Tuesday, October 18, 2011

250,000 Murtad, Buktikan! -Mufti Perlis


KL, 18 Okt 11: Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempertikai dakwaan bahawa kes murtad di negara ini semakin parah dan ramai yang sudah keluar Islam, sebagaimana ditimbulkan oleh sesetengah pihak.

Juanda berkata jumlah besar yang selalu diuar-uarkan tidak masuk akal meskipun beliau tidak menolak kemungkinan ada kes murtad berlaku di kalangan masyarakat Islam.

Jelas beliau (gambar), isu murtad tidak sepatutnya dihebohkan kerana ia menggugat sensitiviti umat Islam selain mencemarkan imej agama seolah-olah ia lemah dan tidak mampu menjaga penganutnya sendiri.

“Tidak logik apabila orang tulis di Internet kononnya lebih 250,000 orang Islam di negara ini sudah murtad.

“Kalau ada, buktikan dan jangan beremosi. Setiap negeri ada enakmen yang mengawal dakyah agama lain daripada disebar kepada orang Islam, kenapa mereka ini tidak didakwa?” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Pandangan itu diketengahkan ketika beberapa pihak menggesa agar kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi mencegah kes murtad. Gesaan ke arah itu merupakan salah satu kandungan dalam deklarasi yang akan diputuskan di akhir perhimpunan, kata Setiausaha Sekretariat Himpun Aminuddin Yahaya kepada The Malaysian Insider.

Kandungan deklarasi mirip pandangan dikemukakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria minggu lalu. Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa agama supaya segera mewujudkan akta bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Harussani, ini kerana golongan yang cuba menyesatkan orang Islam tidak pernah berhenti berbuat demikian sejak dari dahulu lagi. Harussani, yang dijangka akan turut berucap pada perhimpunan, akta murtad perlu diwujudkan segera kerana gejala itu seperti virus terhadap bangsa Melayu Islam.

Meskipun belum ada angka rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan mengenai kes murtad, pada tahun 2008 Harussani dilaporkan berkata terdapat 260,000 orang Melayu sudah dikristiankan di negara ini dan bilangan itu dikhuatiri bertambah saban tahun.

Dalam satu kenyataan semalam, Islamic Renaissance Front (IRF) berkata tiada perangkaan tepat mengenai kes murtad dan bimbang Himpunan Sejuta Umat akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam. Sementara PAS Pusat pula hanya akan mengadakan mesyuarat khas malam ini membincangkan penyertaan dalam Himpunan Sejuta Umat (Himpun) itu.

Sedangkan sayap pemuda PAS menyokong perhimpunan tersebut yang bermatlamat mahu menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu murtad. (IH)

Lihat sebelum ini...

1 comment:

adios said...

sudah2lah fikir tentang nak menang pilihanraya. Allah sedang uji sejauh mana ikhlas hambanya mingin menjaga agama. biarlah umno bodoh tu, tak perlu salahkan sesiapa. tahulah Allah hukum nanti. yang kena tanya nanti diri sendiri. saya harap buatlah yang terbaik. jika bersih sanggup mati kerana marahkan umno, sekarang masanya untuk buktikan sejauh mana kita sayangkan agama melebihi parti politik.

adios

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails