Monday, December 27, 2010

Islam Bukan Ketuanan Melayu -Dr Mohd Asri/Nik Aziz

Prof Madya Dr Mohd Asri

KAJANG, 27 Dis 10: Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, masa depan orang Melayu akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam, bukan Ketuanan Melayu yang menjadi polemik baru-baru ini.

“Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.

“Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

“Setiap kaum perlu diberi nilai dengan Islam, tiada nilai orang Melayu tanpa Islam. Umno dibina atas dasar Melayu tetapi kalau dibina atas dasar Islam ia akan jadi lebih luas,” katanya pada Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.

Beliau juga mempersoalkan apabila istilah Ketuanan Melayu menjadi laungan dan slogan pihak tertentu sedangkan maksud sebenar ungkapan itu tidak dijelaskan dengan baik.

“Kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?

“Maksudnya tidak dijelaskan, adakah keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu ini mempunyai maksud sama? Jadi bagi saya relevan jika orang Melayu berpegang kepada prinsip keadilan Islam.

“Ini kerana ketuanan merujuk kepada prinsip keadilan Islam bukan Melayu atau rakyat, apa yang berlaku adalah kekeliruan istilah. Kita kena perpandukan kepada prinsip keadilan Islam,” katanya.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran PAS itu adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Tambah beliau, isu Ketuanan Melayu tidak perlu dibangkitkan kerana ia bukan satu keperluan untuk diperdebatkan.

“Istilah Ketuanan (Melayu) ini adalah istilah yang kabur, jadi ia bukan keperluan untuk dibangkitkan kecuali kalau ia diperjelaskan. Malah, tindakan orang Melayu yang menggunakan istilah ini menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Melayu yang mana mereka beranggapan Islam melakukan diskriminasi kaum.

“Mereka (orang bukan Melayu) bukan musuh, saya tidak nampak keperluan orang bukan Melayu adalah musuh kita, cuma banyak tindakan orang Melayu yang beri tanggapan sebaliknya.

“Kita perlu berbalik kepada Islam, Islam lebih luas tapi saya bimbang apabila istilah ini dimainkan ia akan meruncingkan lagi keadaan. Islam bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja, ia adil untuk semua,” katanya.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya Ketuanan Melayu ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan Ketuanan Melayu diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS itu berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails