Sunday, June 05, 2016

Pembentangan RUU M/Syariah Dapat Kebenaran PM, TPM - Azalina

Post Pic
SUNGAI BESAR: Menteri hal ehwal Parlimen Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan rang undang-undang (RUU) persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperoleh kelulusan daripada Ketua Dewan dan Ketua Whip.

Sekaligus menafikan usul tersebut dipercepatkan Parlimen daripada nombor ke-15 dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat pada hari berkenaan dan kemudian dinaikkan ke tempat pertama, mengambil duluan daripada urusan kerajaan. 

“Dalam kerja saya sebagai menteri bertanggungjawab hal Parlimen, saya melaporkan kepada ketua majoriti, yang juga perdana menteri, dan saya lapor kepada ketua whip, iaitu timbalan PM.
“Jadi, arahan yang saya terima ialah menaikkan usul RUU Hadi dari nombor 15 kepada 1 sudah tentu daripada ketua majoriti dan ketua whip kerana ia adalah prosedur yang diperlukan untuk Parlimen,” katanya kepada media pada sidang akhbar di Sungai Besar.

Ketua Dewan atau ketua majoriti ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sementara ketua whip bagi pihak kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu ahli politik pembangkang mengkritik tindakannya mempercepatkan RUU Hadi ke senarai atas dalam perkara mesyuarat di Dewan Rakyat pada 26 Mei.

RUU itu meminta kelulusan Parlimen untuk enakmen negeri Kelantan memperkasakan Mahkamah Syariah bagi mengenakan hukuman jenayah mengikut undang-undang Islam.

RUU Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, meminta untuk meminda undang-undang persekutuan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) dipinda.

Walaupun RUU itu dibentangkan, Hadi memohon perbahasannya ditangguhkan hingga sidang Parlimen pada Oktober. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails