Sunday, December 26, 2010

Undang Murtad Sabah Cetus Bimbang -K/Biskop Katolik

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Persatuan Kristian Malaysia sempena sambutan hari Krismas bersama Archbishop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam (kiri). — Gambar Bernama

KL, 26 Dis 10: Ketua Biskop Katolik Tan Sri Murphy Pakiam khuatir penguatkuasaan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan akan mencetuskan kebimbangan kerana sudah pasti akan membawa kepada tindakan tegas pihak berkuasa agama. Kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sebaliknya menurut Pakiam, pihak berkuasa sewajarnya menerima mesej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar rakyat pelbagai kaum menjadikan kesederhanaan dan semangat inklusif sebagai pendekatan.

“Ia (undang-undang murtad) akan mencetuskan kebimbangan dan sesuatu yang malang perkara ini (undang-undang baru ini) datang begitu sahaja.

“Kerajaan (pusat) mesti membuat pendirian dan tidak menutup (isu ini) dan berdiam diri,” tambah beliau.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) mengumumkan akan menguatkuasakan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan sebaik sahaja pusat pemulihan akidahnya di Kinarut siap pertengahan 2011.

Pengarahnya Datuk Amri A. Suratman berkata, pada masa ini jabatan itu lebih menekankan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah berbanding mengambil tindakan undang-undang.

Kata beliau, pelaksanaan undang-undang ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik untuk lima tahun akan datang. Isu saudara baru kembali ke agama asal sering menjadi bahan perbincangan pada perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan pada perhimpunan baru-baru ini Usia Bahagian Ranau mendedahkan ratusan saudara baru di daerah itu kembali murtad.

Usia mendakwa antara punca saudara baru kembali ke agama asal ialah kerana mereka terabai dan tidak mendapat bimbingan sewajarnya tentang Islam. Majoriti masyarakat Kristian negara ini adalah kalangan rakyat Sabah dan Sarawak manakala Islam adalah agama rasmi persekutuan, yang dianuti 60 peratus daripada 27 juta penduduk. Undang-undang Islam melarang Muslim keluar agama mereka dan mereka yang murtad boleh dikenakan hukuman mandatori.

Sistem perundangan Islam dan undang-undang persekutuan telah mewujudkan kontroversi dalam soal kebebasan beragama di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan apabila seseorang yang beragama Islam cuba menganut agama lain.

Antara kes-kes terbabit ialah Lina Joy (Azalina Jailani), Revathi Massosai dan Nyonya Tahir (Wong Ah Kiu). Mereka yang hendak keluar agama Islam perlu mendapat perisytiharan mahkamah.

Keputusan menguatkuasakan undang-undang murtad dikhuatiri akan merengangkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Pada April lalu, Kabinet mewujudkan panel antara agama di sebalik siri serangan ke atas rumah ibadat - masjid dan gereja, yang berpunca daripada keputusan mahkamah membenarkan gereja Katolik menggunakan kalimah “Allah”.

Najib juga menjanjikan sokongan penuh pentadbiran dan kewangan kepada badan itu. Baru-baru ini beberapa tokoh agama dan ahli akademik berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga berkata fahaman pluralisme agama bertentangan dengan ajaran Islam. Katanya, fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Datuk Nik Mustapha Nik Hassan juga memberikan pandangan bahawa Islam menolak fahaman pluralisme agama yang mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar. Katanya, hanya ada satu agama yang memiliki wahyu yang lengkap dan sempurna iaitu Islam. (AK)

1 comment:

Anonymous said...

PAS buat apa.....! 'batu api le' itu le kerja dia'

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails