KOTA BHARU: Isteri Menteri Besar Kelantan, Datin
Siti Zabedah Abdul Hamid, melahirkan rasa syukur kerana empat anak
rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden selamat pulang ke pangkuan
keluarga dua hari lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Purnama turut
melahirkan rasa terharu kerana usaha kerajaan Malaysia juga akhirnya
kanak-kanak berkenaan selamat pulang ke tanah air.
Beliau berkata
demikian ketika ditemui di rumah ibu saudara kanak-kanak berkenaan,
Shaleena Nor Shal, 43, di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor dekat sini hari
ini.
Semalam Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang juga Anggota
Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof dan anggota exco
kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi, turut meluangkan waktu menziarahi
kanak-kanak berkenaan.
Turut serta hari ini Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Nur Aida Ismail dan timbalannya, Kamal Azam Kamaruddin.
Zabedah
seterusnya berharap keempat-empat anak Shalwati selesa dengan penjaga
mereka yang juga ibu saudara walaupun akan berhadapan dengan masalah
komunikasi ketika berada di sekolah.
“Kita berharap Aishah
menjadi pengganti kepada ibu buat sementara ini dengan menjaga kebajikan
adik-adik dengan dibantu ibu saudaranya sendiri,” ujarnya.
Beliau
merasa terharu apabila mengetahui Aishah dan adik beradiknya dapat
pulang ke tanah air dan akan menetap di Kelantan (Melor) tempat
kelahiran ibunya.
“Saya hari-hari mengikuti perkembangan Aishah
dan adik beradiknya melalui media dan kami rakyat Kelantan seluruhnya
sentiasa mendoakan kesejahteraan Aishah, ibu bapanya serta
adik-beradiknya yang lain,” ujarnya.
Hadir sama dalam sesi
lawatan itu Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan kerajaan negeri,
Norhashimah Deraman dan Dewan Pemuda PAS Kelantan yang diketuai ketuanya
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Sementara itu, Shaleena memberitahu beliau akan menjaga kebajikan anak-anak saudaranya itu sebaik mungkin.
Bukan itu sahaja, katanya mereka sebelum inipun sewaktu pulang ke tanah air di rumahnya tempat mereka tinggal.
“Insyaallah, saya akan menjaganya dengan baik, apa lagi mereka adalah anak saudara saya, darah daging saya,” ujarnya.
Menjawab soalan tentang ketegasan kakaknya dalam mendidik anak-anak soal agama, Shaleena mengakui kakaknya memang demikian.
Katanya, bukan soal solat sahaja sebaliknya setiap anak-anaknya terutama yang dewasa wajib khatam al-Quran pada bulan Ramadan.
“Begitu
juga dalam bab aurat, Aishah sejak kecil diasuh ibunya supaya menjaga
aurat, sebab itu apabila pulang dan tinggal bersama kami, dia sering
mengadu rimas kerana terpaksa memakai tudung dalam tempoh yang panjang
kecuali bila di dalam bilik,”ujarnya sambil ketawa kecil.
Aishah
bagaimanapun melahirkan rasa syukur di atas doa semua rakyat Malaysia
termasuk Kelantan di atas kesejahteraan untuk keluarganya sehingga
mereka dibawa pulang ke tanah air.
“Saya juga ingin mengucapkan
terima kasih pada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib kerana berusaha membawa kami pulang ke tanah air.
“Apapun
saya masih mengharapkan doa rakyat Malaysia seluruhnya supaya ibu bapa
saya dibebaskan dari tahanan seberapa segera,” ujar Aishah.
Pada
18 Disember lalu pasangan suami isteri Azizul Raheem Awalludin dan
isteri Shalwati Nurshal ditahan reman kerana didakwa memukul anaknya
kerana tidak menunaikan solat.
Tahanan reman mereka dijangka tamat pada 10 Febuari ini.
Sejak
penahanan itu, keempat-empat anak malang itu Aishah, 14, Ammar, 12,
Adam, 11 dan Arif, 7 tinggal dengan keluarga angkat mereka yang juga
rakyat Sweden.
Pelbagai usaha dan rayuan dibuat terutama sekali
ibu bapa anak-anak berkenaan dan kerajaan Malaysia akhirnya pada Jumaat
lalu mereka dibawa pulang ke tanah air dan seterusnya ke Kampung Wakaf
Tok Wali, Melor dekat sini. (HD)