Friday, February 24, 2017

Wartawan Kongsi Pengalaman Kunjungi Rumah Suspek


Wartawan Kongsi Pengalaman Kunjungi Rumah Suspek

KUALA LUMPUR – “Rumah itu sangat terpencil, jauh dari Kota Jakarta. Hendak sampai rumah itu, kena masuk kampung keluar kampung.

“Masuk kota keluar kota, ada lorong yang kecil (hingga) kereta masuk lumpur. Saya seorang sahaja yang memandu di kawasan itu,” kata Azeman Ariffin, koresponden Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Jakarta, Indonesia.
Bertugas di Jakarta sejak 2015, Azeman berkongsi pengalamannya sepanjang perjalanan ke kampung Siti Aishah, wanita warga republik itu yang menjadi antara suspek pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, minggu lalu.
Namun, perjalanan berliku selama sembilan jam dari Jakarta ke kampung Siti Aishah di Kampung Rancasumur, Sindangsari Pabuaran, Serang, tidak menghalang beliau untuk bertemu dan menemu ramah anggota keluarga wanita itu.
Azeman yang ditemui selepas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini, berkata walaupun Kampung Rancasumur tidak pernah dikunjunginya sebelum ini, tetapi sebagai seorang wartawan, sikap sentiasa bertanya akan memudahkan perjalanan.
Siti Aishah ditahan polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan rakyat Korea Utara, Kim Jong-nam yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) minggu lalu.
Jong-nam berada di klia2 dekat sini pada 13 Februari untuk menunggu penerbangannya ke Macau apabila beliau diserang dua wanita yang menyapu mukanya dengan apa yang dipercayai cecair beracun.
Beliau dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Sementara itu, Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Khairdzir Md Yunus yang turut menerima anugerah APC, berkata sepanjang tempoh 32 tahun bertugas di Bernama, banyak tugasan yang telah dilaksanakannya sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Oleh itu, katanya, wartawan yang baru menceburi bidang kewartawanan perlu bekerja dengan gigih, ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas.
“Selain itu, mereka hendaklah menimba ilmu sebanyak mungkin dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menyampaikan anugerah APC berupa sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium kepada 530 penerima daripada lapan agensi di bawah KKMM termasuk 33 kakitangan Bernama.
Antara petugas Bernama yang menerima anugerah itu ialah Penolong Pengarang Mohd Shukri Ishak dan Muna Khalid; Timbalan Ketua Penyunting Bahasa Melayu Noor Hammad Wariman; Ketua Penyunting bahasa Inggeris Berita Ekonomi S.Durga Varma; serta Ketua Unit Bernama.com Ahmad Kamil Mohamed Tahir. – BERNAMA


PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails