaysia, darurat pernah diisytiharkan semasa pembubaran Parlimen, iaitu 2 hari selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Parlimen hanya mula bersidang pada 20 Februari 1971 walaupun keputusan PRU telah diketahui pada 10 Mei 1969 di Semenanjung Tanah Melayu manakala pada 4 Julai 1969 proses PRU selesai di Sabah dan Sarawak.

Proklamasi Darurat 1969, hanya diungkaikan pada akhir tahun 2011, apabila kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 24 November 2011 dan 20 Disember 2011 meluluskan pembatalannya. Kesannya dalam bulan Jun 2012, semua ordinan yang dimasyhurkan terhenti berkuatkuasa seperti diperuntukkan oleh Perkara 150 (7). Ringkasnya dalam tempoh dari 15 Mei 1969 sehingga 20 Disember 2011 itu, Malaysia berada dalam ‘darurat’. Namun begitu, Parlimen masih bersidang dan PRU dilaksanakan.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 22/10/2020 

Hibur Hibur Sikit:H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.

1 comment:

Anonymous said...

Bang non tidak pernah ikhlas dalam politik. Yg penting baginya ialah kerusi pm. Cukup2lah. Rakyat dah muak. Rakyat inginkan keamanan dan kesejehteraan, bukannya gangguan politik dari bang non, pkr, pan dan dap.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails