Friday, June 19, 2020

Bila Peguam Negara heret MalaysiaKini ke mahkamah



SEMALAM tular diperkatakan mengenai keputusan mahkamah memberi kebenaran kepada Peguam Negara memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap MalaysiaKini.

Ramai yang membangkitkan isu penghinaan dibawa Peguam Negara bukanlah laporan MalaysiaKini tetapi komen dari pembaca sebagaimana yang dibawa oleh Peguam Negara. Oleh itu tidak adil MalaysiaKini yang kena.

Sebenarnya Peguam Negara memohon kebenaran tersebut antara lainnya adalah berdasarkan kepada Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Seksyen 114 A, ‘Andaian Fakta dalam Penerbitan’, merupakan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012. Pindaan ini telah diwartakan dan mula berkuatkuasa mulai 31 Julai 2012.

Secara peribadi berpendapat, Seksyen 11A Akta Keterangan 1950 ini adalah satu undang-undang yang diwujudkan bagi mendepani perkembangan dunia siber dan khususnya media baru seperti Facebook, blog, tweet dan lain-lain lagi.
Seksyen 114A tersebut boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulang siarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.
Dari sudut pandang saya sebagai pengamal undang-undang, seksyen ini secara umumnya tidaklah begitu ‘membebankan’ pihak pembelaan di dalam penghujahan atau pembelaan di Mahkamah. Ini kerana, seksyen ini adalah berstatus ‘anggapan’ yang mana bagi mematahkan atau menidakkan anggapan ini, peringkat pembuktian hanyalah di atas kadar imbangan kebarangkalian sahaja (balance of probabilities). Maka, secara ringkasnya, anggapan seksyen ini banyak membantu pihak Pendakwaan dan di masa-masa tertentu boleh juga membantu pihak Pembelaan.
Manakala kesan Seksyen 114A ini kepada rakyat marhaen terutamanya kepada pengguna media baru dan dunia siber, seksyen ini memberi masalah sekiranya wujud pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam memanipulasikan identiti atau ketuanpunyaan di dalam melakukan apa-apa tindakan ‘penulisan’ di dalam media sosial dan dunia siber.
Oleh yang demikian berdasarkan kepada seksyen ini, sesiapa yang membenarkan publikasi sesuatu perkara adalah dianggap bertanggungjawab terhadapnya walaupun dia tidak menulisnya. Peguam Negara dalam kes ini mendakwa MalaysiaKini dianggap sebagai membuat penerbitan komen-komen yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap mahkamah berdasarkan seksyen tersebut. Ia bukan sabitan tetapi masih di peringkat anggapan.
Ia tidak berkaitan dengan kebebasan wartawan melaporkan berita selagi mana ia mematuhi undang-undang. Saya juga tidak mengalu-alukan sebarang penghinaan ke atas mahkamah. Kita boleh mengkritik keputusan mahkamah dan membincangkannya tetapi tidak sampai menghina mahkamah tersebut.
Jadi tugas MalaysiaKini dalam prosiding ini nanti ialah mematahkan anggapan tersebut untuk mengelak dari dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.
DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia – HARAKAHDAILY 18/6/2020

5 comments:

Anonymous said...

Boikot malaysiakini. Jom pakai beli Harakah

Unknown said...

Saman jer

Anonymous said...

Mkini banyak berita palsu. Sama macam editornya yg rakyat palsu jiwanya. Kenegara asal jiwanya.

bob said...

wah hebat malaysia kalo akta tahun 1950 digunapakai utk masa kini...malaya bkn ker merdeka 1957 n malaysia 1963...1950 sapa yg gubal??

Unknown said...

Biar dia serik..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails