Wednesday, December 23, 2015

Hanya PAS Teguh Pertahan Prinsip.. -Prof Madya Dr Mohd Fuad Salleh.



SERDANG: Hanya PAS yang teguh mempertahankan prinsip dan mempunyai kedinamikan pendekatan politik berbanding parti-parti lain di negara ini, demikian menurut Dekan Fakulti Perniagaan Universiti Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Salleh. 

Beliau menganalogikan prinsip kepada ciri-ciri sebuah rumah iaitu mesti mempunyai tiang, dinding, bumbung, bilik, ruang tamu dan dapur. Manakala pendekatan pula digambarkan beliau sebagai sering berbeza sepertimana terdapatnya rumah yang dibina dari asas kayu atau batu, selain didirikan atas tanah atau menggunakan tiang, serta pelbagai kedinamikan lain. 

Dr Mohd Fuad memuji PAS sebagai parti yang tegas dan jelas mempertahankan prinsip apabila sejak ditubuhkan pada tahun 1951 tidak pernah berubah, sebaliknya tetap kekal untuk menegakkan syariat Islam di negara ini. Sementara dalam pendekatan politik, PAS katanya telah menunjukkan perubahan yang dinamik sesuai dengan keadaan semasa sepertimana ‘tahaluf siyasi’ bersama parti-parti lain. 

“Tahun 1969, PAS berbincang untuk bergabung dengan Parti Perikatan, lambang kapal layar, masa itu. Ramai pimpinan PAS yang tak bersetuju dan bila keputusan telah dibuat, PAS menyertai Perikatan pada tahun 1970, ada pimpinan yang keluar, menubuhkan parti baru. 

“Ada yang tak setuju kekal dalam PAS dan dilantik pula menjadi Menteri, habuan yang Allah berikan kepada orang yang kekal dalam perjuangan. Dia tak setuju, tapi dia kekal dalam perjuangan. 

“Tapi apabila PAS mengambil keputusan untuk keluar daripada BN, tukar lambang daripada kapal layar kepada timbang dacing, (mereka) yang (dahulunya) tak suka (gabungan itu), punyalah suka. Tak nak pula keluar, dia nak kekal pula dalam BN. 

“Tengok ya, bagaimana Allah mengubah hati manusia. Mula-mula dia tak nak (bergabung), (tapi) dapat kedudukan, bila nak keluar, dia tak nak keluar,” terangnya dalam pembentangan bertajuk “Prinsip Gerakan Islam dan Dinamika Politik” pada Seminar Politik Islam: Gerakan Islam dan Politik Masa Kini di Hotel Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, di sini 12 Disember lalu. 

Menegaskan prinsip sebagai perkara ‘dharuriyyat’ yang wajib ada dan diperlukan, beliau mengakui wujudnya kecenderungan manusia kepada keinginan iaitu ‘hajiyyat’ dan kelengkapan yakni ‘tahsiniyyat’. Bagaimanapun tegasnya, apabila bertembung antara perkara tersebut, ‘dharuriyyat’ mesti dipertahankan berbanding ‘hajiyyat’ dan ‘tahsiniyyat’. 

Dr Mohd Fuad menjelaskan hal tersebut sebagai membenarkan tindakan Presiden PAS selaku pemimpin tertinggi parti untuk mempertahankan prinsip yang ‘dharuriyyat’ berbanding desakan bersifat ‘hajiyyat’ dan ‘tahsiniyyat’. 

“Soal kepatuhan dan walak. Ada yang bertindak untuk tak patuh atau tak walak. Pimpinan kata jangan, dia kata tak apa boleh buat. Sekiranya berlaku dalam rumah, contohnya ada dapur isteri nak letak langsir cantik-cantik. Suami kata jangan, sebab ini tempat api dan sebagainya, takut tersambar api, terbakar. 

“Tetapi kerana ‘hajiyyat’ isteri nak cantik juga, dia sanggup ketepikan ‘dharuriyyah’. Adakah nak biarkan perkara ini berlaku? Sebagai pemimpin, suami kena tegah isteri. Tak boleh, sebab bahaya. Kecuali satu, tak payah ada dapur dalam rumah, tiap-tiap hari pergi makan luar, tak masak langsung, bolehlah hias cantik-cantik dalam rumah. 

“Tapi peranan dapur hilanglah, sedangkan ia diadakan kerana ada peranannya. Bila suatu jawatan diwujudkan dalam parti ada peranannya, ada tanggungjawabnya, jangan lari daripada peranan dan tanggungjawab ini, sebagaimana dalam kaedah pembentukan rumah tadi,” perinci beliau. 

Oleh itu simpulnya, sebagai parti politik, perubahan pendekatan adalah perkara biasa dan sentiasa diperlukan bersesuaian dengan keadaan tanpa perlu merubah dan menggadaikan prinsip di mana sejarah telah membuktikan PAS telah melalui hal tersebut dengan jayanya. (IH/Omak Kau!!)

1 comment:

Anonymous said...

Wa see muka fuad ni mcm amno je. My firasat/nujum. Kahkah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails