Sunday, August 25, 2013

Tolak Rasuah AMM, Anugerah S'gor Kpd TG Nik Aziz

 SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberikan Anugerah Integriti kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anugerah khas itu disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada anak Mursidul Am PAS itu, Nik Omar yang mewakilinya sempena sambutan Hari Belia Selangor bertemakan Tolak Rasuah Anak Muda Merdeka di Dataran Kemerdekaaan, Shah Alam, malam tadi.

Menurut Abdul Khalid, anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap pentadbirannya Tuan Guru yang bersih dari rasuah selama lebih 23 tahun mentadbir negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu. Tuan Guru tidak dapat hadir ke majlis itu malam tadi, berikutan kesihatannya tidak mengizinkan dan baru keluar hospital.

Bagaimanapun beliau menyampaikan rasa kesyukurannya melalui anaknya terhadap penganugerahan itu.

“Bapa saya menyatakan kesyukuran atas anugerah ini dan teruja dengan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor,” kata Nik Omar dipetik Selangorku.

Beliau berkata, bapanya bertekad menolak amalan rasuah dalam tempoh 23 tahun menerajui Kelantan dengan membuktikannya melalui tingkah laku dan cara pentadbiran.

“Cara kehidupan yang sederhana, kewarakannya, sifat zuhudnya. Setiap pagi ketika di pejabat bersolat sunat memohon kepada Allah supaya segala apa dilakukan mengikut jalan yang benar serta menjadi contoh kepada pihak lain.
“Biarpun ada kalanya menerima tohmahan daripada musuh politik namun dia tetap yakin dengan apa yang dilaksanakan hingga beroleh kejayaan,” katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails