Sunday, June 07, 2009

Apa Sumbangan Saya & Anda Kepada PAS?




PAS bina kompleks rm27 juta di Putrajaya


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan Tabung Pembinaan Kompleks PAS di sebuah hotel pada 18 Mei yang lalu. Kompleks yang dicadangkan dibina di kawasan Sungai Merab dan berhampiran Putrajaya itu bakal menjadi pusat latihan, pusat komersil dan pusat konvensyen.

Tabung Pembangunan Kompleks PAS yang bakal dibina di atas tapak seluas 17 ekar itu bakal didirikan dengan sumbangan pelbagai pihak. Apabila siap, kompleks ini bakal mempunyai sebuah dewan persidanngan yang boleh memuatkan 8000 orang di samping pusat latihan modern serba lemgkap di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Tapak itu terletak di Sungai Merab iaitu kira-kira lima minit perjalanan dengan kereta dari pusat pentadbiran negara di Putrajaya. Ia dikelilingi oleh tasik dan sungai yang mengalir di sebelah tapak 17 ekar itu. Menurut Abdul Hadi, kompleks ini bakal mempersiapkan PAS untuk melangkah ke Putrajaya.

Di majlis itu, beliau menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk menjayakan pembinaan kompleks yang bakal dibuat secara gotong royong di kalangan tenaga pakar dalam PAS. "Kompleks ini sudah dirancang sekian lama dan setelah mempunyai tapak yang sesuai kita lancarkan kutipan dananya hari ini," kata Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli. Projek pembinaan kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM27 juta ini dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa.

Mari sama-sama fikirkan, apa sumbangan saya, kita & anda kepada PAS sebagai gerakan Islam di negara ini? (2MA)

Wajar Dalami Feqah Politik Islam -Abd Hadi



SHAH ALAM, 7 Jun 2009 - Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan pergulungan beliau menyatakan setiap Muslim sewajarnya mendalami imu-ilmu feqah yang ada dalam agama. Beliau yang berpendapat bahawa mejoriti umat Islam hari ini mempelajari ilmu feqah hanya berlegar di sekitar ilmu feqah, ibadat, muamalat dan munakahat.

'Jarang sekali mereka mendalami ilmu feqah dakwah, apatah lagi feqah Siyasah. Iaitu ilmu feqah yang berkaitan politik Islam yang pernah dilaksanakan oleh nabi s.a.w. dan khalifah-khalifah Islam yang lain selama pemerintahan mereka," luahnya. Tambah beliau yang menyarankan agar Ilmu siyasah seperti ini perlu didalami oleh umat Islam supaya mereka mengetahui cara untuk memerintah sejajar dengan acuan Islam. (AK)

Sabar , Terima Kasih Kepada Media & Bloggers -Abd Hadi



SHAH ALAM, 7 Jun 2009 - Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapan penutupnya mengumpamakan PAS sebagai sebuah bahtera yang kukuh dan selamat walau dilanda pelbagai ombak dugaaan. Islam yang memimpin perubahan kerana hanya Islam yang sempurna dan lengkap. Hanya Islam yang berjaya membina tamadun manusia walaupun pada masa kedatangan Islam, telah wujud pelbagai tamadun lain seperti Rom dan Parsi.

Tugas utama pejuang agama Allah ialah menyelamatkan manusia keseluruhannya. Oleh itu hanya melalui pemerintahan usaha ini dapat dilakukan. Pelbagai pendekatan yang boleh dilakukan dan dibenarkan oleh Islam. Allah mengharamkan umat Islam daripada menyerah kalah, sehingga dibenarkan peperangan dalam usaha mempertahankan Islam.

Namun begitu, pendekatan yang paling utama ialah perdamaian kerana matlamat utama adalah untuk menyelamatkan manusia seluruhnya. Kerana itu, tidak boleh menutup pintu perbincangan dengan mana-mana pihak. Perbezaan yang wujud mestilah ditolak dengan cara yang baik.

Dalam mengajak manusia ke arah kebaikan, pelbagai ujian yang dihadapi. Hanya orang-orang yang bersabar sahaja yang dapat menghayati usaha dalam mengajak manusia ke arah kebaikan. Beliau mengingatkan ahli-ahli akan konsep penting dalam jemaah Islam iaitu:

1. Menyuburkan sifat takwa. Ini kerana takwa adalah asas bagi mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah.
2. Ketakwaan dan wala’. Islam mengajar kita agar taat kepada pemimpin dalam perkara yang tidak melibatkan maksiat.
3. Ukhuwah atau persaudaraan Islam penting dalam membentuk persatuan tidak kira dalam perkara yang dipersetujui atau dalam perkara yang tidak dipersetujui.

Akhir sekali, Tuan Guru merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang hadir, termasuklah pihak media dan bloggers.(AK)

Kerajaan Perpaduan, Najib Jawab..



KUALA LUMPUR Ahad Jun 7, 2009 : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mengamalkan sikap terbuka berhubung cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disarankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana masih belum mengetahui maksud sebenar di sebalik saranan itu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden PAS Datuk Seri Hadi (Awang) yang telah mengutarakan kerajaan perpaduan. Tetapi saya tidak tahu lagi apa yang dimaksudkan, jadi saya bersikap terbuka dalam hal ini.

"Terpulang kepada pihak Datuk (Seri) Hadi untuk menggambarkan apa yang dimaksudkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Progresif Rakyat (PPP) ke-56 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Abdul Hadi di dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas ke55 di Stadium Malawati barubaru ini sekali lagi mempertahan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah negara. Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata gagasan itu perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh gapah kerana ia suatu yang baru di kalangan rakyat.

Mengulas lanjut Najib berkata, beliau juga tidak boleh membuat keputusan berhubung perkara itu secara bersendirian kerana ia merupakan satu keputusan yang amat besar dan mesti diterima oleh pimpinan atasan Umno dan Barisan Nasional (BN). (Sumber BERNAMA dll)

Musuh Dalam Selimut -Dr Datuk Haron Din



Presiden PAS dan Dr Haron Din (kanan)
selepas ucapan penangguhan.
Foto BERNAMA.

SHAH ALAM Ahad Jun 7, 2009: Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din dan bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa 'bertembung secara terbuka' di muktamar tahunan parti itu hari ini berhubung isu wujudnya "musuh dalam selimut" dalam PAS.

Haron menjelaskan isu tersebut apabila dibangkitkan oleh Husam beberapa minit sebelum itu dalam ucapan penggulungannya. Husam berkata, "Saya rendah hati berharap Datuk Haron akan menjelaskan kandungan ucapannya" dalam kertas kerja pada sambutan 25 tahun kepimpinan ulama PAS.

Juga dalam ucapan penggulungannya, Haron menafikan yang beliau pernah menyebut wujud "musuh dalam selimut" dalam parti tersebut sehingga membawa kepada kegelisahan di kalangan banyak pihak termasuk Husam sendiri. Husam tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden kali ini.

“Saya ingat tidak ada saya sebut (musuh dalam selimut). Saya tidak kata dalam PAS ada musang berbulu ayam. Dan saya tidak kata ada musuh dalam selimut," kata beliau ketika menggulung perbahasan Muktamar Tahunan PAS Ke-55.

Pada sambutan 25 tahun kepimpinan ulama PAS dua minggu lalu, Haron menjelaskan, beliau hanya menyebut supaya PAS sentiasa berhati-hati mengambil langkah berwaspada kerana berhadapan dengan kewujudan musuh. “Tetapi saya sebut, musuh sentiasa ada, mungkin sebutan itu orang mengulas dan menambah,” tambah beliau.

"Musuh sentiasa ada... saya cuma mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS," jelas beliau sambil menambah, ucapan itu tidak merujuk kepada sesiapa dalam parti. Sebaliknya menurut beliau, ucapan itu hanya satu peringatan kepada pucuk pimpinan PAS. Haron berkata, Husam memang ada membangkitkan isu tersebut dalam pertemuan baru-baru ini dan telah memaklumkan bahawa akan menerangkan di muktamar agar semua pihak faham tentang kandungan ucapannya tempoh hari. Dalam kertas kerjanya itu, Haron menyarankan agar PAS mengubah sistem pemilihan bagi mengelak situasi "memenangkan musuh Islam."

Antara cadangan yang diutarakan ialah menerapkan kaedah pemilihan kepimpinan PAS berdasarkan pelantikan kepimpinan sebagaimana kitab feqah. Kertas kerja itu bertajuk Memperkukuh Kepimpinan Ulama". Seminar itu diadakan secara tertutup.

Dalam kertas kerja itu beliau menekankan "pemimpin tertinggi mestilah daripada kalangan ulama.. Dalam konteks ini perlu difikirkan manakah portfolio penting yang mesti dipegang oleh ulama," katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, pengesahan atau kelulusan jawatan pemimpin juga harus dilakukan oleh ulama. Dalam konteks PAS, jelas beliau, perlu dibuat pembaharuan berhubung aspek calon-calon pemilihan PAS dan pengesahan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang dilantik dalam muktamar.

"Calon-calon pemilihan ini perlu disemak kelayakannya oleh Majlis Syura sebagaimana semakan calon pilihan raya.. Calon-calon yang dilantik dalam muktamar hanya sah secara rasmi selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Syura," jelas beliau.

Mengenai asas kepada pandangan itu, beliau berkata, sesiapa sahaja di kalangan ahli PAS layak bertanding di peringkat tertinggi sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan. "Ini menjadikan musuh dalam yang dirancang oleh musuh luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti.. Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri.

"Ini akan membuka peluang besar kepada Umno atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.. Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam organisasi Islam di peringkat dunia," katanya lagi. (AK)

Lanjut, sila klik.. Tuesday, May 26, 2009

Mekanisme Baru Sebagai Perisai Hadapi Musuh PAS? -Dr Haron Din.

UMNO Macam Kucing -MB Kedah



SHAH ALAM, 7 Jun 2009: Umno umpama kucing ...baik di depan tetapi awas, di belakang kita dia akan curi ikan kita. Kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika membuat ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 dekat sini hari ini.

"Menjadi perangai kucing juga dia akan berak di mana-mana sahaja hatta atas sejadah sekalipun," kata Azizan yang disambut gelak ketawa perwakilan dan pemerhati muktamar. Namun, Azizan berkata, "kita tetap masih boleh runding dengan Umno ni." Azizan berkata, sehingga hari ini, Umno masih berusaha untuk mencuri Adun PAS dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

"Mereka tidak berhenti dari membuat kerja ini," kata Azizan.(AK)

Kedah.. Banyak Tempat Judi...


SHAH ALAM, 7 Jun 2009 - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak selaku Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa isu yang terdapatnya banyak tempat perjudian di Kedah yang diperintah oleh PAS tidak mendapat liputan pihak media arus perdana.

"Banyak tempat perjudian dan karaoke telah pun diambil tindakan dan cuma ia tidak medapat liputan akhbar terutamanya media arus perdana, media kerajaan... pembanterasan judi termasuk tidak membenarkan orang Islam masuk ke dalam pusat judi dan minum arak telah pun dilakukan," tambah beliau.

Tindakan ini telah dilakukan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan yang melibatkan beberapa pihak seperti Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajan lain. Beliau mengakui bahawa Kedah yang baru ditadbir oleh Pakatan Rakyat selama 19 bulan ini perlu diperbaiki dalam melaksanakan janji manifesto pada pilihan raya umum yang lalu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Adakah 'tidak mendapat liputan' itu suatu strategi, berbeda strategi PAS Kelantan sewaktu mula menawan Kelantan dulu? Mana yang lebih berkesan? Jangan sampai strategi ini makan tuan, menjelang PRU 13, 'Tiada beza PAS dengan UMNO, perintah Kedah dari sudut agama!"..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails