Sambil menyifatkannya sebagai satu penyakit sosial, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan tidak mahu gejala itu menular dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, golongan ibu bapa perlu memainkan peranan dengan meningkatkan kemahiran keibubapaan serta memantau anak-anak dengan lebih rapi agar tidak terjebak dengan gejala terbabit.
Menurutnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan penggunaan vape serta gula-gula ghost smoke dalam kalangan murid sekolah boleh menjadi permulaan kepada dadah.
“Kita mahu benda ini dihentikan bukan sahaja (menerusi tindakan) pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi juga keibubapaan.
“Sebagai ibu bapa, kita menekankan elemen keibubapaan merangkumi kemahiran, tanggungjawab dan juga bagimana mendidik anak-anak. Kita juga lihat pemantauan anak kita mesti dipertingkatkan dan ditekankan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Ilmu Sri Satria di sini hari ini.
Mingguan Malaysia menerusi laporan khas sebelum ini mendedahkan gejala menghisap vape dalam kalangan pelajar kian serius malah seperti tidak terkawal berikutan trend membimbangkan itu sudah melarat ke peringkat sekolah rendah.
Pelajar dilaporkan bukan sahaja berani menghisap vape di kawasan awam atau khalayak ramai tetapi juga tetapi membawa alat itu ke sekolah.
Kelmarin pula, media melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula ghost smoke secara berleluasa di daerah di Papar dan Kota Kinabalu, Sabah yang dibeli pelajar sekolah.
Dalam pada itu, Wan Azizah menambah, usaha membendung gejala vape serta penggunaan gula-gula ghost smoke itu perlu diberikan penekanan agar ia tidak menjadi satu budaya.
“Kita tahu di luar sekolah itu di luar jangkauan apa sekolah boleh pantau. Dan mereka menjual macam-macam di luar sekolah.
“Namun kita mesti memberi penekanan agar jangan kita jadikan budaya. Dahulu merokok, lepas tu dadah-dadah dan syabu, jadi vape ini adalah satu penyakit sosial dan kita tidak mahu ia menular dalam kalangan anak-anak kita dari kecil lagi “ katanya. - UTUSAN ONLINE
Lihat lagi..
Ini Peluang Kerja Dan Jadi Usahawan. (1)