Saturday, February 11, 2023

Propaganda Israel, Tebing Barat, dron, Filipina, S'pura..

 

Wanita Palestin memegang kain rentang sebagai tanda sokongan terhadap Hamas di Bandar Gaza. - Foto AFP

1. Israel serang Gaza, balas bedilan roket Hamas

GAZA: Pesawat tempur Israel menyerang Gaza hari ini, sebagai tindak balas terhadap bedilan roket Palestin, beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) menggesa semua pihak bertenang, namun tiada tanda peningkatan ketara keganasan dilaporkan.

Tiada laporan mengenai angka korban yang serius kerana kedua-dua pihak berbalas serangan seperti yang selalu berlaku, tanpa mahu mengambil risiko konflik lebih besar.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, berkata Israel yang mengutip cukai bagi pihak Pihak Berkuasa Palestin (PA), akan menggunakan 100 juta shekel ($29 juta) daripada dana PA untuk membayar pampasan kepada mangsa serangan pejuang Palestin.

Sementara itu, tentera berkata, serangan udaranya menyasarkan tapak pengeluaran roket dan senjata yang digunakan Hamas, sebagai membalas pelancaran roket oleh kumpulan itu semalam.

Bagaimanapun, tiada kumpulan Palestin melaporkan bedilan roket semalam, sebaliknya etupan kuat hanya menggegarkan bangunan di Gaza dengan kawasan sekitar mengeluarkan amaran mengenai bedilan roket, awal pagi tadi.

Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) berkata pihaknya membedil beberapa roket sebagai tindak balas kepada serangan udara dan 'pencerobohan sistematik' terhadap tahanan Palestin di penjara Israel.

Serangan balas itu menggariskan ketegangan antara Israel dan Palestin selepas seorang lelaki bersenjata warga Palestin menembak mati tujuh orang berhampiran rumah ibadat di pinggir Baitulmaqdis, menyusuli serbuan Israel di Tebing Barat yang membunuh 10 rakyat Palestin, termasuk lapan pejuang. - REUTERS


2. Penduduk Israel di Tebing Barat melepasi 500,000 orang 

Pandangan umum penempatan Israel, Efrat, di Tebing Barat. - Foto AP

BAITULMAQDIS: Warga Israel di Tebing Barat kini melepasi lebih setengah juta orang, melintasi nilai ambang utama dengan kumpulan pro peneroka hari ini meramalkan pertumbuhan penduduk lebih pantas di bawah kerajaan ultranasionalis baharu Israel.

Berdasarkan angka rasmi dan laporan WestBankJewishPopulationStats.com menunjukkan penduduk Israel meningkat kepada 502,991 orang pada 1 Januari lalu, iaitu lebih 2.5 peratus bagi tempoh 12 bulan dan hampir 16 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

"Kami sudah mencapai ciri besar dan kami di sini untuk menetap secara kekal," kata Baruch Gordon, pengarah kumpulan itu dan penduduk penempatan Beit El.

Pencapaian itu berlaku ketika kerajaan baharu Israel, terdiri daripada parti ultranasionalis yang menentang kenegaraan Palestin, meletakkan perluasan penempatan sebagai keutamaan pertama.

Kerajaan sudah pun berjanji mengesahkan kawasan penerokaan haram yang sudah lama menikmati sokongan tersirat kerajaan, yang terus meningkatkan kelulusan dan pembinaan rumah peneroka di sekitar Tebing Barat.

"Saya berpandangan, kerajaan pada masa hadapan akan ada lebih banyak bangunan berbanding sejak 20 tahun terakhir kerajaan," kata Gordon.

Penempatan berkembang di bawah setiap kerajaan Israel, termasuk pada kemuncak proses damai 1990-an.

Malah, kerajaan Israel terdahulu, termasuk pihak yang menyokong kenegaraan Palestin bersama pihak yang menentangnya, terus membina penempatan. - AP


3. Israel jatuhkan bom seberat 1 tan guna dron  

Pesawat udara tanpa juruterbang (UAV) Elbit Systems Ltd, Hermes 900, di kilang dron syarikat berkenaan di Rehovot, Israel. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Tentera memaklumkan musuh sukar menjangka atau mengelak serangan dron bersenjata Israel berikutan penggunaan bom graviti senyap atau asap, selain ia berupaya membawa sehingga satu tan peluru.

Selepas lebih dua dekad ia dirahsiakan, Israel Julai lalu mengumumkan kewujudan dron bersenjatanya, selain seorang jeneral memperincikan ia dikendalikan dua kor iaitu udara dan artileri, ketika pertempuran pada November lalu.

Dron terbabit mampu dikawal dari jauh, menjatuhkan bom atau menjalankan pengawasan sebelum kembali ke pangkalan, berbeza dengan dron kamikaze yang dikatakan digunakan dalam serangan hujung minggu ke atas loji pertahanan di Isfahan, seperti didakwa Iran.

Pegawai kanan tentera Israel, ketika memberi taklimat kepada Reuters, berkata armada dron bersenjata termasuk Heron TP bersaiz pesawat penumpang, dihasilkan Israel Aerospace Industries Ltd dan Elbit Systems Ltd bersaiz lebih kecil berbanding Hermes.

Sebelum ini, katanya, 'dron paling berat dimiliki Pasukan Pertahanan Israel, mampu membawa peluru dengan muatan berkesan hampir satu tan'.

Pihak penghasil Israel tidak menghebahkan keupayaan dron bersenjata susulan dasar kerahsiaan Kementerian Pertahanan, seperti digambarkan sumber industri.

Katanya, penjualan dron berkeupayaan bom diputuskan secara antara kerajaan, menafikan keperluan bagi publisiti, selain semua pelurunya adalah buatan Israel dan boleh mencapai kelajuan bunyi.

Bom sedemikian tidak akan dilengkapi sistem pendorong yang menjana bunyi bising dan asap bahan api sebagai pembakar lanjut.

Beliau bagaimanapun, enggan memberi butiran lanjut mengenai senjata itu, selain menjelaskan secara reka bentuknya, tiada siapa yang akan mendengar atau melihat apabila dron bersenjata menyerang.

Bagaimanapun, ia perlu berada pada ketinggian mencukupi supaya enjin kipas dron tidak dapat didengari dengan jelas dari permukaan tanah. - REUTERS


4. Akses bagi membuka pangkalan tentera AS di Filipina diperluaskan 

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin III (kiri) bersama rakan sejawatnya dari Filipina, Carlito Galvez Jr pada sidang media bersama di markas tentera Kem Aguinaldo di metro Manila, Filipina. - Foto AFP

MANILA, 2 FEB – Amerika Syarikat (AS) dan Filipina hari ini mengumumkan perjanjian untuk memberi tentera AS akses kepada empat lagi pangkalan di negara Asia Tenggara itu, ketika sekutu lama itu berusaha untuk menentang kebangkitan tentera China.

Perjanjian untuk meluaskan kerjasama dalam “kawasan-kawasan strategik negara tersebut” dibuat semasa lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin.

Ia muncul ketika kedua-dua negara itu berusaha untuk membaiki hubungan yang retak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Presiden Filipina sebelum ini, Rodrigo Duterte memihak kepada China berbanding bekas penjajah negaranya, tetapi pentadbiran baharu Ferdinand Marcos berminat untuk mengubahnya.

Empat lokasi baharu itu menjadikan jumlah tapak yang boleh diakses oleh tentera AS kepada sembilan, kata Austin kepada pemberita hari ini.

Rundingan-rundingan sedang berjalan bagi potensi tapak ke-10, seorang pegawai kanan Filipina memberitahu AFP.

Pengumuman itu dibuat ketika AS membuka semula kedutaannya di Kepulauan Solomon selepas 30 tahun ketika ia bersaing dengan China untuk mendapatkan pengaruh di Pasifik Selatan.

AS dan Filipina mempunyai pakatan keselamatan selama berdekad-dekad yang merangkumi perjanjian pertahanan bersama dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (EDCA) 2014, yang membenarkan tentera AS bergilir melalui lima pangkalan Filipina, termasuk yang berdekatan dengan perairan yang dipertikaikan.

Ia juga membolehkan tentera AS menyimpan peralatan dan bekalan pertahanan di pangkalan-pangkalan tersebut.

EDCA tersebut terhenti di bawah Duterte, namun Marcos telah berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Setiausaha pertahanan Filipina, Carlito Galvez memberitahu pemberita bahawa lokasi tapak baharu itu akan didedahkan kepada umum selepas masyarakat dan pegawai tempatan dirujuk. – AFP


5. Pelajar Singapura bertukar radikal ditahan bawah ISA  

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor (kiri) dan barangan bukti yang ditemui pihak berkuasa Singapura. - Foto ISD

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 18 tahun yang bertukar radikal dan merancang mengebom Keramat Habib Noh dan kem tentera Amoy Quee diberkas Disember lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, seorang pelajar, turut merancang menikam dan membunuh orang awam, termasuk orang yang beragama Islam di lorong gelap, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), dalam kenyataannya semalam.

Menurut laporan BH Singapura, Irfan, yang ingin memulakan pemerintahan khalifah di Pulau Coney bernama Negara Islam Singahafura, juga berhasrat merekrut 100-500 pejuang setempat untuk melaksanakan serangan-serangan itu.

Menurut ISD, dia mencacakkan bendera yang dibuatnya sendiri - mirip kepada bendera yang digunakan oleh kumpulan pengganas Hayat Tahrir al-Sham dari Syria, yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, di Pulau Coney, pada Hari Kebangsaan Singapura tahun lalu.

Dia juga merancang mengambil video dirinya melakukan bai'ah atau ikrar taat setia di Pulau Coney pada hujung minggu 12-13 November tahun lalu dengan memakai seragam NCC dan memegang senapang mainan.

Bercakap kepada media semasa di Masjid Khalid semalam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, berkata Irfan diberkas empat hari sebelum dia dapat melaksanakan hasrat itu.

Menurut ISD, dia mencacakkan bendera yang dibuatnya sendiri - mirip kepada bendera yang digunakan oleh kumpulan pengganas Hayat Tahrir al-Sham dari Syria, yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, di Pulau Coney, pada Hari Kebangsaan Singapura tahun lalu.

Dia juga merancang mengambil video dirinya melakukan bai'ah atau ikrar taat setia di Pulau Coney pada hujung minggu 12-13 November tahun lalu dengan memakai seragam NCC dan memegang senapang mainan.

Bercakap kepada media semasa di Masjid Khalid semalam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, berkata Irfan diberkas empat hari sebelum dia dapat melaksanakan hasrat itu.

"Ia agak tidak masuk akal, tapi sebahagian rancangannya agak serius.

"Kami memberkasnya empat hari sebelum dia laksanakan rancangan (rakaman) ini, kerana dia juga memikirkan untuk lakukan tiga rancangan serangan.

"Pertama, serbu dan menikam serta membunuh golongan 'yang tidak percaya' dan mengikut andaiannya, golongan bukan Islam, Muslim Syiah dan Sufi, yang dianggapnya sebagai golongan 'yang tidak percaya'.

"Kedua, dia ingin merekrut seorang pengebom bunuh diri untuk serangan di Kem Amoy Quee, kerana dia biasa dengan susun atur kem itu.

"Ketiga, dia ingin mengebom Keramat Habib Noh yang terletak di Masjid Haji Muhammad Salleh kerana dia menganggap tapak kubur itu 'bukan Islam' kerana ia dihiasi dan tidak terletak di tanah," katanya.

Menurut Shanmugam, sekiranya Irfan melaksanakan semua rancangannya itu terutama serangan menggunakan pisau dan meletupkan bom, kesannya pasti teruk.

Pastinya akan ada kehilangan nyawa, hilang kepercayaan dan timbul permusuhan dalam kalangan masyarakat kita, tambah beliau.

Dalam kenyataannya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) berkata Irfan mula menjadi radikal debngan sendiri pada 2020 selepas menonton video-video YouTube oleh pendakwah asing, Zakir Naik.

Selepas menonton semua video berkenaan, Irfan menonton pula video YouTube pendakwah asing lain seperti Ahmed Deedat.

Dia juga menyertai perbincangan dalam media sosial di mana dia terdedah kepada propaganda Daesh.

Lama kelamaan dia menanam minat terhadap Daesh dan memuji pejuang mujahidin dalam video-video berkaitan jihad.

Lewat 2021, dia mula mengambil foto dirinya sendiri memakai pelitup muka ski, dengan mengangkat jari telunjuknya mirip pejuang Daesh.

Berikut adalah antara rancangan serangan Irfan, yang ditahan Disember lalu di bawah ISA:

- Tikam dan bunuh golongan 'yang tidak percaya' dengan membuat serbuan ke atas mereka di lorong-lorong gelap, dan mengambil barangan peribadi mereka sebagai harta rampasan perang bagi tentera Daesh.

- Lancar serangan sehingga menyebabkan korban yang ramai ke atas Kem Amoy Quee, di mana Ibu Pejabat NCC ditempatkan.

- Merekrut seorang pengebom bunuh diri yang akan lancarkan serangan nekad bom kereta di pintu jeriji Kem Amoy Quee, sebelum dia pimpin tentera Daeshnya untuk menyerang baki pengawal di pintu jeriji menggunakan senjata seperti kapak dan pisau, lalu mencuri senjata daripada pondok pengawal di kem itu.

- Serangan bom di Keramat Habib Noh di Masjid Haji Muhammad Salleh, yang dianggapnya 'tidak ikut ajaran Islam'. - AGENSI

Komen Weblog Ibnu HasyimPropaganda Israel, Tebing Barat, dron, Filipina, S'pura..

Begitulah, sebenarnya Israel bangsa bangsat yang asalnya tidak ada negeri, kini jadi pengganas antarabangsa yang ganas, jahat dan menjajah dunia.

2 comments:

Anonymous said...

Perdana Menteri melantik DSAI sebagai menteri kewangan. Dan Perdana Menteri juga melantik anak DSAI sebagai penasihat kewangan kepada DSAI.

Ketiga tiga jawatan itu tidak bergaji.

Perdana Menteri juga berkata tidak berlaku nepotism di bawah kerajaannya. Juga tidak berlaku pertindihan jawatan.

Memandangkan Perdana Menteri mempunyai kaliber yang tinggi, maka pentadbiran negara akan berjalan lancar.

Anonymous said...

Dah ada yang ngikut. Ayah speaker lantik anak jadi pembantu. Seperti biasa, akan ada alasan yang mensucikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails