Monday, December 27, 2010

Penjelasan Menteri Rogol Amah -Alex Ong, Migrant Care

Alex Ong, Country Director Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia


KL 27 Dis 10:
NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia, mengesahkan kejadian pada tahun 2007, mengenai menteri merogol seorang pembantu rumah Indonesia.

Dilaporkan, walaupun menteri berkenaan selamat namun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Abdullah Badawi. Kini persoalan tersebut menjadi paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan oleh WikiLeaks.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007. Dalam kenyataan akhbar, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik. Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) dikatakan mengesahkan kejadian itu. "Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah. "Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjar Negara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan. "Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada akhbar Harakahdaily. (AK).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails