Friday, June 17, 2016

Orlando: Isteri Penyerang Didakwa, Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas..


Imej fail menunjukkan anggota penyiasat mengerumuni pekarangan kelab Pulse selepas kejadian serangan tembakan di Orlando.
ORLANDO, Florida – Isteri kepada penyerang yang membunuh 49 orang di sebuah kelab malam gay di sini akan didakwa dalam masa terdekat kerana gagal melaporkan kepada polis walaupun dia mengetahui tentang komplot suaminya, menurut sumber pihak berkuasa semalam.
Sumber itu memberitahu agensi berita Reuters bahawa juri persekutuan telah bersidang dan bakal mendakwa isteri kepada Omar Mateen, Noor Salman seawal semalam.
“Nampaknya dia tahu mengenai serangan ini,” kata Senator Amerika Syarikat, Angus King yang juga merupakan ahli jawatan kuasa perisikan senat yang diberikan taklimat mengenai serangan pada Selasa lalu.
“Dia pastinya seorang yang berkepentingan sekarang dan nampaknya memberi kerjasama serta boleh memberikan beberapa maklumat penting kepada kami,” kata King kepada stesen televisyen CNN.
Omar ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis di kelab Pulse, Ahad lalu. Sebelum serangan itu, Omar dilaporkan sempat menyatakan kesetiaan kepada beberapa kumpulan militan melalui talian kecemasan 911.
Portal FoxNews.com yang memetik sumber Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, pihak pendakwa raya akan mendakwa isteri Omar bersubahat dalam pembunuhan 49 orang dan cubaan membunuh bagi 53 yang lain.
Dia juga berdepan dakwaan menipu ejen persekutuan dan gagal memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Agensi NBC News pula melaporkan Noor memberitahu ejen persekutuan bahawa dia cuba memujuk suaminya agar tidak melakukan serangan itu.
Bagaimanapun, wanita itu juga dikatakan memberitahu FBI bahawa dia pernah membawa suaminya sekali ke kelab Pulse kerana dia mahu meninjau kawasan berkenaan, demikian menurut agensi berita itu.
Penyiasat Persekutuan berkata, tiada bukti ditemui mengaitkan Omar menerima arahan atau bantuan daripada kumpulan militan termasuk Islamic State.
“Dia nampaknya seorang lelaki muda yang bengis, terganggu dan tidak stabil sebelum bertukar menjadi radikal,” kata Presiden AS Barack Obama kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatan kuasa Keselamatan White House.
Bekas isteri Omar, Sitora Yusufiy memberitahu, lelaki itu mempunyai masalah berkaitan mental dan sering memukulnya. Sitora mendakwa dia melarikan diri daripada Omar walaupun mereka baru empat bulan mendirikan rumah tangga. – Reuters
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tak dapat tanduk, telinga dipulas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails