Sunday, May 17, 2009

Manado Tempat Syahid Pejuang Islam?


Maqam Imam Bonjol.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan


PAGI-PAGI saya membonceng di belakang motosikal rakan yang baru dikenali semalam. Ingin memanjat pergunungan sekeliling bandar Menado. Sesampai di daerah Pineling, dia berhenti. Menunjukkan monumen atau patung berwajah Tuanku Imam Bonjol. Kalau nak melawat maqamnya, boleh masuk kiri, kira-kira satu kilometer.

"Di sinilah maqam Pahlawan Nasional Indonesia. Nama aslinya, Peto Syarif Ibnu Pandito Bayanuddin. Pejuang dalam Perang Padri di Sumatra Utara (1821-1838). Beliau ditangkap Belanda dan diasingkan di beberapa tempat diIndonesia. Terakhir dibuang ke Manado hingga meninggal dunia pada (6 November 1864). Di sinilah maqamnya, dan terdapat juga tempat beliau sembahyang beliau." Dia menjelaskan. "Jom kita ke sana!!"

Siapa sebenarnya tuanku Imam Bonjol?

Menurut Wikipedia, Tuanku Imam Bonjol dilahirkan di Bonjol, Pasaman, Indonesia pada tahun 1772. Beliau kemudiannya meninggal dunia di Manado, pada 6 No9vember dalam usia 92 tahun dan dimaqamkan di Khusus Lotak, Minahasa. Tuanku Imam Bonjol bukanlah seorang Minahasa. Dia berasal dari Sumatera Barat, 'Tuanku Imam Bonjol' adalah sebuah gelaran yang diberikan kepada guru-guru agama di Sumatra. Nama asli Imam Bonjol adalah Peto Syarif Ibnu Pandito Bayanuddin.

Dia adalah pemimpin yang paling terkenal dalam gerakan dakwah di Sumatera, yang pada mulanya menentang perjudian, laga ayam, penyalahgunaan dadah, minuman keras, dan tembakau, tetapi kemudian mengadakan penentangan terhadap penjajahan Belanda yang memiliki semboyan Gold, Glory, Gospel sehingga mengakibatkan perang Padri (1821-1837) yang banyak membantu gerakan kemerdekaan Indonesia.

Mula-mula ia belajar agama dari ayahnya, Buya Nudin. Kemudian dari beberapa orang ulama lainya, seperti Tuanku Nan Renceh. Imam Bonjol adalah pengasas negeri Bonjol. Pertentangan kaum Adat dengan kaum Paderi atau kaum agama turut melibatkan Tuanku Imam Bonjol. Kaum paderi berusaha membersihkan ajaran agama islam yang telah banyak diselewengkan agar dikembalikan kepada ajaran agama Islam yang murni. Golongan adat yang merasa terancam kedudukanya, mendapat bantuan dari Belanda.

Namun gerakan pasukan Imam Bonjol yang cukup tangguh sangat membahayakan kedudukan Belanda. Oleh sebab itu Belanda terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan Tuanku Imam Bonjol pada tahun 1824. Perjanjian itu disebut 'Perjanjian Masang'. Tetapi perjanjian itu dilanggar sendiri oleh Belanda dengan menyerang Negeri Pandai Sikat. Pertempuran-pertempuran berikutnya tidak banyak bererti, kerana Belanda terpaksa mengumpul kekuatanya terhadap Perang Diponogoro.

Tetapi setelah Perang Diponogoro selesai, maka Belanda mengerahkan pasukan secara besar-besaran untuk menaklukan seluruh Sumatra Barat. Imam Bonjol dan pasukanya tidak mahu menyerah dan dengan gigih membendung kekuatan musuh. Namun kekuatan Belanda sangat besar, sehingga satu demi satu daerah Imam Bonjol dapat direbut Belanda. Tetapi tiga bulan kemudian daerah Bonjol dapat direbut kembali oleh Imam. Ini terjadi pada tahun 1832.

Maka Belanda kembali mengerahkan seluruh kekuatan pasukannya yang besar. Tidak ketinggalan Gabernor Jeneral Van den Bosch ikut memimpin serangan ke atas Bonjol, tetapi gagal juga. Ia mengajak Imam Bonjol berdamai dengan maklumat "Palakat Panjang", walaupun menambah kecurigaan Tuanku Imam. Imam Bonjol tidak mahu berdamai, meski kedudukan beliau bertambah sulit. Tiga kali Belanda mengganti panglima perangnya untuk merebut Bonjol, sebuah negeri kecil dengan benteng dari tanah liat.

Setelah tiga tahun dikepung, barulah Bonjol dapat dikuasai, iaitu pada 16 Ogos 1837. Beliau kemudian diasingkan di beberapa tempat, akhirnya dibawa ke Minahasa sehingga meninggal dunia.

Sumber kekuatannya adalah Islam agama yang dianutinya, membawa konsep pembebasan sehingga beliau diakui sebagai Pahlawan Nasional Indonesia. Sebuah bangunan berciri khas Sumatera melindungi makam Imam Bonjol. Sebuah relief menggambarkan Imam Bonjol dalam perang Padri menghiasi salah satu dinding di maqam itu, di samping bangunan ini adalah rumah asli tempat Imam Bonjol tinggal selama pengasingannya.

Makam Tuanku Imam Bonjol dibuat berbentuk rumah adat Minangkabau dengan batu nisan marmar serta sketsa tiga dimensi di salah satu dinding yang menggambarkan kegigihannya berjuang melawan penjajahan. Di sekitar 50m belakang rumah gadang tadi terdapat sungai kecil, tempat bersuci Tuanku Imam Bonjol setiap kali beliau akan menunaikan ibadah sholat sebagai pemeluk Islam sejati. Di bawah naungan pepohonan bambu dan berbagai pepohonan hijau, sungai terlihat apik dan gemericik alirannya menghadirkan ketenangan bagi sesiapa yang mendengar.

Cuma yang saya tidak senang ada ciri-ciri khurafat dalam mengingati sejarah perjuangannya. Apalagi bila melihat patung rupa beliau dibina, seperti berhala-berhala di keliling Kaabah yang dirobohkan semasa berlaku pembebasan Mekah di bawah pimpinan Muhammad SAW. Teringat saya puluhan tahun lalu semasa melawat daerah beliau di kawasan Bukit Tinggi di Sumatra, Kampung Imam Bonjol, juga terdapat patung beliau didirikan pemerintah. Ingin berbuat kebajikan tetapi dengan cara yang menyalahi syarak.

Ingin mewangikan sesuatu, tetapi guna minyak yang dikatakan wangi tetapi sebenarnya berbau busuk. Ingin menunjukkan 'contoh konkret kerukunan umat beragama' tetapi sebenarnya melakukan perbuatan sesat yang boleh merosakkan agama. Niat baik tetapi menggunakan teori usang Barat 'menghalalkan cara'! Begitu juga dengan satu lagi Pahlawan Nasional Indonesia, Pangeran Diponegoro, yang juga pernah diasingkan ke Manado-Makassar oleh pemerintah (penjajah) Belanda pada 1830, dan meninggal dunia di sana. Apakah Manado-Makassar menjadi medan syahid pejuang-pejuang Islam??

Sekian kali ini, bersambung... insya Allah.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)

Pergunungan Minahasa, Sulawesi.

Mei 17, 2009.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails