Sunday, October 16, 2011

PM Bertindak Tidak Bijak -P/Pembeli Rumah



KL, 16 Okt 11: Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mendakwa perdana menteri telah bertindak dengan “tidak bijak” dalam soal pelaksanaan cukai keuntungan hartanah (RPGT) memandangkan kadar baru yang diumumkan menerusi Bajet 2012 itu hanya akan menyebabkan harga hartanah terus naik.

Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata, ini kerana kadar yang telah dikaji semula itu hanya mempunyai impak kecil ke atas spekulator jangka pendek yang mengharapkan keuntungan, sebaliknya akan mengakibatkan kenaikan dalam pelaburan hartanah bersifat spekulatif.

Katanya, Persatuan Pemaju-pemaju Hartanah (Redha) menyambut baik kenaikan RPGT daripada lima kepada 10 peratus bagi rumah-rumah yang dijual dalam tempoh dua tahun selepas dibeli, tetapi menegaskan pendekatan baru ini tidak bermakna ke atas spekulator jangka pendeka yang mahu mendapatkan keuntungan.

Chang memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) mengambil langkah betul dalam memastikan setiap rakyat boleh memiliki rumah, tetapi kelihatan beliau juga mendengar input daripada kumpulan-kumpulan perniagaan yang mempunyai kepentinagn dan agenda sendiri.

Dalam satu kenyataan kepada media semalam, kata Chang, adalah sesuatu yang malang apabila perdana menteri tidak diberi nasihat yang betul mengenai situasi yang sebenar.

“Justeru kata beliau, rakyat pula boleh menjangkakan kenaikan dalam pelaburan hartanah spekulatif, yang akhirnya akan menaikkan lagi harga.

Chang berkata hartanah biasanya tidak dibenar untuk dijual ketika masih dibina, yang mengambil masa antara dua hingga tiga tahun, dan oleh itu, menaikkan RPGT daripada lima kepada 10 peratus adalah sesuatu yang tidak bermakna.

Katanya, jika pentadbiran Najib mahu mengawal spekulasi, kadar yang diumumkannya perlu dikaji semula.

Ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar tetap RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah.

“Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.

“Bagi menangani masalah ini, kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula,” kata Najib’.

Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar RPGT adalah 10 peratus manakala hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun, kadar lima peratus dikekalkan.

“Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah,” katanya.

Semalam, Najib melancarkan eksesais pengundian pertama Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kompleks Kejiranan, Precinct 11, Putrajaya.

Sejumlah 560 unit rumah mampu milik telah mencatatkan lebihan langganan 13 kali dengan lebih 7,000 permohonan diterima, yang mana 84 peratus ialah pembeli rumah kali pertama. (IH/MI)

Lihat video sebelum ini..

Minda Ibnuhasyim- Politik Bajet

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails