Tuesday, May 26, 2009

Pertemukan Antara 2 Batak..

Budaya kaum Batak.

Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan
Tarian Melayu sama dengan Batak?


"BENARKAH bangsa Batak mempunyai ekor, makan orang dan berasal dari keturunan bangsa Israel yang hilang?" Pertanyaan saya yang membuat mereka terkejut.

Mereka ialah...

Seorang yang duduk disebelah kiri saya sewaktu di dalam pesawat terbang dari Jakarta ke Medan semalam. Dia adalah anak muda keturunan Batak Karo marga ... (maaf saya lupa yang diberitahunya). Lima tahun dia bekerja di Jakarta, cari wang untuk bantu keluarga, dan kini pulang kerana sesudah diberhentikan akibat krisis ekonomi global. Ibubapanya suruh dia kahwin.

"Inilah yang buat kepalaku pusing!!" Katanya.

"Kenapa? Belum ada calunnya?" Saya tanya.

"Ya. Tapi itu soal kedua. Soal pertama ongkosnya."

Mereka yang seorang lagi ialah...

Seorang anak gadis bangsa Batak Toba marga.. (juga tak ingat, tapi lain dari marga pemuda tadi), duduk di kanan saya dalam penerbangan itu. Dia sudah berkerja 2 tahun di Jakarta, juga pulang kerana pemberhentian kerja akibat krisis ekonomi global. Menurutnya, dia terdiri 4 beradik, perempuan semuanya. Yang sulung dan bongsu sudah berkahwin, cuma dia anak ke 3 dan kakaknya anak ke 2 masih belum. Kakaknya anak ke 2 itu berkerja di Malaysia, dan akan bawa calon suami ke desanya minggu depan, untuk tunjuk pada ibunya...

"Bangsa apa calon suaminya itu?" Saya tanya.

"Melayu.."

"Bererti Islamlah? Mahukah ibumu terima kerana dia lain agama?" Saya korek-korek latar belakangnya.

Sambil menarik nafas panjang dia menjelaskan, "Memang semua keluarga kami kuat berpegang kepada agama Kristian. Tapi.. ibuku pernah meluahkan rasa hatinya dengan sebak berkata kepadaku, 'kita tidak dapat menahan arus gelombang zaman, demi kebahagian anak-anak.. harap-harap giliran kau jangan begitu.' rayu ibu padaku."

Saya dapat merasai masalah mereka. Kedua-duanya anak muda itu patut dipertemukan. Mereka sama-sama Kristian. Saya lihat mereka seolah-olah ingin mengenal mesra, tetapi tiada kesempatan kerana saya berada di tengah-tengah tempat duduk antara mereka berdua sebagai penghalang. Namun telinga masing-masing sentisa mencuri menangkap percakapan bersama saya yang mungkin dapat merungkai rahsia individu antara mereka.
Rupanya, apabila sampai perbualan saya dengan pemuda itu kepada pertanyaan di atas mengenai bangsa Batak berekor, makan orang dan keturunan Israel itu, mereka terkejut dan kedua-dua mereka serentak halakan pertanyaan pada saya, "Siapa bilang sama bapak begitu?!"

"Orang-orang kampung di Malaysia dulu-dulu ramai yang cakap begitu.. Saya tak tahu sebenarnya, betul ke tidak? Saya tak tahu sebabnya.. atau mungkin ada kena-mengena dengan teori manusia berasal dari monyet?" Jawab saya.

Gadis itu terus melenting dan bangun berdiri, "Cuba lihat mana kami ada ekor, mana kami makan daging orang?"

"Tenang! Tenang!" Pemuda itu menyabarkan. "Bapak ini cuma bergurau, janganlah cepat melenting."

Saya jawab dengan tenang, "Tidak. Saya cakap betul, bukan bergurau. Sengaja saya kata begitu untuk memancing pertemuan perbualan anda berdua. Saya betul-betul mahu menyelesaikan masalah anda, seperti yang anda berdua telah jelaskan. Jalan selesai sudah terang, anda berdua sudah boleh saling lengkap melengkapi. Tiada masalah yang tidak bisa diselesaikan. Jalan selesainya ialah kenal dulu dan akhirnya berkahwin..."

Pemuda itu meningkah, "Aaah, bapak. Dia yang cantik, mana mahu saya yang kulit hitam ini, tiada harta dan wang pula!"

"Jangan kata begitu, melihat kamu saya teringat Presiden Amerika Barrak Obama. Memang iras-iras muka kamu. Dan wang bisa dicari, dirundingkan sama-sama. Kan begitu amalan anak-anak muda sekarang?" Jelas saya.

"Betul bapak. Memang ada iras-iras mukanya macam Obama." Sambut gadis itu dengan hadiah sebuah senyuman. "Tapi..."

"Tapi apa?" Tingkah pemuda itu.

"Tapi aku takut sama cinta."

"Aku pun begitu!" jelas pemuda itu lagi.

"Dengar sini wahai dua anak muda.." Kata saya. "Takut kepada cinta itulah, antara ciri-ciri awal orang yang akan jatuh cinta. Lihat ini!" Saya mengeluarkan mata wang syiling dari poket saya. "Syiling ini tidak akan berguna kalau gambarnya hanya sebelah. Mesti ada di kedua-dua belah, dan tidak sama pula gambarnya seperti tidak samanya si cewek dengan si cowok."

Mereka terdiam, angguk dan tersenyum. Saya bangun mengarahkan gadis itu, "Sila gantikan di tempat duduk saya ini.. saya nak ke kamar kecil."

"Terima kasih Pak!" sekali lagi mereka berpadu suara secara spontan tak sengaja, mungkin sudah ada tanda-tanda boleh seiring dan sejalan. Saya pun pergi.

Akhirnya, bila pesawat sampai ke Medan saya cepat-cepat keluar dulu, dan sedang minum-minum ringan di warung lapangan, ternampak mereka berdua begitu mesra, dan sama-sama naik teksi menuju ke suatu arah..

Pada saya, itulah kaedah Islam.. Islam bukan pengganas, bahkan mampu menyelesaikan setiap masalah manusia tidak kira agama. Mengenai bangsa Batak keturunan Israel yang hilang, sila lihat catatan perjalanan selanjutnya.


(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Medan.

Mei 24, 2009

6 comments:

Shahabudeen Jalil said...

Cerita nie best.. panjang tapi tak menjemukan. Terima kasih.

Cuma Pak Hasyim kena promote Islam sikit pada diorang tu. Mungkin satu hari nanti mereka akan ingat pesanan Pak Hasyim itu.

Mereka akan ingat pada orang yang menyatukan mereka.

Ibnu Hasyim said...

T.kasih atas komen anda.

PG said...

Salam Pak Hasyim..
Macam-macam cerita Pak Hasyim.
Rajinnya mengembara.
Teruskan tulisan berkenaan dengan pengembaraan...PG

Ibnu Hasyim said...

Alhamdulillah.

Vina, Medan said...

Pak Ibnu pun pandai juga cinta-cinta.

BOY SINU said...

he he he, menarik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails