Sunday, April 04, 2021

Ladang solar terapung K'tan terbesar di A/Tenggara

 

PASIR MAS: Sebanyak 247,830 panel solar yang akan dibina secara terapung di Danau Tok Uban di sini mampu menjana 140,000 (MWh) kuasa setahun dan boleh memberi manfaat kepada 46,480 isi rumah.

Projek itu dilaksanakan Cypark Resoursec Berhad (Cypark) dengan kerjasama Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd.

Ia secara tidak langsung dapat menjimatkan kira-kira 96,600 tan metrik karbon dioksida setiap tahun.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, projek bernilai kira-kira RM500 juta itu merupakan komitmen kerajaan negeri merealisasikan visi Pelan Induk Pembangunan Mampan Kelantan.

Menurut beliau, pelan itu memfokuskan pelaksanaan agenda pembangunan sosioekonomi negeri secara inklusif melibatkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri dan rakyat.

“Projek ini memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui kehidupan mesra alam melibatkan penggunaan tenaga diperbaharui dan teknologi hijau.

“Kita melihat ladang terapung mempunyai peluang baik bukan sahaja kepada rakyat Kelantan dengan peluang pekerjaan, malah turut menjana kuasa dengan kos dengan lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Projek Solar Terapung dan pengisytiharan Zon Industri Akuakultur di Danau Tok Uban di sini hari ini.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Hanifa Ahmad, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir dan Pengerusi Cypark Resources Berhad, Tan Sri Razali Ismail.

Ladang solar terapung yang diintegrasikan dengan industri akuakultur dan aktiviti pelancongan yang terbesar di Asia Tenggara dan kedua selepas China dijangka siap menjelang Disember 2021.

Pada majlis sama, Danau Tok Uban turut diisytiharkan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi meningkatkan hasil pengeluaran sektor terbabit di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).

Zon terbabit diwujudkan bagi memulihara sumber dan ekosistem semulajadi kawasan danau itu yang bakal dinikmati kira-kira 140 penternak. – HARAKAHDAILY 1/4/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails