Friday, March 09, 2018

Keganasan Anti-Islam Sri Lanka Merebak Ke 4 Bandar.

 Rumah penduduk Islam dibakar oleh ekstremis Buddha di Kandy, Sri Lanka.

COLOMBO, 21 Jamadilakhir 1439H, Jumaat – Keganasan terhadap umat Islam mula merebak ke kawasan lain, termasuk di bandar tanah tinggi di Ambatenna di tengah Sri Lanka, hari ini. 

Ratusan ekstremis Buddha etnik Sinhalee bersenjatakan kayu, batu dan bom petrol menjerit-jerit sambil menuju Ambatenna, tanpa mempedulikan darurat yang diisytiharkan kerajaan Presiden Maithiripala Sirisena. Puluhan anggota polis dan askar hanya mampu melihat kumpulan itu merosakkan dan membakar rumah serta premis perniagaan milik umat Islam di kawasan Welekada. 

Ekstremis dianggarkan sehingga 500 orang dilaporkan memasuki Welekada tanpa mempedulikan perintah darurat, serta memusnahkan sekurang-kurangnya 15 rumah penduduk muslim dan masjid. Empat bangunan dan kenderaan juga dilaporkan dibakar.

Serangan itu mencetuskan kebimbangan konflik di Sri Lanka berulang, kurang sedekad selepas Colombo mengakhiri perang terhadap kumpulan pengganas Tamil.

Pertelingkahan terbaharu itu bermula Ahad lalu apabila seorang pemuda Buddha etnik Sinhalee, maut dipukul sekumpulan lelaki muslim dalam satu kemalangan di Teledeniya, Kandy – daerah tanah tinggi yang popular dengan ladang teh, dan didakwa sebagai salah satu tapak suci Buddha. 

Hari berikutnya, ratusan ekstremis Buddha, kebanyakannya dari luar daerah itu menyerang umat Islam dan membakar puluhan rumah, kedai dan masjid di Kandy. Seorang pemuda muslim berusia 23 tahun ditemui mati dalam bangunan yang dibakar, menyebabkan kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung.
Keganasan, bagaimanapun, berterusan dan malam semalam beberapa kejadian dilaporkan berlaku di empat bandar lagi, termasuk kejadian di Menikhinna menyebabkan tiga anggota polis cedera.
Sehari kemudian, bandar Ambatenna pula diserang selepas seorang lelaki Sinhalee yang membawa sebutir bom tangan terbunuh apabila bom itu tiba-tiba meletup.
Polis melaporkan setakat ini, 35 individu ditahan dalam siri keganasan itu.
Kerajaan Sri Lanka masih menyekat perkhidmatan internet dan menghalang akses kepada Facebook serta aplikasi pesanan media sosial yang lain, termasuk Whatsapp dan Viber.
Penduduk Islam di kawasan terjejas dengan keganasan berkata, mereka hidup dalam suasana harmoni dengan penganut Buddha selepas perang menentang kumpulan pengganas Tamil.
“Kami tidak tahu apa yang berlaku. Kumpulan penyerang itu berasal dari luar. Kami tidak kenal mereka. Tetapi mereka tidak mampu melakukan serangan ini tanpa bantuan penduduk di kawasan kami, kerana mereka tahu mana rumah orang Islam dan bukan Islam,” kata Shukry Cassim.
Penganalisis berkata, ketegangan itu tercetus di antara kedua-dua pihak kerana kebangkitan kumpulan nasionalis Buddha berikutan berakhirnya perang tiga dekad dengan pengganas Tamil. Kumpulan itu, termasuk yang diketuai oleh sami Buddha, Bodu Bala Sena, yang ada hubungan dengan ekstremis Buddha di Myanmar.
Kumpulan ini dilihat mendapat sokongan bekas Presiden Mahinda Rajapakse, dan menuduh umat Islam, yang populasinya adalah 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka, memaksa orang ramai memeluk Islam dan memusnahkan tapak suci Buddha.
“Sri Lanka berada di ambang keganasan anti-Islam. Serangan ini teratur dan terancang. Ini adalah alasan baik untuk mempercayai bahawa ia adalah sebahagian daripada rancangan provokasi untuk menyaksikan tindak balas umat Islam, yang kemudian akan menyebabkan lebih banyak keganasan antimuslim dilakukan,” kata penyelidik Kumpulan Krisis Antarabangsa, Alan Keenan. – Agensi
Hasil carian imej untuk Keganasan anti-Islam di Sri Lanka merebak ke empat bandar
Gambar bawah Ibnu Hasyim di Sri Lanka..
Lihat juga.. 
E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails