Saturday, June 18, 2016

Ini Risalah PAS Untuk 2PRK, Selamat Mengundi!

RISALAH PENERANGAN
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
Risalah PAS Dalam Pilihanraya Kecil Sg. Besar dan Kuala Kangsar
1. Esok 18 jun 2016 bersamaan 13 Ramadhan 1437 H merupakan hari pengundian bagi dua pilihanraya kecil Parlimen Sg. Besar dan Kuala Kangsar.
2. Selama hampir 2 minggu ahli dan jentera PAS dari seluruh negara berlumba-lumba atas nama jihad politik dan dakwah menyumbang segala keringat tenaga, harta dan masa yang mereka ada berkempen membawa risalah politik dan dakwah Islam demi meraih ganjaran daripada Allah.
3. Penyertaan PAS dalam mana-mana pilihanraya mempunyai misi yang sangat jelas iaitu membawa dua risalah;
Penyokong Pas dari Selayang membuat kempen saat akhir untuk calon mereka di Sungai Besar. Penyokong Pas dari Selayang membuat kempen saat akhir untuk calon mereka di Sungai Besar.
2 Risalah
Pertama: 

Risalah Politik Islam yang diungkapkan sebagai "menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama".
Kedua: 

Risalah Dakwah Islam dengan memperkenalkan Aqidah, Syariat dan Akhlak Islam serta membawa risalah keadilan dan kesejahteraan Islam untuk seluruh rakyat muslim dan bukan muslim.
4. Politik yang PAS bawa adalah Politik Nasihat sebagaimana dijelaskan oleh al-Quran dalam surah al-A'raf ayat 62 dan 68 menerusi ungkapan Nabi Nuh alaihissalam

  • "Saya sampaikan kepada kamu risalah-risalah Rabb saya dan saya meNASIHATI untuk kebaikan kamu dan saya tahu daripada Allah apa yang kamu tidak tahu"
Juga ungkapan Nabi Hud alaihissalam
  • "Saya sampaikan kepada kamu risalah-risalah Rabb saya dan saya bagi kamu semua merupakan PENASIHAT yang jujur lagi amanah"

5. Politik yang PAS dokong adalah Politik Amar Ma'ruf Nahi Mungkar menyuruh manusia melakukan perkara baik di saat kebaikan ditinggalkan dan melarang kemungkaran apabila kemungkaran mula terserlah sebagaimana sabda Nabi saw:
  • "Sebaik-baik Jihad adalah kalimah yang benar di sisi seorang pemimpin yang zalim" 

(Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)
6. Politik yang PAS bawa adalah Politik Damai bagi menyatukan seluruh masyarakat Malaysia atas perjuangan menegakkan keadilan dan menolak kemungkaran;
  • "Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah bekerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan.." 

(surah al-Ma'idah ayat 2)
7. Pendekatan yang PAS ambil adalah secara berhikmah dengan tegas pada tempat yang memerlukan ketegasan dan berlunak pada tempat yang memerlukan kelunakan sebagaimana perintah Allah kepada Nabi Musa dan Harun alaihimassalam berhadapan dengan Fir'aun:
  • "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun kerana sesungguhnya dia telah melampau batas. Lalu sebutlah kepada mereka berdua kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau dia menjadi takut (kepada Allah)."

(Surah Taha ayat 43-44)
8. Nasihat semasa yang PAS sentiasa peringatkan adalah:
1. Bahawa negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi akibat pengurusan kewangan negara yang tidak menepati saranan Islam iaitu boros ketika mewah untuk tempoh yang panjang puluhan tahun khususnya selepas krisis ekonomi 1997, sedang al-Quran mengajar bahawa hamba-hamba Allah ialah :
  • "Dan mereka yang apabila berbelanja tidak boros dan tidak pula kedekut dan adalah perbelanjaan itu pertengahan antara keduanya" (surah al-Furqan ayat 67)

2. Kerajaan Persekutuan berhutang dengan amaun yang besar rm630 bilion (rm630,000,000,000) akibat tunggakan hutang yang semakin meningkat daripada rm90 bilion sejak 1998. Ia berpunca daripada prinsip pegangan yang salah bahawa negara tidak ada masalah untuk berhutang bagi menyuntik kemajuan bagi negara. Sedang al-Quran menyatakan :
  • "hendaklah berbelanja orang berkemampuan berdasarkan kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya maka berbelanjalah mengikut kadar yang diberikan oleh Allah" 

(surah al-Talak ayat 7)
3. Bahawa kerajaan persekutuan telah berhutang dengan cara yang diMURKAI oleh Allah sehingga kehilangan BARAKAH iaitu secara RIBA sehingga terpaksa membayar amaun pengurusan hutang termasuk bunga Riba setiap tahun melebihi rm20 bilion. Sedang Allah menyatakan:
  • "Maka sekiranya mereka tidak melakukan (perintah meninggalkan riba) maka isytiharkanlah perang daripada Allah dan Rasul-Nya" 

(surah al-Baqarah ayat 279)
4. Bahawa kegagalan 1MDB berpunca daripada prinsip yang salah iaitu berhutang secara RIBA bagi mendapatkan modal perniagaan sehinggakan syarikat yang hanya bermodal rm1 juta mencipta hutang RIBA melebihi rm42,000 juta.


5. Bahawa Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) adalah cara yang salah dalam mendapatkan sumber kewangan negara kerana ia dikenakan kepada semua golongan kaya dan miskin lalu menyebabkan pula inflasi kenaikan harga barang. Sedang ruang dan cara yang lebih barakah bagi mendapatkan hasil negara diketepikan seperti cukai simpanan korporat dan orang yang berkemampuan serta cukai keuntungan jual beli saham oleh golongan korporat dan orang yang berada.
SERUAN
Justeru, PAS dengan penuh rendah diri mengajak seluruh rakyat di Kuala Kangsar dan Sg Besar daripada pelbagai parti bersama dengan PAS dalam menegaskan prinsip-prinsip tersebut.
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

3 ptg Jumaat 17 jun 2016 / 12 Ramadhan 1437 h

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails