Tuesday, June 16, 2020

Pelantikan Eric Paulsen, Usikan Ganas Terhadap Dasar PAS..


Sejauh Mana Pas Bertahan

1. Pelantikan Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia ( MPKM) umpama usikan ganas terhadap dasar PAS. Yang melantik sosok ini ialah Menteri Komunikasi, Saifudin Abdullah. Nampaknya Menteri beraliran PH ini masih ada 'engagement' dengan rakan-rakan PH-nya.

2. Ambang dan pasca penubuhan kerajaan Perikatan Nasional ( PN ), PAS cukup beradab dan bertoleransi demi menjaga kelangsungan kerajaan PN. Tiada suatu syarat pun PAS berikan kepada rakan dalam PN. PAS tak meminta jawatan Menteri Kanan, kouta untuk Menteri dan Exco peringkat negeri. PAS hanya terima apa yang ditawarkan. Yang penting bagi PAS, PN berada dalam keadaan kondusif dan kerajaan dapat menangani COVID19 serta menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dengan cara yang terbaik.

3. PAS tak menyampuk atau campur tangan dalam urusan parti-parti dalam PN walaupun sebelum ini PAS tidak sebulu dengan Azmin dan geng PKR-nya serta Muhyiddin dengan geng BERSATU-nya. Sehingga orang nampak PAS ‘slow’ tetapi bagi aku ‘steady’.

4. PAS sedar jangka hayat kerajaan PN hari ini belum tentu panjang. Jadi, tak perlu gaduh-gaduh dan beriya-iya nak itu ini. PAS berusaha mengekalkan kerajaan ini sehingga tempoh matangnya demi kepentingan rakyat. Kalau ikut nafsu, PAS mahu sahaja diadakan PRU baru. Peluang PAS untuk menokok kerusi daripada 18 kepada sekurang-kurangnya 30 amat cerah berdasarkan situasi semasa.


5. Tetapi malangnya, kerajaan yang didominasi oleh bekas pemimpin-pemimpin PH ini nampaknya masih bersemenda dengan kekasih lama. Dan Saifuddin Adbullah dengan Eric Paulsen sudah sampai tahap bermukah. Lantas PAS, melalui pemudanya mula mencancang jari telunjuk agar jangan langgar sempadan kesabaran.

6. Kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli, "Walau apa pun tujuan dan motif yang ingin dicapai, pelantikan individu yang terkenal dengan promosi dan sokongan kuat terhadap pelbagai aliran sesat serta fahaman yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta seks songsang ini sama sekali tidak boleh diterima.

7. Sempadan PAS ialah dasarnya yang tak pernah ada kompromi. PAS boleh bertolak-ansur dalam hal ehwal jawatan atau agihan kerusi tetapi tidak pada dasar yang menghiris Islam. Rakan-rakan dalam PN perlu maklumi cara PAS berpencak di gelanggang siasah. PAS muda dalam tenaga, tua dalam kata-kata. PAS tahu di mana tapak perlu diundur, di mana paras memasang kekuda, di mana rentak mengedik jari, di mana lenggok mengulik tari dan di mana penamat gerak dikunci.

8. Tuntasnya, Saifuddin Abdullah perlu menarik semula lantikan Eric Paulsen sebagai ahli MPKM. Dan pemimpin-pemimpin PN beraliran PH perlu jelas halatuju dan dasar kerajaan baru yang terasnya ialah Muafakat Nasional ( MN ). Umpama kisah, Semerah Padi aman kampungnya. Jangan bermukah. Bila bermukah datanglah petakanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails