Monday, January 04, 2016

FBI Siasat Kaitan Filem 'The Wolf of Wall Street' Dengan Kewangan Najib Dan 1MDB. -WSJ



Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kini sedang menyiasat produksi filem "The Wolf of Wall Street", lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Filem yang dilakonkan oleh pelakon terkenal, Leonardo Dicaprio yang diterbitkan pada 2013 itu mengisahkan tentang kehidupan sebenar seorang broker saham, Jordan Belfort yang terbabit dalam rasuah dan penipuan di Wall Street.

Filem yang menelan belanja lebih AS$100juta (RM430 juta) itu mendapat pujian pengkritik filem dan mendapat lima pencalonan dalam Anugerah Akademi ke 86.

Dana kewangan bagi filem tersebut datang dari syarikat produksi Red Granite Pictures yang diasaskan oleh Riza Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

FBI kini sedang menyiasat kaitan antara filem tersebut dengan kewangan peribadi Najib dan juga kontroversi yang melibatkan 1MDB.

Selain itu, WSJ juga turut melaporkan kredit di dalam filem terbabit ada menyenaraikan Jho Low dan mendedahkan Jho Low dan Riza pernah berhubung ketika belajar di London.


WSJ juga turut melaporkan Red Granite memaklumkan kepada mereka bahawa Riza ataupun syarikat terbabit tidak terlibat dalam aktiviti perniagaan yang "tidak sepatutnya". (IH)

Sunday, January 03, 2016

Tak Sedar Anak Lakukan Seks. Ibubapa Saja, K'jaan Tak Salah?

MELAKA: Ramai ibu bapa tidak percaya bahawa anak-anak mereka pernah melakukan hubungan seks dengan rakan-rakan sendiri, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin.

Katanya anak-anak muda mungkin berkelakuan baik di rumah kerana kawalan ketat oleh ibu bapa mereka "tetapi perlakuan mereka berbeza ketika di luar".

Sehubungan itu beliau menasihatkan supaya ibu bapa terlibat dalam mendidik anak-anak mereka khususnya mengenai peruntukan undang-undang dalam kes rogol.

Minggu lalu, The Star melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 51 peratus kes rogol yang berlaku dalam tempoh tiga tahun lalu melibatkan hubungan seks dengan kanak-kanak.

Seksyen 375 (G) Kanun Keseksaan menyatakan bahawa hubungan seks dengan seseorang di bawah 16 tahun dianggap rogol (sama ada dengan atau tanpa izinnya).

"Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk memantau anak-anak dan rakan-rakan mereka," katanya.

Ketua Polis Melaka, Timbalan Komisioner Datuk Wira Chuah Ghee Lye berkata ramai pesalah muda tidak menyedari akibatnya.

"Pihak-pihak berkepentingan perlu mengkaji mekanisme untuk mendidik golongan muda mengenai jenayah rogol," katanya.


Ini juga mempunyai saham besar dalam pasaran maksiat najis zina di negara ini. 

Komen Weblog Ibnu HasyimRamai ibu bapa tidak percaya bahawa anak-anak mereka pernah melakukan hubungan seks dengan rakan-rakan sendiri. Anak-anak muda mungkin berkelakuan baik di rumah kerana kawalan ketat oleh ibu bapa mereka tetapi perlakuan mereka berbeza ketika di luar.

Apakah kesalahan begini terjadi hanya kerana salah ibubapa sahaja, sedangkan kerajaan yang mencorakkan suasana keliling mereka langsung tidak boleh dipersalahkan? Kerajaan yang menguasai pelajaran dan pendidikan, menguasai media tv dan lain-lain, mencorakkan dengan politik sekular, perlembagaan materialistik. 

Kerajaan yang mengimport masuk budaya liar dari luar. Itu juga mempunyai saham besar dalam pasaran maksiat najis zina di negara ini. Juga mengabaikan perundangan Islam seperti yang disuruhkan laksanakan oleh Allah SWT. Kerajaan sebagai bapa kepada semua 'ibubapa' diharapkan, tetapi pagar yang diharapkan itu sendiri yang memakan padi. (H)

Kelainan Ra'i Tahun Baru, Hiburan Dan Kebajikan. -Pemuda PAS Samariang.

Gambar kenangan
PAS DATANG UNTUK MENANAM BENIH - Allahyarham TUAN GURU  NIK AZIZ  NIK  MAT. Kuching, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa inilah kali pertama kehadiran PAS didalam Pilihanraya negeri Sarawak lebih kepada untuk menyemai benih bagi terus bertapak.Beliau menjelaskan  demikian ketika  ditanya sejauhmana peluangan PAS didalam Pilihanraya negeri Ke-8 yang akan diadakan pada 27 September 2001

HALAMAN HIBURAN

Pemuda PAS semalam telah menampilkan sedikit kelainan dalam meraikan kedatangan tahun baru 2016. Sambutan tahun baru dimulai dengan Buskers Lambak pada malam tahun baru 2016 yang bertempat di D’Tambang Cafe, Jalan Astana.

Program tersebut telah manmpilkan sebuah indie band lokal iaitu Imaginasi Band yang telah menyampaikan 9 buah lagu.
Turut hadir bersama dan menyampaikan amanat tahun baru 2016 kepada anak muda yang hadir adalah Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Saudara Ir. Haji Khairil Nizam. Program yang berakhir selepas 12 tengah malam itu diakhiri dengan bacaan selawat beramai-ramai.
Sambutan tahun baru diteruskan dengan tiga lagi program kebajikan iaitu Ziarah Kebajikan, Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Gunting Rambut Percuma untuk penduduk di DUN N.07 Samariang pada keesokan paginya. Program satu hari yang dianjurkan bertempat di Emart Express Sukma Ria itu mendapat sambutan yang begitu menggalakan daripada pengunjung-pengunjung yang hadir. Alhamdulillah, seramai hampir lebih sepuluh keahlian baru diterima oleh PAS pada pagi itu.
116 beg sekolah dan wang tunai RM5,000 untuk pelajar cemerlang UPSR : PAS Samariang

Pemuda PAS yakin bahawa sambutan tahun baru itu tidak seharusnya berunsurkan hiburan semata-mata. Anak muda perlu diseimbangkan dengan pelbagai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan keharmonian bagi memastikan generasi yang lebih baik bagi menguruskan negeri ini dimasa akan datang. Hiburan yang banyak pada hari ini wajar ditambah baik dengan menjadikan hiburan itu sendiri bersifat mendidik. 



#samariangsejahtera

PEMUDA PAS N.07 SAMARIANG

Kahwin Bawah Umur, SIS Tuduh Ulama PAS Hina Islam. Biadab?

KL: Islam tidak membenarkan perkahwinan bawah umur, terutama sekali kepada pemangsa itu sendiri, misalnya perogol gadis bawah umur. 
Kata Sisters in Islam (SIS), organisasi bukan kerajaan yang kononnya memperjuangkan hak wanita Islam melalui The Malaysian Insider hari ini.
SIS menuduh Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat menghina Islam dengan cadangannya yang perkahwinan akan menyelesaikan masalah rogol bawah umur yang tinggi di negara ini.
SIS berkata, kenyataan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di laman sosial baru-baru ini sangat mengejutkan dan salah.
“Islam tidak membenarkan perkahwinan bawah umur, terutama sekali kepada pemangsa itu sendiri, misalnya perogol gadis bawah umur itu.
“Selaku ahli Parlimen, sangat mengejutkan yang Khairuddin memperlekehkan keseriusan dan trauma emosi yang dialami mangsa dalam kes rogol bawah umur,” kata SIS merujuk kepada posting di Facebook ahli Parlimen Kuala Nerus itu Rabu lalu.
Khairuddin juga berkata di laman sosial itu, "bernikah adalah ubat paling mujarab disediakan Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini.”
“Masyarakat khususnya ibu bapa mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak.
“Manakala kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan  beban pasangan yang bakal berkahwin,” beliau menulis di Facebook pada 30 Disember.
Ahli Parlimen PAS itu mengulas statistik jenayah seksual dikeluarkan Bukit Aman yang menunjukkan 920 daripada 1,794 kes dilaporkan tahun ini melibatkan kes rogol bawah umur.
Khairuddin juga mendakwa kira-kira 90% kes rogol bawah umur adalah di bawah "kategori suka sama suka" manakala 10% sahaja "kategori paksaan".
SIS menyifatkan kenyataan Khairuddin tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Selain mencadangkan pernikahan sebagai ubat paling mujarab, Khairuddin dalam postingnya turut mencadangkan definisi rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak mangsa yang digunapakai ketika ini disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah.

SIS biadap?
Lihat..

Jelas 'Pemerintahan Islam', Menjadi Tujuan Perjuangan PAS. Parti Lain Belum Ada.

Ditulis oleh 

Dewan Ulama PAS Pusat

HARI INI DALAM SEJARAH PAS
PENETAPAN TUJUAN PERJUANGAN PAS UNTUK MENEGAKKAN PEMERINTAHAN ISLAM (2 JANUARI 1963)
PADA hari ini dalam tahun 1963, PAS telah mengambil ketetapan dalam Mesyuarat Agung Tahunannya Kali Ke-11 bahawa tujuan utama perjuangan PAS ialah "menjalankan ikhtiar-ikhtiar politik dan perlembagaan untuk mewujudkan di dalam Persekutuan Tanah Melayu akan pemerintahan Islam yang berjalan di dalamnya hukum-hukum Allah, pegangan-pegangan Islam dan pandangan hidup Islam." [Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963, Fasal 2(1)]
 Pindaan terhadap Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1954 ini telah diterima dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS yang diadakan di Dewan Kesatuan Syarikat Guru-guru Melayu, Bandar Melaka pada 31 Disember 1962 hingga 2 Januari 1963. Pindaan ini dibuat untuk menyatakan dengan jelas kepada rakyat Persekutuan Tanah Melayu tentang tujuan perjuangan PAS dalam usaha menegakkan negara Islam di negara ini setelah kejatuhan khalifah pada 1924.
Sebelumnya, pada 1953, PAS telah menetapkan tujuannya adalah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam dalam kehidupan individu dan masyarakat, yang kemudiannya disusun semula pada 1954 dengan menyatakan tujuan PAS adalah memperjuangkan cita-cita Islam dalam masyarakat dan pemerintahan negara.
Walau bagaimanapun, pada 26 September 1961, Prof Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dalam kertas kerjanya "Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)" telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk menyusun semula Undang-undang Tubuh PAS bagi menyatakan dengan jelas tujuan perjuangan PAS. Kertas yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26-28 September 1961 ini bertujuan memberi nafas baru kepada PAS pasca Pilihan Raya Umum 1959.
Pindaan ini walau bagaimanapun telah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 pada 5-6 Januari 1962 supaya ia dibawa ke Mesyuarat Agung Khas PAS yang dijadual pada 22 April 1962. Namun begitu, atas faktor teknikal, mesyuarat agung khas itu tidak dapat dilaksanakan, yang menyebabkan usul penetapan tujuan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan pemerintahan Islam di dalam Undang-undang Tubuh PAS ini hanya dapat diluluskan sebagai resolusi Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 di Melaka yang berakhir 2 Januari 1963.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Januari 2016
Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Jelas 'Pemerintahan Islam', menjadi tujuan perjuangan PAS. Setakat ini di Malaysia, parti lain belum ada, dasar perjuangannya begitu. Kini PAS tetap tidak lari dari perjuangan asalnya.

MAS, Tudung Dan Arak. Ulama Hanya Boleh Merayu..



(Diangkat dari 'MAS, Tudung dan Arak' DrMAZA.com 

Malam ini jiwa saya agak tersentuh. Dalam penerbangan MAS malam ini, seorang pramugari datang mengadu dan menangis di hadapan saya mengenai nasibnya. 

Jiwanya menderita kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung. Dia bekerja untuk menyara anak-anaknya. Ini bukan kali pertama saya mendengar aduan seperti ini. Saya sangat simpati dan tersentuh. Lebih sedih lagi memikirkan MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan negara yang majoriti penduduknya muslim. 

Sesetengah orang melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu halang wanita muslimah memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan mengamuk sakan. Segala dalil dan semangat akan dihamburkan. 

Malangnya kita lupa bahawa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia itu sendiri tidak membenarkan pramugarinya memakai tudung dan terpaksa menghidangkan arak. 

Retorik-retorik politik berbaur agama yang kita dengar di media dan bicara ahli-ahli siasat itu, tidaklah setakat mana jika kita lihat kepada nasib pekerja-pekerja MAS yang beragama Islam itu. 

Saya dengan ini, mengajak rakyat Malaysia memohon kepada pihak kerajaan agar wanita muslimah yang bertugas sebagai stewardess MAS diberikan keizinan untuk memakai pakaian yang memenuhi sifat pakaian seorang wanita muslimah. 

Juga pekerja muslim dan muslimah tidak ditugaskan untuk menghilangkan arak. Terimalah itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita menghidangkannya?!! 

Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Begitulah dalam kerajaan sekular bertopengkan Islam, ulamak hanya boleh merayu sahaja.. Ulama diperintah, bukan memerintah.


Wanita UMNO antara pemimpin dan pemerintah kerajaan sekular Malaysia..

Kalau dilihat dalam sejarah Islam..

Satu:

Ibn Athir dalam kitabnya “al-Kamil fi al-tarikh” mencatatan peristiwa yang berlaku pada tahun 223 Hijriyyah bersamaan 838 Masehi, yang dikenali dengan nama “Peristiwa Penaklukan Ammuriah”. Peristiwa yang dicatatkan dengan tinta emas ini berlaku di zaman Khalifah al-Mu’tassim, khalifah terakhir kerajaanAbbasiyyah yang memerintah sekitar 833-842 Masehi

Apabila seorang muslimah telah ditangkap dan dipenjara serta dihina auratnya oleh tentera Rom, maka muslimah tersebut melaungkan “wa mu’tassim” yang bermaksud “Wahai Mu’tassim, tolonglah aku” dengan maksud menyeru khalifah agar datang membelanya. Laungan wanita tersebut telah disampaikan ke telinga khalifah al-Mu’tassim lantas beliau mengerahkan segala bala benteranya menuju ke utara benua Asia, yakni kota Ammuriah di Turki hari ini. 

Bayangkan khalifah di Baghdad mengerahkan tentaranya ke Turki yang beribu batu hanya untuk membantu seorang muslimah yang kehormatannya dihina oleh tentera kafir Rom. Kota Ammuriah dikepung oleh tentera Islam lebih lima bulan hingga akhirnya ditakluk oleh Khalifah al Mu’tassim pada 13 Ogos 833. Bayangkan hanya kerana maruah seorang wanita Islam dihina oleh tentera kuffar Rom di Turki, ribuan bala tentera umat Islam di Baghdad dikerah membelanya.


Setelah berjaya menawan kota Ammuriah, khalifah sendiri dengan rendah diri, tawaduk masuk ke penjara dan membuka rantai yang mengikat muslimah yang memohon pertolongannya itu tadi. Apabila ditanya siapakah engkau? Khalifah menjawab “akulah Mu’tassim yang kau minta pertolongan sebelum ini”. Peristiwa ini berlaku ketika khalifah Islam berada dalam keadaan paling lemah dan sejurus selepas itu ianya digulingkan oleh Hulagu... Namun apa yang ditunjukkan oleh Khalifah al-Mu’tassim itu merupakan teladan yang diambil dari Baginda SAW. 

Dua:

Pada zaman Nabi Muhammad SAW pula, ada seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ yang menjatuhkan kehormatan seorang Muslimah dengan mengikat hujung bajunya sehingga menyebabkan kainnya tersingkap dan menampakkan auratnya. Pada ketika itu, ada seorang lelaki Islam yang berkebetulan berada di situ lalu membunuh orang Yahudi itu. Orang-orang Yahudi kemudiannya berpakat dan membalas dengan membunuh lelaki itu pula. 

Keluarga lelaki itu kemudiannya memanggil kaum Muslimin untuk membantu dan apabila dimaklumkan kepada Nabi SAW, Baginda SAW mengirimkan pasukan melawan mereka dan setelah lima belas hari pengepungan seluruh suku Bani Qainuqa’ telah diusir dari Madinah. Subhanallah!

Tiga: 

Begitu juga dalam kes sejarah Islam masuk ke India, dan lain-lain. Kita sambung lain huraian. Insya Allah!

Nikah Mujarab Tangani Rogol -Dr Khairuddin Aman Razali


Masyarakat, khususnya ibu bapa, mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak bagi membendung kes rogol, kata Dewan Ulama PAS.
Ketuanya Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata kerajaan juga mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin.
“Anjuran bernikah pula adalah ubat yang paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin (gambar) mengulas kebimbangan terhadap masalah itu.
Beliau turut memetik statistik polis yang menunjukkan 6,910 kes rogol dilaporkan bagi tahun 2013 hingga 2015.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 12 peratus membabitkan gadis bawah umur – yang sebahagian besar melibatkan kes suka sama suka.
Bagi membendung masalah itu, Khairuddin berkata, pendidikan seks atau kesihatan reproduktif yang mahu diperkenalkan kerajaan sia-sia jika hanya tertumpu pada aspek undang-undang, kesihatan dan seks selamat.
Malah, katanya lagi, ia “berpotensi besar” menggalakkan lagi masalah itu yang menurutnya seperti kempen “kehidupan seks sihat dan selama” seperti di negara Barat.
“Sepatutnya, pendidikan pergaulan dan bersosial menurut perspektif Islam dijadikan panduan utama dan diberikan penekanan kepada masyarakat sebagai kaedah pencegahan yang berkesan untuk melindungi masyarakat tidak kira usia dan jantina daripada jenayah rogol dan zina,” katanya.
Beliau juga berkata takrif rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak-hak mangsa yang diguna pakai sekarang disemak semula.
Dewan Ulama PAS mahu ia diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah dalam Islam. (MK)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails