Friday, May 22, 2009
Kementerian HEA, Martabatkan Islam -Nik Aziz
KOTA BHARU, 22 Mei 2009. Walaupun PM silih berganti, namun tiada seorang pun yang berminat mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Islam seperti diamalkan di negara-negara lain. Di negara ini Menteri di Jabatan PM sahaja yang dipertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam. Demikian pandangan Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kata beliau lagi, sedangkan kementerian lain sering bertukar ganti, namun kementerian khusus untuk menjaga agama Islam tidak ada. "Sedangkan kementerian yang mampu menangani hal ehwal pengurusan Islam khususnya aspek moral dan akhlak umat Islam cukup penting.. Sebaliknya pemimpin Umno sering menukar nama kementerian, misalnya Kementerian Kebudayaan kini menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.
Menurutnya dengan ada kementerian khusus mengenai hal ehwal Islam pelbagai perkara dapat dirancang bagi memartabatkan lagi agama Islam, sebagai agama rasmi negara. Beliau juga berkata, Kelantan agak bernasib baik apabila wujud banyak pusat pengajian pondok sejak berpuluh tahun lalu yang menjadi penggerak perjuangan Islam.
Pada kuliah itu beliau turut mengambil kesempatan membaca al-Fatihah dan berdoa kepada Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob yang baru meninggal dunia. (2MA)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment