Tuesday, April 14, 2020

Maklumat Pencemaran Alam Sekitar Dibayar Sehingga RM5,000..


Kerja pembersihan Sg Meru dimulakan

KUALA LUMPUR: Kilang sarung tangan yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran hampir 1km Sungai Meru di Jelapang, Ipoh sehingga mengakibatkan ratusan ikan mati telah memulakan operasi pembersihan di sungai berkenaan.

Exco Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan segera dilakukan selepas kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Khamis (9 April) antara jam 3 petang dan 4 petang.
Kilang sarung tangan yang terletak di kawasan Perindustrian Taman Meru, Jelapang, Ipoh mendapat kebenaran oleh kerajaan supaya beroperasi semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menghasilkan produk keperluan ‘essential’.
Insiden pencemaran di sungai berhampiran kilang tersebut mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang berkongsikan video pencemaran itu di akaun Facebooknya dan menegaskan siasatan sedang dijalankan ke atas insiden itu.
Exco Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin meninjau lokasi sungai yang tercemar.
Di dalam video berkenaan, terakam suara seorang lelaki berkata sungai itu bertukar putih dan permukaan sungai dilitupi dengan buih.
Mohd Akmal berkata, pencemaran berlaku atas kecuaian dipercayai dua pekerja kilang tersebut gagal menutup injap tangki selepas membersihkannya.
Akibat dari kecuaian itu, menyebabkan pelepasan bahan mentah sintetik latex dari kilang membuat sarung tangan ke longkang awam dan mengalir ke sungai yang berhampiran.
“Daripada video itu kita boleh lihat bahan pencemaran yang terdapat di dalam sungai itu adalah bahan mentah getah dan bukan sisa buangan perindustrian seperti yang didakwa sebelum ini,” kata Mohd Akmal.
Beliau yang turun menjalankan siasatan bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul semalam berkata, kilang itu didapati bersalah kerana tidak melaporkan kejadian itu ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.
Kata Mohd Akmal, JAS Negeri Perak hanya mengetahui mengenai insiden itu pada 9 April sekitar jam 11 malam
“Kita juga mendapati pekerjanya tidak mematuhi SOP. JAS Negeri Perak telah menjalankan persampelan dari dalam kilang dan longkang
awam berhampiran kilang untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.
“Dalam pada itu, sampel ikan mati dari beberapa lokasi di Sungai Meru juga diambil dan dihantar ke Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk dianalisis.
“Pemantauan dron telah dilakukan untuk memastikan keadaan sungai di hilir lokasi kejadian,” kata Mohd Akmal.
Sementara itu, Tuan Ibrahim memberi amaran keras kepada kilang yang beroperasi semasa tempoh PKP agar mematuhi pengurusan buangan berjadual bagi mencegah pencemaran.
Katanya JAS turut menawarkan ganjaran sehingga RM5,000 kepada individu yang memberikan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar supaya pihak yang terbukti bersalah melakukan pencemaran ditangkap dan didakwa.
“JAS juga akan memberikan ganjaran sehingga RM5,000.00 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar sehingga tertangkapnya pihak-pihak yang terbukti bersalah.
“Identiti pemberi maklumat berkenaan juga akan dilindungi seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi kenyataannya, semalam.
Maklumat boleh disalurkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.- HARAKAHDAILY 11/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails