Sunday, December 26, 2021

Zikir, doa temani penduduk 12 jam atas bumbung surau. Allahu Akbar!

 

Keadaan selepas banjir di Taman Sri Nanding. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

HULU LANGAT: Hanya zikir dan doa yang meniti di bibir kira-kira 100 penduduk Taman Sri Nanding di sini, ketika terperangkap selama 12 jam di atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding, Sabtu minggu lalu.

Mengimbau semula detik cemas itu, Zahrin Nordin, 66, jelas masih terbayang-bayang kejadian itu ketika dia bersama isteri dan anaknya yang kurang upaya berlindung di atas bumbung surau, dikelilingi banjir yang mengalir deras sepanjang malam.

Insiden itu bermula selepas solat Isyak apabila Zahrin yang baru pulang dari surau, terpaksa bergegas kembali ke surau bersama keluarganya apabila banjir deras masuk ke kawasan perumahan.

"Biasanya, banjir tidak masuk ke surau kerana kawasannya agak tinggi, namun keadaan luar biasa berlaku apabila air naik dengan pantas sehingga ke paras dada.

"Sekitar jam 11 malam, saya bersama puluhan lagi penduduk yang berlindung di surau terpaksa naik ke atas bumbung kerana air naik terlalu tinggi. Kebetulan, ada tangga di surau yang boleh digunakan.

"Sekitar jam 12 tengah malam, air banjir di dalam surau sudah melepasi paras kepala dan saya naik ke atas bumbung surau dengan cepat.

"Ketika itu, ada sekitar 100 orang di atas bumbung, termasuk warga emas berusia 70 tahun ke atas, penduduk yang terlantar, orang kurang upaya, anak kecil, wanita mengandung serta yang baru 26 hari melahirkan anak," katanya ketika ditemui di Taman Sri Nanding di sini, hari ini.

Penduduk, Zahrin Nordin, 66 menunjukkan keadaan selepas banjir di Taman Sri Nanding. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Keadaan selepas banjir di Taman Sri Nanding. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Pesara swasta itu berkata, penduduk yang cemas hanya mampu berzikir dalam keadaan hujan renyai sepanjang malam manakala bantuan yang dihubungi tidak kunjung tiba kerana air terlalu deras.

Mereka yang berlindung di situ juga khuatir bumbung surau itu tidak dapat menampung beban hampir 100 orang di atasnya, dan pasti banjir yang mengalir deras menanti untuk membaham mereka jika bumbung itu runtuh.

"Ketika itu banjir nampak macam sungai, air mengalir amat deras. Sepanjang malam, kami duduk berzikir dan berdoa supaya semua selamat.

"Keesokan harinya, bot penyelamat sampai sekitar jam 10 pagi ketika air sudah mula surut ke bawah paras dada, sebelum kami di bawa ke Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding untuk berlindung dan diberi makanan, iaitu biskut sekitar jam 12 tengah hari.

"Alhamdulillah, tiada yang meninggal dunia di taman ini, walaupun saya mengalami kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 akibat kerosakan barangan elektrik, perabot dan kenderaan," katanya.

Keadaan selepas banjir di Taman Sri Nanding. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dusun Nanding, Kamarudin Alias, berkata penduduk yang berlindung di surau itu bernasib baik kerana kontraktor yang membaiki bumbung surau meninggalkan tangga di situ.

"Minggu sebelum banjir, kita baru baiki surau dan kontraktor tinggalkan tangga di situ. Tangga itulah yang digunakan penduduk, termasuk yang berkerusi roda dan terlantar untuk panjat ke atas bumbung.

"Ini semua aturan Allah. Jika bumbung itu tidak dibaiki, belum tentu ia dapat menampung hampir 100 orang di atasnya," katanya.

Sebahagian penduduk Taman Sri Nanding terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding, Sabtu lalu. - Foto ihsan pembaca

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bukan itu sahaja, bahkan di Tokyo, lebih 100 penerbangan telah dibatalkan di Jepun akibat ribut salji yang melanda kawasan barat dan barat laut negara itu, lapor Sputnik memetik media Jepun hari ini.

Menurut NHK, penerbangan yang dibatalkan itu membabitkan 69 penerbangan All Nippon Airways, 35 (Japan Airlines) dan dua (Peach Aviation).

Menurut pakar cuaca 35 inci salji turun di beberapa wilayah menjelang pagi tadi dan ia dijangka berterusan berikutan cuaca sejuk bergerak di sepanjang bahagian barat negara itu.

Menjelang esok, ribut salji itu diramal bergerak ke tengah pulau Honshu, yang boleh mencetuskan salji lebat, khususnya di wilayah Kansai. Keadaan cuaca yang sama juga diramal melanda pulau Kyushu dan Shikoku.

Salji menyelubungi Lapangan Terbang New Chitose, pintu masuk utama ke wilayah pulau utara Jepun, dan menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan. - Foto AFP

Semuanya adalah tanda-tanda kebesaran Allah.. Allahu akbar!!

1 comment:

Faizal Rahman said...

Subhanallah, tak dapat nak digambarkan situasi ketika itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails