Monday, August 10, 2020

RM36 juta bantu industri hiliran – Dr Khairuddin

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menubuhkan dana khas berjumlah RM36 juta bagi menggalakkan industri hiliran terutamanya sektor pengeluaran sarung tangan getah mengambil lebih ramai pekerja tempatan.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, penubuhan dana itu adalah sejajar dengan dasar baharu kerajaan yang mengutamakan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Kata beliau, ia juga selaras dengan usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan subsidi upah sebanyak RM300 untuk seorang warga tempatan bagi tempoh 12 bulan yang diambil bekerja di dalam sektor hiliran ini.

“Kita harap dengan dana ini kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 10,000 rakyat Malaysia bagi menggantikan 10,000 warga asing yang bekerja di sektor hiliran getah terutama untuk sarung tangan getah,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, MRC telah dijenamakan semula daripada Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia bagi mencerminkan peranan agensi yang lebih luas dalam pembangunan industri hiliran berasaskan getah, modal insan dan adaptasi teknologi termaju serta promosi pelaburan industri getah negara.

Katanya lagi, Malaysia komited untuk memperkasakan lagi MRC menerusi satu projek yang boleh meningkatkan kepenggunaan getah dalam negara dan memperkasakan industri tayar di pasaran Malaysia.

Tambahnya industri tayar ini sangat berdaya saing yang mana ia bernilai USD66.6 bilion (RM281.4 bilion) di pasaran global.

Secara umumnya kata beliau, Malaysia mengeksport sebanyak USD300 juta (RM1.27 bilion) sedangkan nilai import negara adalah USD600 juta (RM2.5 bilion).

“Ini ketidakseimbangan yang harus kita betulkan dan kita melihat pemerkasaan industri tayar, boleh menyeimbangkan nilai import dan eksport industri tayar negara,” ujarnya lagi.

MRC akan mengukuhkan hubungan dengan organisasi pembangunan antarabangsa untuk meningkatkan hubungan dagang bagi industri getah negara.

Hingga kini, Malaysia menguasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia dan dijangka akan terus kekal sebagai pengeluar utama berikutan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan.

MRC adalah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertanggungjawab untuk mempromosikan produk getah berkualiti Malaysia di pasaran dunia, khususnya bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana.

Dana berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 10,000 pekerja tempatan dalam lebih daripada 200 buah syarikat di sektor industri getah.

Dana khas itu akan dibuka kepada syarikat pembuatan berasaskan getah untuk menggiatkan lagi pengambilan pekerja tempatan mulai Ogos 2020 sehingga Disember 2021. – HARAKAHDAILY 5/8/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails