Monday, February 27, 2023

Lagi pusat hiburan haram jadah punya hal.. Wajar kaji semula..

 

Sebahagian daripada pelayan seks yang ditahan dalam penutupan rumah urut yang dijadikan pusat pelacuran di sekitar Kepong dan Seputeh.

1. DBKL tutup 11 rumah urut jadi pusat pelacuran, tahan 18 pelayan seks

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 rumah urut yang dikesan terbabit dengan aktiviti pelacuran ditutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Rumah Urut/Pelacuran) Siri 3/2023 sekitar Kepong dan Seputeh di sini, semalam.

DBKL dalam kenyataannya, berkata tindakan diambil susulan risikan pasukan penguat kuasa terhadap beberapa lokasi tumpuan yang menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Hasil risikan itu juga mendapati ada beberapa premis rumah urut yang menawarkan aktiviti pelacuran.

"Dalam operasi ini, sejumlah 11 buah premis diserbu pihak penguat kuasa dan dikenakan tindakan penutupan serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Sebanyak 11 rumah urut yang dikesan terbabit dengan aktiviti pelacuran ditutup serta merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Rumah Urut/Pelacuran) Siri 3/2023 sekitar Kepong dan Seputeh. - Foto Ihsan FB DBKL

DBKL turut mengeluarkan 11 notis kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, atas kesalahan melantik pembantu dan menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran atau lesen daripada pihak DBKL.

Dalam pada itu, DBKL menahan sementara 18 orang wanita warga negara asing, terdiri daripada tiga warga Indonesia, empat warga Thailand, seorang warga Vietnam, dua warga Filipina dan lapan warga China yang disyaki sebagai tukang urut dan pelayan seks.

DBKL turut memecahkan 35 buah sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 92 pelbagai barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kondom, minyak pelincir, tisu basah, monitor, modem wifi, cctv dan lain-lain.

"Barangan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis," katanya. (BH)  

Antara wanita yang ditahan dalam serbuan bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama JAWI, AADK, JPN, Imigresen dan PDRM ke premis hiburan di ibu negara, malam tadi. - FB DBKL (24 wanita antara 50 pengunjung pusat hiburan ditahan JAWI) 


2. Umur baru 13 tahun dah pandai ke pusat hiburan 

Sebahagian daripada 108 pengunjung pusat hiburan Jalan Burmah yang diserbu polis, pagi tadi. - NSTP/ZUHAINY ZULKIFLI

GEORGETOWN: Seorang remaja berusia 13 tahun antara 108 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Burmah, di sini yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi mulai malam sehingga jam 7 pagi, selain dipercayai menjadi lokasi pengunjung mengambil dadah.

"Pusat hiburan itu juga didapati beroperasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kita akan menyiasat jika terdapat lain-lain aktiviti jenayah dilakukan di premis itu. Semakan juga mendapati pengunjung datang dari sekitar utara iaitu Kulim, Sungai Petani selain Pulau Pinang," katanya.

Mengenai remaja bawah umur terbabit, beliau berkata, polis akan memaklumkan kepada ibu bapanya dan mungkin melihat semula Akta Kanak-kanak 2001 kerana membenarkan anak keluar pada lewat malam.

Dalam serbuan berkenaan, beliau berkata, pusat hiburan terbabit seolah-olah tidak beroperasi kerana pintunya berkunci, namun selepas diumpil, polis mendapati sejumlah pengunjung berada di dalamnya.

"Ketika serbuan, didapati pintu jerejak di bahagian depan premis itu dikunci dan polis terpaksa mengumpilnya selepas mengesyaki ada individu di dalam premis terbabit.

"Kita dapati ada pengunjung yang sempat melarikan diri, namun dapat dikesan semula," katanya.

Soffian berkata, daripada 108 pengunjung yang diperiksa, 97 adalah warga tempatan, iaitu 66 lelaki dan 31 wanita, manakala 11 lagi wanita warganegara asing terdiri lapan warga Vietnam, dua dari Thailand dan seorang warga Indonesia.

"Seramai 15 daripada pengunjung itu dikesan positif dadah, manakala 31 lagi didapati memiliki dadah jenis ketamin dan MDMA.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi tindakan lanjut.


3. 20 lelaki berpakaian wanita ditahan di premis hiburan 

20 lelaki berpakaian wanita ditahan di premis hiburan

KUALA LUMPUR: Seramai 20 lelaki yang berpakaian dan berlagak seperti wanita ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menerusi serbuan Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun itu dilepaskan dengan bon jaminan setelah siasatan selesai.
Beliau berkata 20 lelaki yang ditahan itu merupakan warga tempatan dan disiasat mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
"Selain itu, operasi yang dijalankan bersama polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun kerana positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.
"Dua lelaki berkenaan direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama hari ini.
Noor Dellhan berkata dalam operasi yang dijalankan pada 10 malam itu, seramai 62 pengunjung premis berkenaan diperiksa iaitu melibatkan 53 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun.
"Polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang tidak mematuhi undang-undang," katanya. -- BERNAMA
Komen Weblog Ibnu HasyimLagi pusat hiburan haram jadah punya hal.. Wajar kaji semula..
Pusat hiburan sudah jadi pusat maksiat, perosak, peruntuh moral dan kemanusiaan. Mengapa kerajaan yang mengaku Islam masih pekak tidak peka atas tuntutan rakyat dan pribumi negara ini? Lebih menyusukan beruk di hutan dari menyelamatkan anak sendiri yang kelaparan? 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails