Friday, February 05, 2010

PAS-UMNO Perlu Duduk Se Meja, Bincang Isu Agama.. -Nik Aziz


KOTA BAHARU Feb 4, 2010: Bernama melaporkan, selepas menolak perbincangan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Umno dan PAS duduk semeja untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam daripada berterusan menghabiskan masa bertelagah mengenai politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata pemimpin Umno perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu-isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya sekiranya kedua-dua parti mengamalkan pendekatan permusuhan politik.

Nik Abdul Aziz juga berkata tidak ada sebab langsung untuk kedua-dua parti itu bertengkar mengenai isu pembangunan.

"Saya mahu majlis perbincangan mengenai agama Islam (seperti ini) antara Umno dan PAS sudah lama. 5O tahun Umno bertengkar dengan PAS apa hasilnya, banyak masa habis. Parti itu banyak menggunakan masa, kepakaran dan kewangan untuk melawan gerakan Islam seperti PAS, apa hasilnya melainkan bertengkar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar kalimah Allah di sini, hari ini.

Seminar sehari yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam (Putik) di sini dihadiri oleh Editor majalah Herald-The Catholic Weekly , Lawrence Adrewe dan wakil Buddha, Loo Choo Siang.

Isu kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno pernah dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti tahun lalu bagi membincangkan kepentingan umat Islam di negara ini dan pembangunan orang Melayu termasuk menjaga hak kaum lain, namun ia ditentang Nik Aziz.

Walaupun Umno menerima dengan tangan terbuka tentang kesediaan mereka untuk berbincang ia juga ditentang Nik Aziz dan beliau mendesak PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyingkirkan beberapa pemimpin parti itu yang dikategorikan prokerajaan perpaduan.

Mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Namun, akhirnya Abdul Hadi dan beberapa pemimpin PAS lain terpaksa akur untuk membatalkan perbincangan itu. - BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tutup buku sementara mengenai Kerajaan Perpaduan, tumpukan ke arah isu-isu agama demi kebangkitan Islam dan melahirkan insan yang sempurna, selamat dunia akhirat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails