Tuesday, May 26, 2009

Mekanisme Baru Sebagai Perisai Hadapi Musuh PAS? -Dr Haron Din.


KUALA LUMPUR Selasa 26 Mei 2009. PAS, sehingga kini tidak mempunyai suatu mekanisme khusus untuk dijadikan perisai dalam menghadapi musuh. Ini adalah antara syor dikemukakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din dalam satu kertas kerja dibentangkan pada seminar sempena sambutan 25 tahun kepimpinan ulama PAS di sini Sabtu lalu.

Sedangkan strategi ini telah dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam organisasi Islam di peringkat dunia, kata beliau lagi. PAS yang dianggap kini sedang melihat kedudukannya semakin bertapak dalam arena politik negara ini disaran agar mengubah sistem pemilihan bagi mengelak situasi 'memenangkan musuh Islam' ini.

Antara cadangan yang diutarakan ialah dengan menerapkan kaedah pemilihan kepimpinan PAS berdasarkan pelantikan kepimpinan sebagaimana yang diputuskan di dalam kitab feqah. Kertas kerja itu bertajuk 'Memperkukuh Kepimpinan Ulama'. Seminar itu diadakan secara tertutup. Dalam kertas kerja itu yang diperoleh kemudian, beliau menekankan 'pemimpin tertinggi mestilah daripada kalangan ulama.'

"Dalam konteks ini perlu difikirkan manakah portfolio penting yang mesti dipegang oleh ulama.." katanya. Sehubungan itu jelas beliau, pengesahan atau kelulusan jawatan pemimpin juga harus dilakukan oleh ulama. "Ini jelas melalui perbincangan syarat Ahlul Halli Wal Aqdi dan syarat Ahlul-Ikhtiar," katanya lagi.

PAS akan mengadakan pemilihan kepimpinan hujung minggu depan dan baru-baru ini wujud polemik peranan dan kedudukan pemimpin kalangan ulama dalam PAS. Dalam konteks PAS, jelas beliau, perlu dibuat pembaharuan berhubung aspek calon-calon pemilihan PAS dan pengesahan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang dilantik dalam muktamar.

"Calon-calon pemilihan ini perlu disemak kelayakannya oleh Majlis Syura sebagaimana semakan calon pilihan raya.. Calon-calon yang dilantik dalam muktamar hanya sah secara rasmi selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Syura," jelas beliau.

Beliau menambah, perlu diletakkan syarat mereka yang bertanding dalam pemilihan PAS berpandukan pada portfolio ditandingi. "Kelayakan ini bukan direka oleh ulama atau Majlis Syura tetapi ia mestilah diadaptasikan daripada syarat kelayakan digariskan dalam kitab feqah supaya syarat kelayakan ini tidak dituduh bias kepada mana-mana pihak," katanya lagi.

Mengenai asas kepada pandangan itu, beliau berkata, sesiapa sahaja di kalangan ahli PAS layak bertanding di peringkat tertinggi sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan. "Ini menjadikan 'musuh dalam' yang dirancang oleh 'musuh luaran' berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti... Keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri. "Ini akan membuka peluang besar kepada Umno atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.

Sementara itu di Petaling Jaya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu turut mengesahkan akan mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan minggu depan. Urusan penerimaan pencalonan pemilihan PAS ditutup semalam. Bagi jawatan Timbalan Presiden, lima orang calon layak bertanding iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Murysidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dan dua Naib Presiden PAS sedia ada, Datuk Paduka Husam Musa dan Mat Sabu sendiri.

Minggu lalu, Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dan Haron Din telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tersebut, melengkapkan saingan tiga penjuru bagi jawatan nombor dua parti itu. (2MA)

1 comment:

Anonymous said...

Aku tau perisai apa..perisai tu adalah DAP dan PKR..nanti selamatlah nek najis and gangster DAP

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails